7 ahli keluarga positif Covid-19, padah wanita warga emas lari dari PKPD untuk beraya

A
A
A

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) merupakan satu tindakan kerajaan yang membolehkan aktiviti kesihatan awam dijalankan. Terutamanya mengesan kes baharu di sesebuah lokasi berisiko tinggi yang dikesan mempunyai penularan jangkitan Covid-19.

Kerjasama daripada masyarakat kepada barisan hadapan amat diperlukan kerana matlamat akhirnya adalah untuk menangani wabak Covid-19 dapat dicapai.

Bercakap soal PKPD, mungkin situasi ini adalah kes pertama berlaku di Kelantan membabitkan penduduk lari dari kawasan di bawah pelaksanaan PKPD.

Wanita berusia 60 tahun dikatakan melarikan diri dari kampungnya di bawah PKPD di Mukim Bunut Susu untuk meraikan Aidilfitri di Pulau Beluru, Tumpat, Kelantan.

Sudahlah melarikan diri, lebih terkilan keputusan ujian saringan menunjukkan beliau positif Covid-19 pada hari raya kedua.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu telah mengakibatkan tujuh ahli keluarganya dijangkiti virus sama.

Susulan daripada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sedang mengesan kontak rapat warga emas terbabit untuk melakukan ujian saringan.

Kisah sedemikian hampir sama seperti Kluster Sivangga. Tentu korang masih ingat kluster tersebut yang mana seorang pemilik kedai makan ingkar arahan kuarantin kendiri pada 14 Julai 2020.

Ia bermula di Napoh, Kubang Pasu, Kedah selepas warga India berstatus penduduk tetap di Malaysia itu melanggar perintah kuarantin sekembalinya dari Sivagangga, Tamil Nadu, India.

Lelaki yang memiliki Restoran Nasi Kandar Salleh dilihat berada di premisnya ketika Hari Raya Haji dengan memakai gelang merah jambu pada pergelangan tangan kiri.

Kesan daripada itu, beliau telah menyebarkan virus Covid-19 kepada ahli keluarga dan rakan sekerja sebelum menular kepada individu lain.

Lantaran itu, KKM mengambil langkah drastik dengan melakukan pengesanan terhadap kontak di pejabat-pejabat kesihatan daerah bagi mencegah penularan Covid-19 di Kedah.

Kerajaan Kedah juga memutuskan untuk melaksana PKPD Secara Pentadbiran (TEMCO)di empat mukim terjejas akibat penambahan 11 kes aktif Covid-19 bagi kluster tersebut.

Justeru, pada 13 Ogos, pemilik kedai tersebut, Nezar Mohamed Sabur Bhatcha telah didenda RM12,000 dan penjara lima bulan di Alor Setar, Kedah setelah didapati bersalah mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Inilah akibatnya gara-gara tidak mematuhi SOP individu lain pula terpaksa menanggung padahnya.

Semoga Kluster Sivagangga menjadi pengajaran buat mereka yang masih berdegil dan gagal mematuhi SOP ditetapkan sepenuhnya.

Gambar hiasan: KKM

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca