BERBEZA dengan tahun-tahun sebelumnya, Aidilfitri kali ini disifatkan agak istimewa buat penyanyi dan rapper sedang meningkat naik, Yonnyboii.

Manakan tidak, tahun ini rezeki sebagai anak seni menyebelahi dirinya, sekali gus membolehkan dia berkongsi kegembiraan itu bersama keluarga tercinta.

Menurut Yonny atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, biarpun beraya dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia gembira kerana dapat menyediakan keperluan raya untuk adik-adiknya.

“Alhamdulillah tahun ini orang mula terima saya dalam industri dan rezeki agak murah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Jadi sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, saya gembira untuk kongsikan rezeki bersama mereka dengan menyediakan keperluan raya.

“Walaupun tidak dapat ke mana-mana, tetapi kita rasa ‘cukup’ bila semua orang gembira di hari raya,” ujarnya yang menyambut hari raya di ibu kota.

Bagi dirinya sendiri, penyanyi Salahku itu, mengakui semenjak bergelar artis, sambutan rayanya lebih meriah.

Apatah lagi, dia kini mempunyai ramai kenalan dan rakan taulan untuk berkongsi kemeriahan sambutan lebaran.

“Sebenarnya sehingga kini tak rasa pun saya ini seorang artis, malah pelik bila makin ramai yang mahu ambil tahu fasal saya.

“Bagaimanapun saya cuba sesuaikan diri dan rasa seronok bila makin ramai kawan setiap kali sambut raya.

“Saya sebelum ini jenis tak ada kawan sangat, tapi sekarang sejak masuk industri dapat kenal dan berkawan dengan macam-macam orang.

Iklan

“Bila raya, ramai yang bagi ucapan dan perkara itu buat saya rasa raya tambah meriah dan bermakna,” katanya.

Berkongsi momen raya yang sering ditunggu dia dan keluarga, Yonny berkata, sesi bermaaf-maafan dengan keluarga dan saudara-mara antara yang sering melekat dalam fikirannya.

“Sebagai anak sulung, selalunya saya yang kena beratur dulu untuk mulakan sesi bermaaf-maafan dengan orang tua.

“Memang sesi ini selalunya agak menyentuh hati. Masing-masing turunkan ego dan akui kesilapan lalu dengan memohon maaf.

Iklan

“Keluarga saya bukan jenis yang menunjukkan kasih sayang kami secara terang-terangan. Kemesraan kami tak nampak macam orang lain, tapi masing-masing ada cara sendiri untuk sampaikan kasih sayang,” katanya yang rindu untuk beraya di Tasik Raban, Lenggong, Perak.

 

(FOTO: Rosli Talib)