LAGU Eh berjaya membawa nama penyanyi Zizi Kirana ke puncak kerjaya. Mesej yang dibawa lagu itu bukan sahaja menjadi bualan dalam kalangan peminat, tapi sekali gus memberi satu jenama baharu buatnya.

Keberaniannya menegur sikap segelintir pihak menerusi lirik dalam lagu bukan sekadar satu bentuk hiburan semata, tapi lebih pada ingin menyatakan suara dan isi hati berkenaan apa yang berlaku di sekeliling hari ini.

Terbaharu, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil muncul dengan single berjudul Pijak yang diterbitkan oleh Def Jam Malaysia.

Lagu yang sudah dilancarkan pada 25 Februari lalu, iaitu genap setahun pembikinannya merupakan hasil ciptaan Zizi bersama Navigator dan Mambang

Menariknya, Pijak merupakan kesinambungan kepada lagu Eh yang mana menceritakan mengenai orang yang mengambil kesempatan di atas kebaikan dan kelemahan orang lain.

“Pendek kata lagu ini menggambarkan sikap seseorang yang suka pijak kepala. Jadi kita saling menasihati antara satu sama lain dan sebab itulah ada kesinambungan antara lagu Eh dan Pijak ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media secara maya baru-baru ini.

Sekali lagi menghasilkan lagu berunsur sindiran dan nasihat, isteri kepada Yusuf Bahrin itu diusik dengan persoalan adakah lagu itu ditujukan pada seseorang?

Bagaimanapun selebriti berusia 37 tahun itu memaklumkan Pijak adalah garapan berdasarkan pengalamannya.

“Bagi saya, siapa makan cili, dia terasa pedasnya. Sejujurnya, lagu-lagu yang dihasilkan bersama Mambang sebelum ini pun, konsepnya adalah mudah difahami.

“Kalau orang nak kata lirik lagu ini pedas, ia terpulang pada pendengarnya. Ini antara cara untuk saya sampaikan nasihat. Bukan nasihat untuk orang saja, tapi untuk saya sendiri supaya tidak ambil kesempatan atas orang lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengapa mengambil masa lama untuk mengeluarkan Pijak selepas Eh, Zizi berkata, penularan Covid-19 dan kawalan pergerakan telah membataskan penghasilan lagu itu.

“Ikutkan lagu ini sebenarnya sudah dirancang sebaik Eh dilancarkan, tetapi disebabkan kawalan pergerakan dan pandemik ketika itu, sukar untuk menyiapkan lagu ini.

“Saya cuba juga macam penyanyi lain dengan rakam lagu ini dari rumah, tetapi hasilnya lain. Jadi bila sudah dapat kembali bekerja, kami cuba untuk siapkan.

“Bekerja dengan Mambang dan Navigator tidak sukar kerana mereka sudah tahu apa yang sesuai dengan saya,” ujarnya turut tampil dengan muzik video Pijak.

Iklan

Sama seperti single terdahulu, Zizi juga berharap lagu Pijak mendapat di hati peminat dan pencinta muzik tanah air.

“Jadi, harapan saya untuk lagu Pijak diterima sebab lagu ini dibuat berdasarkan apa yang sering terjadi dalam masyarakat kita dan kehidupan harian kita. Semoga lagu ini diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat dan diterima dengan hati terbuka,” katanya.

Pijak sudah tersedia di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Zizi Kirana.

Perubahan imej

Sementara itu, Zizi mengakui perubahan imej dirinya memberi sedikit debaran mengenai penerimaan peminat terhadap lagu yang disampaikan.

Iklan
ZIZI DAN YUSUF
Zizi bersyukur kerana suaminya, Yusuf Bahrin memberi sokongan penuh terhadap karier seninya.

Menegaskan tidak sesekali meninggalkan dunia nyanyian, selagi mendapat keizinan suami tercinta, Zizi berkata, dia akan terus berkarya selagi diterima.

“Sebenarnya bila saya bertudung, ramai ingat saya tidak akan menyanyi lagi. Sejujurnya memang rasa berdebar untuk menyanyi dengan imej begini.

“Saya juga selalu fikir bagaimana penerimaan orang nanti. Tetapi suami, pengurus dan keluarga banyak memberi sokongan dan dorongan.

“Sebagai isteri, saya tahu batasan dan selepas berbincang, saya akan menjaga batas pergerakan dan kurangkan aksi tarian lincah di atas pentas,” katanya yang mengakui semakin seronok bergelar isteri.