Agong mencemar duli melawat mangsa banjir, berharap rakyat dapat patuh SOP
SINONIM dengan sifat sopan dalam menyantuni rakyat dan sangat berjiwa rakyat, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran 1 di sini.
Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.
Memetik portal media tempatan, keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 12 tengah hari disambut Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail.
Bertitah selepas mendengar sembah taklimat situasi banjir di daerah itu, Al-Sultan Abdullah menasihati semua mangsa di pusat pemindahan banjir agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan Covid-19 bagi mengelakkan wabak tersebut merebak di pusat pemindahan.
"Saya nak menasihatkan, walaupun keadaan kita susah akibat banjir, ini adalah dugaan dan saya bimbang kalau kita tidak patuh SOP mungkin akan jadi bebanan jika berlaku penularan kepada kita semua."Dalam keadaan banjir ini, khususnya di pusat pemindahan, semua harus patuhi SOP. Saya doakan keadaan di sini terus pulih," titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menguruskan bencana alam itu.
Seri Paduka berdua berkenan mencemar duli menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka.
Terdahulu, Seri Paduka yang memandu sendiri bersama konvoi Istana Negara ketika dalam perjalanan ke pusat pemindahan berkenaan turut meredah laluan di Km113 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) yang masih ditenggelami banjir.
Hari ini Seri Paduka berdua dijadualkan menziarahi mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di daerah ini.
Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 252 PPS dibuka di seluruh Pahang melibatkan 18,579 mangsa daripada 4,814 keluarga.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang