SI COMEL itu hanya duduk diam di satu sudut. Sikit pun tidak mengganggu sesiapa.

Begitupun, entah apalah yang ada dalam fikiran si pelaku ini. Tiba-tiba badan si kucing hitam itu diangkat. Tak semena-mena dimasukkan ke dalam mesin dobi.

Suis butang mula mesin itu dihidupkan hingga akhirnya makhluk tuhan tersebut menemui ajal. Bayangkan keadaannya di dalam mesin berpusing laju itu sebelum nyawanya tamat.

Bukan seekor, sebaliknya tiga ekor sekali kucing itu diperlakukan sedemikian rupa tanpa belas ehsan oleh seorang manusia!

Video kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai dirakam sekitar jam 5.30 pagi semalam itu yang viral sejak semalam dikongsikan Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika.

Seorang lelaki dipercayai berusia 30-an melakukan perbuatan kejam itu.

“Lagi kes kucing dibunuh dengan cara dimasukkan dalam mesin dobi. Kejadian berlaku di Kepong, Kuala Lumpur. Kali ini melibatkan 3 ekor kucing.

“Ini kejadian kedua pembunuhan melibatkan mesin dobi. Saksi yang mendakwa lihat kejadian dan pemilik kedai dobi yang memiliki rakaman CCTV digesa sama-sama laporkan kejadian kepada pihak polis dan seterusnya panjangkan laporan ke pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS),” katanya dalam posting Facebook yang turut dikongsikan dengan SinarPlus.

Perbuatan lelaki berkenan yang dirakam CCTV.

Mohon saksi tampil

Menurut Arie, saksi kejadian diminta menyimpan tubuh kucing yang mati itu sehingga Unit Regulatori DVS datang buat siasatan di tempat kejadian. Pembuktian ini amat penting untuk kes yang kukuh dan pendakwaan.

Iklan

“Animal Malaysia mahu kes ini disisasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015. Hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM100,000 menanti pelaku di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Sebelum ini, pada September 2018 seekor kucing yang dimasukkan ke dalam mesin pengering pakaian dan dijumpai mati di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Batu Caves, Selangor.

Seorang lelaki yang videonya tular berhubung tindakan kejam bersama rakannya membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri, dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Selayang.

Iklan

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu teksi A. Mohanraj, 42, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan kes.

SinarPlus berharap pelaku kes kali ini turut segera didakwa. Itu jua harapan ramai warganet susulan video berkenaan yang tular, namun kini disekat oleh Facebook. -AG #JanganPutusAsaMalaysia