MESKI lebih dikenali sebagai pelawak dan pelakon komedi, Zizan Razak mengakui sentiasa berani menyahut cabaran baharu dalam usaha memberikan kelainan dalam kerjaya seninya.

Tidak hanya hanya terikat dengan watak komedi semata-mata, selebriti berusia 38 tahun itu kini berjaya meyakinkan penonton menerusi lakonannya yang lebih pelbagai termasuk aksi lasak.

Terbaru, filem Abang Long Fadil 3 (ALF3) yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam bermula 8 September lalu menyaksikan Zizan sekali lagi tampil dengan lakonan aksi yang mencuri perhatian ramai.

“Saya sangat berpuas hati dengan ALF3 yang menyaksikan kematangan lakonan saya, terutamanya dalam babak-babak aksi yang sangat seronok untuk ditonton.

“Apabila melihat hasilnya, rasa berbaloi segala cabaran dan pengorbanan yang dilalui sepanjang penggambaran filem ini.

“Saya harapkan agar ALF3 mendapat sambutan ramai dan siapa tahu ia akan membuka laluan kepada sekuel keempat pula selepas ini,” ujarnya.

Filem aksi komedi arahan Syafiq Yusof itu kini meraih kutipan sebanyak RM10 juta selepas ditayangkan di pawagam pada minggu lalu.

Sinonim dengan lakonan komedi, Zizan tidak menyangka penampilannya dalam filem-filem aksi turut menarik perhatian peminat dan meyakinkan penonton.

Bintang Polis Evo itu tidak menolak untuk menjayakan lebih banyak watak aksi selepas ini jika mendapat peluang dan tawaran yang bersesuaian.

“Kalau orang suka saya buat aksi, saya lagi suka nak buat watak-watak sebegitu dan tonjolkan kelainan dalam lakonan.

“Saya harap sangat ada penerbit atau pengarah yang memberikan lebih peluang kepada saya untuk menjayakan filem daripada genre tersebut,” katanya yang melihat Will Smith sebagai salah seorang daripada sumber inspirasinya.

Aksi Zizan sebagai ejen perisik bersama Johan dalam filem Abang Long Fadil 3.
Filem Juang menampilkan sisi berbeza Zizan (tiga dari kiri) menerusi watak Koperal Hafiq.

Tidak hanya ALF3, sebuah lagi filem lakonan Zizan iaitu Juang juga kini sedang ditayangkan di pawagam pada tarikh yang sama.

“Kalau ikutkan, ALF3 sepatutnya keluar dulu, tetapi ditangguhkan disebabkan pandemik. Tak sangka pula akhirnya ia ditayangkan pada tarikh yang sama dengan filem Juang.

Iklan

“Bagaimanapun saya tidak melihat ia sebagai satu masalah dan tidak rasa filem lakonan saya bersaing sesama sendiri kerana kedua-dua naskhah ini tampil dengan tema dan genre berbeza.

“Kalau nak tengok aksi, pergilah menonton ALF3 dan bagi yang mahu melihat saya dengan watak serius, boleh menonton Juang. Bagaimanapun, saya harap peminat dapat tengok kedua-duanya kerana ia mempunyai dua filem ini mempunyai kekuatan cerita tersendiri,” katanya.

Jaga kesihatan

Dalam pada kesibukannya merencana kerjaya, anak kelahiran Terengganu itu mengakui kini lebih bijak mengatur jadual bekerja agar tidak mengabaikan masa rehatnya, sekali gus menjejaskan kesihatan.

“Sebelum ini saya sentiasa sibuk dengan kerja sehingga tidak cukup tidur dan rehat. Akibatnya kesihatan saya terganggu, malah pernah mengalami kebimbangan melampau (anxiety), sesak nafas sehingga perlu mendapatkan rawatan.

Iklan

“Saya juga pernah menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) kerana takut ada masalah jantung. Mujurlah semuanya OK sahaja, cuma doktor nasihatkan saya agar dapatkan rehat yang cukup.

“Apabila melalui semua itu, saya mula sedar ada duit banyak pun, kalau tak sihat nak buat apa. Jadi saya mula jaga jadual kerja dan pastikan saya tidak bekerja lebih masa atau terlalu lewat.

“Kalau ada yang tak boleh terima waktu kerja saya, saya anggap tak ada rezeki di situ. Bukan demand, tetapi saya perlu mengutamakan kesihatan,” tegasnya.

(FOTO: AZRUL RAFI – ASTRO)