BANJIR yang melanda beberapa buah daerah di Selangor seminggu lalu ternyata masih memberi kesan mendalam, bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga sukarelawan yang turun membantu.

Biarpun kehilangan banyak harta benda, namun kebanyakan mangsa banjir masih kuat dan reda dalam mengharungi ujian yang diberikan.

Berkesempatan menziarahi dan memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Jawa, Batu 18 1/2, Hulu Langat baru-baru ini, pelakon dan model, Anna Jobling meluahkan rasa terharu dengan sikap positif ditunjukkan mangsa banjir.

Misi bantuan itu turut disertai anak Perdana Menteri Malaysia, Dafi Ismail.

Cerita Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, dia menyertai misi bantuan bersama beberapa rakan artis seperti Datin Nina Juren, Amirul Asyhwad, Aman Aziz dan Dafi.

“Saya dapat pengalaman berharga dan rasa bertuah kerana dapat membantu sukarelawan di Hulu Langat. Walaupun berdepan dengan jalan sesak, berdebu, berlumpur tebal, namun ia tidak mematahkan semangat ramai sukarelawan di sana membantu mangsa yang terlibat.

“Paling terkesan buat saya apabila lihat banyak kemusnahan akibat banjir,  namun penduduk di sana sangat positif. Malah mereka bersyukur kerana banyak pihak turun membantu.

“Secara tidak langsung memberi inspirasi dan mengajar kita untuk lebih menghargai apa yang kita ada,” katanya.

Tidak kekok menghulurkan bantuan sepanjang berada di sana.

Tambah Anna, misi mereka pada ketika itu adalah memberikan bantuan keperluan asas kepada penduduk, di samping membantu membersihkan dua buah rumah.

“Bila lihat gambar-gambar di media sosial pun sudah terasa sedih, apatah lagi bila nampak dengan mata sendiri.

“Satu pengalaman baharu untuk saya membantu membersihkan rumah mereka. Disebabkan tiada saluran air, kebanyakan benda dibuat secara manual seperti kaut air dan buang ke luar.

Iklan

“Selain itu, sebagai pencinta haiwan, saya juga ambil kesempatan untuk memberi kucing-kucing makan. Memang sedih sangat melihat bulu mereka dipenuhi lumpur,” ujarnya yang berharap dapat menyertai misi sama sekiranya ada masa terluang.

Sibuk di lokasi penggambaran

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan seninya, bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 itu bakal memasuki set penggambaran drama untuk slot Akasia TV3 berjudul Melur Untuk Firdaus.

Anna berharap dapat mencari lebih banyak pengalaman dalam lakonan pada 2022.

Ujar gadis berdarah kacukan berusia 21 tahun itu, dia juga baru selesai menjalani penggambaran megadrama berjudul Ash dan Aish serta dua telefilem lain.

Iklan

“Selepas kembali bekerja, jadual saya memang penuh. Saya baru sahaja selesai penggambaran dan sedang bercuti ketika ini.

“Insya-ALLAH, Januari ini saya akan memulakan penggambaran Melur Untuk Firdaus selaku watak utama,” jelasnya yang mahu memberi fokus terhadap karier lakonan bagi memantapkan lagi pengalaman.