20 pelajar terkejut guru tak online, ditemukan meninggal dunia di rumah
PROSES Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)yang dilaksanakan pada ketika ini memerlukan pelajar dan guru berinteraksi secara maya.
Maklumlah, sesi persekolahan bersemuka ditangguhkan buat sementara waktu bagi mengekang penularan Covid-19. Justeru, mahu atau tidak platform PdPR digantikan baik untuk sesi kelas, kuliah mahupun peperiksaan.
Bercakap mengenai perkara tersebut baru-baru ini 20 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba, Masjid Tanah Melaka yang bersiap-siaga untuk menduduki peperiksaan secara online berakhir dengan kejutan.
Masakan tidak, guru yang seharusnya mengendalikan peperiksaan itu tidak muncul, sebaliknya ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Lendu Ilmu, Melaka.
Difahamkan, peperiksaan penggal itu dijadualkan bermula pada jam 10 pagi, namun guru Noazha Baba, 57, tidak memuatnaik soalan.Bimbang dengan situasi tersebut salah seorang pelajar cuba menghubungi telefon bimbit mangsa, tetapi tidak berjawab.
Kemudian, beberapa orang guru bertindak ke kediaman beliau di sebuah kampung di Lendu, Melaka.
Bagaimanapun, isterinya memaklumkan allahyarham telah keluar rumah sejak petang semalam (kelmarin) menuju ke kediaman mereka satu lagi di Taman Lendu Ilmu, berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah.
Setibanya di sana mereka mendapati rumah berkunci dan kereta guru terbabit ada di garaj.
Baca juga Pelajar IPT Meninggal Dunia: Rakan Dedah, Arwah Selalu Bantu Gelandangan, Golongan Terjejas PKP
“Mereka memanjat pagar sebelum memanggil arwah, tetapi tiada jawapan dan mendapati pintu gelongsor tidak berkunci dari dalam manakala jeriji pintu berkunci.
“Sebaik sahaja pintu gelongsor dibuka, mereka terkejut melihat arwah di atas sofa di ruang tamu sebelum menghubungi pihak polis dan bomba,” kata sumber seperti dilaporkan media tempatan.
Isteri memaklumkan selalunya mangsa akan pulang ke rumah pada sebelah malam selepas selesai tugasan PdPR di kediaman terbabit.
Bagaimanapun, malam tadi arwah suaminya tidak pulang dan usaha menghubungi telefon bimbit dikatakan tidak berjawab.
Allahyarham Cikgu Noazha sudah 15 tahun menabur bakti di sekolah berkenaan. Beliau meninggalkan seorang isteri dan dua anak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi punca kematian mangsa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang