PENYANYI dan komposer, Zynakal memilih untuk mendiamkan diri dan menjauhi media sosial sebagai salah satu detoks buat diri sendiri.

Zynakal atau nama penuhnya Muhammad Raziq Rosli, yang menghidap masalah Bipolar Mania sejak dua tahun lalu, memberitahu keadaan kesihatannya semakin baik, namun masih berada dalam rawatan dan mengambil ubat mengikut preskripsi doktor.

“Saya pernah berhenti ambil ubat tanpa nasihat doktor kerana merasakan sudah semakin sihat. Bagaimanapun setelah merasa masalah sama berulang, saya kembali berjumpa doktor dan ditegur kerana membuat tindakan yang salah.

“Jadi buat masa ini saya masih mengambil ubat mengikut preskripsi doktor.

“Saya juga memilih untuk detoks dengan mendiamkan diri selama lima hingga enam bulan. Saya berehat daripada media sosial dan kurangkan masa bersama phone, senang kata saya tutup telefon terus,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Zynakal, tempoh detoks itu digunakan sepenuhnya dengan membaca, mencipta lagu dan belajar dengan lebih mendalam tentang proses penerbitan album.

Hasilnya, jejaka berusia 23 tahun itu akan tampil dengan album yang mengandungi 12 buah lagu sebelum September depan.

Biarpun industri seni juga terumbang-ambing kesan daripada pandemik Covid-19, namun ia tidak mematahkan semangat Zynakal untuk menerbitkan album pertamanya.

“Alhmadulillah pembikinan album saya sudah siap lebih kurang 70 peratus. Ada 12 buah lagu, 10 daripadanya adalah lagu baharu.

“Lagu-lagu ini tidak tetap pada satu genre, namun saya selitkan unsur lagu Sakit, di mana lagu yang saya cipta adalah sebahagian daripada luahan perasaan.

Iklan

“Saya ambil keputusan untuk terbitkan album pun atas dorongan penyanyi senior seperti pak cik saya, Zamani Ibrahim yang merasakan sudah tiba masanya untuk saya keluar dengan album sendiri,” jelasnya.

Raya pertama tanpa ibu

Berkongsi mengenai sambutan Lebaran baru-baru ini, Zynakal berkata, raya tahun ini kali pertama dia menyambut hari raya tanpa ibu tersayang.

Iklan

Ibunya, Allahyarham Zuraifah Ibrahim meninggal dunia pada September lalu akibat jangkitan kuman dalam darah.

“Sejak mak tiada, saya memang tinggal sendiri, jadi beraya pun sendiri. Saya tak buat persiapan, lagipun kita beraya dalam tempoh kawalan pergerakan.

“Sebelum ini pun kami akan pulang berhari raya di Taiping, jadi bila tak boleh merentas daerah dan negeri, tak dapatlah balik ke sana,” kata Zynakal yang menggemari juadah lemang goreng.