Krombolini dan pastri pelbagai perisa dengan hidangan istimewa menjadi tarikan di Chef Kecik Boulangerie Tuah 1895, Kuala Lumpur

SUKA melihat ibu memasak dan membantu ibu membuat kuih menjadikan Mohd Rahmat Bahaudin meminati bidang kulinari sejak kecil lagi, walaupun pada ketika itu industri ini bukanlah menjadi dambaan anak-anak muda.
Dengan berkat doa ibu bapa dan fokus pada apa yang dimahukan, kini usaha beliau membuahkan hasil. Bermula dengan ketuhar terpakai yang dibeli pada harga RM4,000, jejaka berusia 38 tahun itu berjaya mencipta sejarah dalam hidupnya apabila berupaya membuka kafe sendiri yang kini sudah mempunyai tiga cawangan di Semenyih, Kajang, dan Bukit Bintang.
“Kafe Chef Kecil adalah antara cita-cita saya. Sebelum ini, saya lebih fokus menjadi tenaga pengajar dalam ilmu pastri dan kulinari kepada pelajar di seluruh Malaysia, sama ada secara dalam talian mahupun kelas fizikal.
“Ada juga pelajar saya yang datang jauh dari Singapura sanggup turun ke sini untuk menuntut ilmu. Sehingga ada permintaan daripada mereka dan juga kawan-kawan yang menyuruh saya membuka kafe sendiri.
“Kepakaran saya lebih kepada pastri. Disebabkan itu, terdapat lebih 100 resipi dihidangkan kepada pelanggan di semua cawangan yang ada. Dengan bantuan 107 orang pekerja sekarang ini, saya yakin Kafe Chef Kecik boleh pergi jauh,” jelas anak jati Kuala Kangsar, Perak itu.
Ditanya tentang pembukaan kedai pada Januari 2025, Mohd Rahmat atau lebih mesra dengan panggilan CK berbangga diberi peluang keemasan kerana dapat meletakkan jenama kafenya pada pintu gerbang Penjara Pudu yang ikonik di Bukit Bintang.

Terbaharu, kafenya menjadi lokasi pilihan bagi program Borak Bibir Merah anjuran SinarPlus dan Kementerian.Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sempena Hari Wanita baru-baru ini. Walaupun pada mulanya dia takut akan tanggapan dan sambutan orang ramai, namun alhamdulillah sehingga ke hari ini semuanya berjalan lancar. Setiap hari pasti ada pelanggan yang datang membuat pembelian untuk dibawa pulang atau makan di kafe.
Krombolini pelbagai perisa
Anak bongsu daripada lapan beradik itu bukanlah seorang yang mudah mengalah. Mengakui saingan hebat diterima daripada jenama lain yang lebih dikenali, namun sebagai pemilik Bumiputera, beliau yakin makanan yang dijual mempunyai peminatnya yang tersendiri.
“Tidak ada perniagaan tanpa cabaran. Itu semua lumrah. Bagaimana cara kita mengatasinya, itulah yang paling penting.
“Alhamdulillah, penat lelah saya kini berhasil apabila melihat orang ramai datang ke kafe tanpa putus. Mereka mempunyai kegemaran pastri masing-masing. Antara yang popular semestinya krombolini yang pelbagai perisa. Begitu juga laksa Johor, nasi lemak dan juga nasi goreng CK. Setiap menu didatangkan dengan kelainan daripada tempat lain.
“Untuk Ramadan pula, kami menyediakan makanan moreh untuk pelanggan iaitu colek coklat ataupun sambal bersama roti croissant. Nampak pelik, tetapi ia mendapat sambutan hangat daripada orang ramai, mungkin kerana menu yang lain daripada yang lain,” ujarnya lagi.
Bagi anda yang ingin merasai sendiri kesedapan pastri dan menu lain yang disediakan, boleh segera datang ke Chef Kecik Boulangerie @ Tuah 1895, Bukit Bintang, bermula jam 11 pagi sehingga 12 tengah malam.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang