31 Ogos bukan sekadar cuti umum, tiga gadis kongsi pendapat hargai semangat kemerdekaan
MUNGKIN ada dalam kalangan kita yang masih beranggapan tanggal 31 Ogos hanya sekadar cuti umum yang membolehkan kita menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.
Namun, sebaliknya bagi sekumpulan gadis dari Kuala Terengganu ini yang begitu menghargai semangat kemerdekaan dan perjuangan golongan terdahulu, yang berjuang demi kebebasan agama, bangsa dan negara.
Bagi Y. Harshine, 22, setiap kali tibanya Hari Kebangsaan saban tahun, beliau melahirkan perasaan bersyukur dengan kemerdekaan dan kebebasan yang dinikmatinya hari ini.
“Sejak saya kecil lagi nenek (M. Talesamah, 78,) selalu cerita kesusahan hidup generasi sebelum merdeka. Nenek cakap waktu itu hendak keluar rumah pun takut kerana banyak ancaman terutama kepada orang perempuan.“Makan pun mereka terpaksa catu kerana bimbang terputus bekalan makanan. Bukan seperti kita sekarang yang boleh keluar rumah bila-bila masa dan boleh makan apa sahaja yang kita mahu,” katanya.
Sehubungan itu, pelajar Politeknik Merlimau Melaka itu mengingatkan golongan muda sepertinya supaya tidak jemu mendengar dan memahami kesusahan yang dihadapi generasi terdahulu supaya lebih menghargai erti kemerdekaan.
“Cerita-cerita sebelum kemerdekaan inilah yang perlu kita ketahui untuk kita ceritakan semula kepada generasi akan datang. Kalau tidak, kisah-kisah ini akan lenyap begitu sahaja dan tiada siapa akan menghargai kemerdekaan yang dikecapi ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kong Suet Jing, 24, pula tidak akan melupakan kenangan menyertai perarakan Hari Kebangsaan setiap tahun memandangkan beliau merupakan ahli kumpulan pancaragam sewaktu sekolah rendah dan sekolah menengah.
Katanya, walaupun kini telah bekerja, beliau akan bangun seawal 6 pagi pada 31 Ogos setiap tahun untuk menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan yang kebiasaannya berlangsung di Dataran Batu Burok, di sini.
“Selain untuk melihat junior beraksi pada acara perarakan, kehadiran saya di Dataran Batu Burok itu adalah untuk mengekspresikan penghargaan saya kepada pejuang kemerdekaan dan sebagai tanda saya sayangkan Malaysia. Bagaimanapun tahun ini agak sedih kerana tiada acara perarakan ekoran penularan Covid-19,” katanya yang bekerja sendiri.
Nur Ainul Syahirah Marzuki, 25, pula akan meluangkan masanya menonton filem-filem patriotik yang berkisahkan zaman sebelum kemerdekaan bagi menaikkan semangat kecintaannya kepada negara.
Antara filem wajib yang ditontonnya menjelang 31 Ogos adalah Embun, Paloh, Bukit Kepong dan Leftenan Adnan.
“Kita perlu berterima kasih juga kepada mereka yang mengeluarkan filem seumpama itu kerana dapat memberi gambaran bagaimana kehidupan nenek moyang kita sebelum merdeka. Saya harap lebih banyak lagi filem-filem patriotik dihasilkan,” katanya.
Korang pula macam mana? Apa fahaman korang berkenaan tanggal 31 Ogos?
BERNAMA
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang