Yura Yunita di sebalik lagu Tenang

A
A
A

JIKA sebelum ini nama Yura Yunita sinonim dengan lagu-lagu bertemakan romansa seperti Cinta dan Rahasia, kini penyanyi popular Indonesia itu tampil memberikan kelainan menerusi buah tangan terbaharu, Tenang.

Tidak hanya untuk peminatnya di negera kelahirannya, tetapi pemilik nama sebenar Yunita Rahman, 30, itu turut berkongsi Tenang bersama pendengar di Malaysia.

Single yang sudahpun dilancarkan pada 1 April lalu itu merupakan karya ciptaan sepenuhnya oleh Yura yang menceritakan tentang luahan hatinya kepada Tuhan ketika mencari ketenangan diri.

“Karya ini saya tulis ketika fikiran saya melayang dan tidak dapat tidur kerana resah gelisah mengiringi ketidakpastian dalam mencari erti kehidupan.

“Lagu Tenang seperti sebuah doa dan curahan rasa saat saya berdialog dengan diri sendiri pada subuh hari. Kembali mengingati orang-orang yang kita rindukan dan akhirnya ketenangan diperolehi ketika berdoa pada sang Pencipta.

“Malah lagu ini menjadi seperti penyembuhan diri di saat kita berada dalam waktu yang sukar dan inginkan ketenangan,” ujarnya.

Yura yang pernah menghasilkan dua buah album iaitu Yura pada tahun 2014 dan Merakit (2018), menyifatkan lagu Tenang turut mengangkat tema kesihatan mental yang semakin membelenggu masyarakat hari ini yang terjejas kerana Pandemik Covid-19.

“Untuk mendapatkan jiwa yang tenang dalam keriuhan pandemik dan segala yang berkaitan dengan virus itu merupakan satu perkara yang bukan mudah.

“Jadi, lagu Tenang diharapkan dapat membawakan perasaan itu larut dan meresap ke dalam fikiran bagi yang melalui kepayahan jiwa dan mental yang bergelodak dengan segala permasalahan dunia,” katanya.

Tenang punya cerita tersendiri buat Yura Yunita.

Dalam pada itu, Yura yang pernah dinobatkan sebagai Artis Solo Wanita Pop Terbaik di Anugerah Musik Indonesia pada 2017 dan 2018 itu mengakui pernah melalui detik-detik sukar dalam kehidupannya.

“Saya pernah melalui detik sukar dalam kehidupan dan menerusi lagu ini, saya menyedari tenang itu adalah sebuah proses.

“Proses ketenangan yang perlu dinikmati agar kita boleh memaafkan diri sendiri dan masa lalu, selain mencintai dan menerima diri sendiri. Berserah pada sang pencipta.

“Saya berharap lagu Tenang ini dapat menemani masa-masa sukar yang mungkin sedang dilalui orang di luar sana. Semoga lagu ini membuatkan mereka berasa lebih tenang,” katanya.

Seiring dengan pelancaran lagu Tenang saluran di YouTube dan semua platform digital, sebuah filem pendek turut dihasilkan dan diangkat sebagai video muzik lagu tersebut.

Filem arahan Yandy Laurens itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Ringgo Agus, Nirina Zubir, Kiki Narendra dan aktor cilik Gamaliel Eleazar serta Zozo.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca