BIARPUN perjalanannya dalam program realiti Islamik, Hijrahkan Laguku terhenti pada minggu keempat pada Sabtu lalu, penyanyi Zack Kool tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan.

Apatah lagi pada minggu yang mengangkat tema Teman Sejati itu, Zack menyampaikan medley lagu berjudul Aisyah Isteri Rasulullah dan Ya Rasulullah dengan penuh perasaan.

Menurut Zack, selama empat minggu beraksi dalam program terbitan TV Al-Hijrah itu, dia yakin persembahannya sedikit-sebanyak meninggalkan kesan di hati penonton.

“Sukar untuk saya nilai diri sendiri. Namun saya yakin, peminat dan penonton Hijrahkan Laguku dapat melihat kesungguhan saya berdakwah menerusi bait lirik dan lagu.

“Permulaan saya ditawarkan untuk menyertai program ini, saya berpegang kepada satu niat iaitu menyebarkan dakwah.

“Saya sentiasa berfikir apakah mesej yang hendak saya sampaikan kepada orang ramai sebagaimana yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Dalam pada itu, Zack mengakui sudah melakukan yang terbaik sepanjang terlibat dalam program terbabit dan sedikitpun tidak berasa ralat dengan penyingkirannya.

“Saya bersyukur rezeki sampai di sini sahaja dan saya tidak berfikir langsung tentang kegagalan menjadi juara pada kali ini. Saya lebih memikirkan tentang reda ALLAH dan Rasulullah terhadap apa yang saya dakwahkan menerusi persembahan lagu.

“Apa yang dapat saya simpulkan, saya sudah buat yang terbaik. Sepanjang empat minggu bersama Hijrahkan Laguku, saya berjaya sampaikan mesej tentang taubat, istiqamah dalam perjuangan, kematian dan cintakan Nabi Muhammad.

Iklan

“Semua ini saya lakukan menerusi lagu Bebas, Bisikan Kalbu, Tak Kekal Lama serta Aisyah Isteri Rasulullah dan Ya Rasulullah,” ujarnya.

Hijrahkan Laguku yang turut disertai oleh Shahir Zawawi, PG Adam, Datuk Nash, Iwan Syahman, Zaff VE, Mark Adam dan Rahmad Mega (teringkir pada minggu ketiga) bersiaran secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam.

Single baharu

Berkongsi perancangannya selepas ini, Zack akan berada di studio untuk menjalani rakaman single baharu dan bakal aktif menulis lirik lagu ketuhanan.

Iklan

“Sebenarnya saya merancang untuk menyanyikan sebuah lagu baharu dalam salah satu episod program Hijrahkan Laguku. Namun apakan daya, perjuangan saya terhenti pada minggu keempat.

“Insya-ALLAH jika diberi peluang, saya ingin nyanyikan single tersebut di platform bersesuaian yang diberikan oleh TV AlHijrah nanti.

“Apa-apa pun, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada TV AlHijrah atas peluang yang diberikan kepada kami, artis-artis yang sudah berhijrah untuk terus bergelar anak seni di ruangan berbeza yang lebih diredai Yang Maha Esa,” katanya.