MEMPUNYAI minat dan misi sama dalam bidang muzik akhirnya menyatukan dua anak muda berbakat besar, Zul Ariff dan Kamal Hamidi sebagai pasangan duo yang dikenali dengan nama ZAKH.

Bermula sebagai projek eksperimentasi, ZAKH yang memulakan langkah dalam bidang seni ketika fasa pandemik, pernah tampil dengan lagu Cinta Semalam yang dilancarkan sekitar Februari lalu.

Sambutan memberangsangkan yang diterima menerusi single tersebut memberi inspirasi kepada duo ini untuk terus berkarya dan bergiat aktif dalam bidang seni.

Zul, 34, yang bermula sebagai penyanyi solo mempunyai dua single iaitu Saat Aku dan Iya yang merupakan kolaborasi bersama Mimy Fly pada tahun 2021.

Sementara Kamal, 30, pula melangkah lebih awal dalam bidang nyanyian pada tahun 2015 menerusi lagu single Selagi Nafas dan Terbuai Perasaan pada 2019. Sebelum itu, Kamal merupakan finalis Bintang Remaja Radio Televisyen Malaysia Kedah FM pada tahun 2013.

Selepas Cinta Semalam, ZAKH ini kini tampil dengan lagu baharu berjudul Jauh, hasil ciptaan Iswady Atan dan Illusinasi, manakala lirik pula ditulis secara bersama termasuk Zul sendiri.

ZAKH hargai setiap peluang yang diberikan untuk terus mengembangkan bakat dan membina nama sebagai pasangan duo dalam industri seni.

Menurut Zul, Jauh mengisahkan tentang kehilangan. Tidak hanya mengenai definisi cinta semata-mata, tetapi turut menyelami rasa duka kehilangan insan tersayang tidak kira ibu bapa, adik-beradik mahu pun pasangan sendiri.

“Semestinya saya bersyukur dengan pelancaran lagu Jauh yang liriknya juga turut dicipta oleh saya bersama-sama komposer.

“Setiap individu pastinya pernah merasai erti kehilangan dan lagu ini diharap dekat dengan hati penggemar muzik tempatan.

“Muzik video (MV) Jauh yang diarahkan oleh Dannyhan Miskam pada kami, amat istimewa kerana menampilkan watak untuk menceritakan mesej dalam lagu ini. Babak drama dalam MV ini pasti akan memberi kesan kepada sesiapa yang menonton,” katanya.

MV Jauh tampilkan Puteri Balqis

Muzik video lagu Jauh yang menjalani penggambaran di sekitar Ayer Keroh dan Kampung Bukit Senggeh, Melaka itu menampilkan pelakon remaja, Puteri Balqis sebagai anak dan Kamal Bakar melakonkan watak bapa dalam cerita yang diketengahkan.

Mengulas lanjut proses rakaman single Jauh, Kamal berkata, mereka menimba banyak ilmu baharu untuk memperbaiki mutu nyanyian bagi memastikan rakaman berjalan lancar.

Single tersebut mengambil masa selama lapan bulan untuk dihasilkan dan digubah sebelum dilancarkan pada 8 Julai lalu.

“Gubahan dan susunan lagu dilakukan oleh Iswandy dan Izuan Omar. Semestinya kami yang masih hijau dalam industri berbesar hati kerana proses rakaman membabitkan mereka yang profesional dalam bidang nyanyian.

Iklan

“Bahagian mixing dan mastering pula dilakukan oleh saudara Peter Chong @ Peter Mixman yang bukan asing lagi dalam industri.

“Untuk memantapkan vokal, kami turut mengambil kelas bersama Cikgu Shafi dan Iswandy sendiri bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan itu berjaya dilontarkan dengan sebaiknya,” kata Kamal yang menaruh harapan tinggi kepada lagu ini.

Jauh kini boleh didengar melalui semua platform strim digital termasuk Spotify, Joox dan Apple Music, manakala MV untuk lagu ini pula boleh ditonton melalui YouTube Universal Music Malaysia.

Zul dan Kamal mengharapkan agar peminat dapat menerima single jauh dan terus menyokong kerjaya seni mereka.

Dalam pada itu, ZAKH meluahkan rasa syukur apabila mula mendapat kepercayaan banyak pihak yang memberikan mereka peluang untuk berkongsi karya kepada orang ramai.

Terbaru, pasangan duo ini dijemput menjayakan showcase pertama mereka di Festival Pertandingan Akar Kita Zapin 2022 yang di anjurkan bersama Ratu Etnik Noraniza Idris dengan kerjasama Tatihseni, NIPV Sdn Bhd, AEON dan MRF Consultant M Sdn Bhd di AEON Mall Ipoh Klebang.

Iklan

ZAKH menyampaikan lima buah lagu yang terdiri daripada single baharu Jauh, diikuti Cinta Semalam dan tiga buah lagu cover iaitu Tiara, Kabut Serangkai Mawar dan Sekadar Di Pinggiran.

“Alhamdulillah kami amat berterima kasih kepada Kak Ani yang sentiasa memberi sokongan dan yakin dengan bakat kami.

“Ruang promosi yang diberi ini amat bermakna kepada kami dalam menjayakan sesi promosi single Jauh yang baharu sahaja berada di pasaran pada 8 Julai lalu.

“Kami berharap peminat akan terus menyokong kerjaya seni ZAKH dengan mendengar dan mengundi lagu kami yang kini sudah pun berada di radio tempatan,” kata ZAKH.