SETELAH setahun tertangguh akibat penularan virus Covid-19, Konsert Slam Mentari Muncul Lagi akhirnya bakal menemui peminat pada 12 Februari 2022.

Vokalis kumpalan itu, Zamani Ibrahim berkata, beliau berharap konsert tersebut akan menjadi kenyataan dan mereka tidak sabar untuk menggamit semula nostalgia peminat menerusi seleksi lagu popular Slam.

Bahkan figura berusia 50 tahun itu tidak mahu keadaan kesihatan dirinya menjadi penghalang untuk memberi persembahan bertenaga kepada peminat yang hadir.

“Kalau boleh, saya tidak mahu bercakap mengenai masalah kesihatan dan hanya memberi fokus sepenuhnya untuk menjayakan konsert itu nanti.

“Saya juga tidak mahu isu kesihatan menjadi kekangan buat saya menjayakan konsert. Setakat ini keadaan kesihatan saya dalam keadaan baik,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Konsert Mentari Muncul Lagi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Konsert yang bakal diadakan di Dewan Plenari KLCC itu akan bermula pada jam 8.30 malam dan akan memuatkan 50 peratus kapasiti dewan.

Pada awalnya, konsert berkenaan dijadualkan berlangsung pada 17 Januari lalu, namun terpaksa ditunda setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali diperketatkan.

Kali terakhir Slam mengadakan konsert berskala besar adalah pada 9 September 2016 di Pasir Gudang, Johor.

Slam berharap Konsert Mentari Muncul Lagi akan meninggalkan memori manis buat peminat yang hadir.

Seleksi lagu popular

Menurut Zamani, dia akan berusaha untuk meningkatkan stamina sebagai persediaan mengharungi konsert yang dijangka berlangsung selama dua jam itu.

Iklan

“Kena tingkatkan latihan kecergasan sebab konsert ini diharapkan sebagai permulaan untuk konsert-konsert mendatang,” ujarnya.

Selain Zamani, kumpulan yang popular pada era 1990-an itu turut dianggotai oleh Shah, pemain gitar, Eddie (keyboard), Man (dram) dan Lili (bass).

Sementara itu, Shah berkata, konsert kali ini akan memberikan kelainan dari segi susunan muzik yang lebih mantap selain diselaraskan dengan visual dan teknik pencahayaan menggunakan teknologi moden.

Iklan

“Biasanya setiap kali persembahan Slam, kami akan ubah sedikit susunan muzik.

“Mungkin kali ini tidak banyak, namun pentas akan diserikan dengan pencahayaan yang terbaik. Rasanya, ini batu loncatan untuk Slam memberikan perkara baharu buat peminat.

“Selain itu, kami juga akan besarkan lagi muzik dan bunyi dengan penamba­han instrumen,” katanya.