Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bersantap di sebuah kedai roti tempayan di Daerah Pekan, Pahang.

Baginda yang cukup dikenali rakyat dengan sifat sederhana dan sering mendekati rakyat tanpa protokol ketat singgah di kedai itu kelmarin untuk menikmati sarapan semasa dalam perjalanan ke Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Sungai Soi, Pahang.

Seperti apa yang dikongsikan di laman Instagram rasmi Istana Negara (@istana_negara) memaparkan baginda yang mengenakan baju berwarna hijau duduk bersendirian menjamu selera, hidangan terkenal di daerah Pekan itu.

Turut kelihatan dalam foto yang dikongsi Istana Negara itu ialah tiga orang lelaki yang sedang menikmati hidangan dengan mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Agong berkenan santap di kedai roti tempayan, undang reaksi positif rakyat

Aksi baginda yang santai dan bersahaja itu telah mengundang reaksi positif warganet yang rata-rata memuji dan menyifatkan baginda seorang raja berjiwa rakyat.

Tiga keping foto yang dikongsikan itu telah mendapat lebih 46,000 tanda suka selepas beberapa jam disiarkan.

Iklan

Meninjau beberapa komen yang ditulis oleh Pengguna Instagram seperti @rohani_abdullah yang menulis “berjiwa rakyat” dalam kirimannya di ruangan komen manakala @hamidahcemari pula menulis “Terharu ada pemimpin yang berjiwa rakyat.

Seorang lagi menggunakan yang menggunakan nama @janetteyip pula menulis “Wish I am there to meet and pay for his lunch as a small token of appreciation for being such a caring YDPA toward us rakyat”. (saya teringin berada di sana untuk bertemu dan ‘belanja’ santapan tengah hari baginda sebagai tanda penghargaan kepada baginda kerana menjadi Yang di-Pertuan Agong yang penyayang rakyat).

Iklan

Daulat Tuanku!