TIGA tahun serius membina nama dan berkongsi bakat sebagai komposer serta penyanyi, kehadiran Yonnyboii dalam industri seni tanah air terus mencuri perhatian ramai.

Jika sebelum ini, bakat pemilik nama sebenar, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, hanya dikenali dalam kelompok peminat seusia, kini pengaruhnya semakin melebar menerusi kejayaan demi kejayaan yang dicipta.

Lebih membanggakan, penyanyi kelahiran Perak itu, baru sahaja tampil dengan album penuh pertama berjudul Yonny (Deluxe Version) pada 8 Oktober lalu.

“Tak sangka daripada album EP, saya berpeluang tampil dengan album penuh dan ia dilancarkan ketika pandemik Covid-19.

“Jika ada penyanyi yang teragak-agak nak melancarkan album ketika ini, saya bertindak sebaliknya kerana selesa mencabar diri melawan arus kebiasaan,” ujar Yonnyboii.

Biarpun terpaksa menunggu lama sebelum tampil dengan album pertama, Yonnyboii tidak pernah patah semangat semangat dalam usaha merealisasikan impian itu.

“Saya percaya penantian itu sangat berbaloi. Tak perlu tergesa-gesa. Andai sesuai waktunya, pasti kesempatan itu akan tiba.

“Sejak awal pembabitan dalam bidang muzik, saya memang mengimpikan album penuh. Cuma ketika itu saya perlu mengikut trend pemasaran semasa yang lebih memfokuskan kepada penghasilan single,” katanya yang mula dikenali menerusi lagu Sakit.

Album Yonny (Deluxe Version) memuatkan sembilan buah lagu daripada EP sebelum ini, selain dua lagu baharu sebagai trek bonus iaitu Tak Sangka dan Angel.

Lagu Tak sangka menampilkan kolaboratif Yonnyboii dengan dua rakan baiknya, ZynAkal dan Asyraf Nasir.

“Saya sebenarnya mempunyai banyak lagi karya yang terperam dan hanya menunggu masa sesuai untuk dikongsi.

Iklan

“Tahun lalu, saya agak aktif melancarkan single demi single, namun berbeza dengan tahun ini kerana pandemik ternyata memberi kekangan dan ia di luar kawalan,” jelasnya.

Impi konsert sendiri

Penyanyi yang bernaung di bawah label syarikat rakaman Universal Music Malaysia itu juga mengakui rindu untuk mengadakan persembahan pentas dan kembali aktif mengembangkan kerjaya seni.

“Kerinduan nak buat persembahan depan khalayak ramai hingga kini terus membuak-buak, namun saya akur dengan situasi semasa pandemik dan anggap rakaman persembahan di rumah secara virtual itu seperti membuat persembahan pentas.

“Apa pun, saya masih memasang impian untuk mengadakan konsert sendiri. Besar harapan saya agar persembahan berskala besar itu dapat direalisasikan,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Yonnyboii mengakui turut bergelut dalam meneruskan kelangsungan hidup apabila tawaran kerja berkurangan sepanjang pandemik.

“Saya cuba mengimbangi fizikal dan mental sebaik mungkin. Ada ketika semangat saya sangat lemah. Macam-macam ada dalam fikiran apabila tawaran kerja terganggu.

“Bagaimanapun, saya cuba untuk tidak terlalu larut dengannya dan percaya rezeki itu sentiasa ada dengan izin-NYA,” akui Yonnyboii yang baru sahaja bertunang dengan gadis pilihannya, pada Sabtu lalu.