BERPAKSIKAN dengan kekuasaan ALLAH dan al-Quran sebagai penyembuh paling mustajab, Nornailah Mohd Fadli terus cekalkan hati demi putera sulung tersayang.

Sebenarnya tiada siapa pun menyangka, Tuan Zuhayr Al-Mundzir Tuan Mohd Azreen Azhar atau panggilan manjanya, Zuhayr yang dilahirkan cukup sifat dengan berat 3.3 kilogram itu diduga berdepan masalah spastic diplegic cerebral palsy.

Anak syurga itu turut disahkan Hypoxic-ischemic encephalopathy (HIE) tahap tiga tanpa sebarang sebab kukuh pada awal kelahiran mendorong wanita tabah itu nekad melakukan sesuatu.

al-quran terapi

HIE merupakan satu komplikasi kelahiran serius dan menjejaskan bayi yang dilahirkan cukup bulan. Ia berpunca daripada kerosakan saraf akibat oksigen tidak sampai ke otak.

Menurut statistik yang dikongsikan National Institutes of Health, seramai 40 hingga 60 peratus bayi yang terjejas HIE dilaporkan meninggal dunia pada usia dua tahun atau mengalami kecacatan teruk sehingga terlantar seumur hidup.

Kepada SinarPlus, Nornailah memberitahu, pada mulanya dia sukar untuk menerima hakikat apabila dimaklumkan bahawa peratusan hidup anaknya sangat nipis dengan komplikasi yang bakal dihadapi.

 

Lebih mencemaskan, Zuhayr dikatakan tidak menangis langsung ketika disambut oleh doktor sebelum diserang sawan lebih 30 minit.

al-quran terapi

“Hati ibu mana sanggup melihat keadaan anak pada masa itu cukup kritikal sehingga terpaksa menjalani terapi penyejukan selama 72 jam. Pada masa sama, dia diintubasi demi mengelak kecederaan atau pendarahan lebih teruk dalam otak.

Baca juga Bapa tunggal 8 anak tabah jaga empat anak Cerebral palsy. Mohd Zain tak pernah merungut, mohon doa orang ramai

“Bayangkan pada hari kesembilan, barulah saya dapat peluk dan cium Zuhayr meskipun dia masih bergantung dengan tiub pernafasan,“ katanya yang menetap di Cyberjaya.

al-quran terapi

Cerita ibu berusia 37 tahun itu lagi, boleh dikatakan dalam tempoh tiga tahun pertama cukup mencabar, apatah lagi anaknya kerap keluar masuk hospital dan menangis sepanjang hari sehinggakan tiada pengasuh yang sanggup menjaganya.

“Orang tua kata kena sawan tangis. Masa itu saya ingatkan keadaan akan beransur pulih, namun tiada perkembangan positif. Situasi itu juga memaksa saya untuk berhenti kerja.

Baca juga ‘Anak syurga luar biasa’. Ayah gigih buktikan anak OKU mampu cipta keajaiban & sejarah tersendiri

“Bila lihat perkembangannya tidak seperti kanak-kanak lain, hati saya terdetik sesuatu. Apatah lagi dia tak mampu nak merangkak, waima berjalan meskipun umur sudah mencecah lebih setahun,“ katanya.

al-quran terapi

Tidak mahu situasi tersebut terus berlarutan, ibu tunggal itu segera mendapatkan nasihat pakar untuk mendapatkan rawatan fisioterapi pertuturan dan pergerakan, neurologi serta pemakanan, selain bantuan grup sokongan.

Terapi

Kata Nornailah, berkat usaha keras yang dilakukan, akhirnya belahan jiwanya itu sudah boleh berjalan sendiri, meski bergantung dengan alat bantuan.

Iklan

al-quran terapi

Kini, kanak-kanak comel berusia 13 tahun itu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana di Puchong, Selangor.

“Tipulah kalau kata Zuhayr tak pernah kena usik ketika di sekolah rendah dahulu. Dia jenis mudah terkejut dan bila orang geletek badannya sehingga boleh terjatuh.

“Apa yang boleh saya nasihatkan supaya dia pandai jaga diri dan jika perbuatan kawan-kawan teruk, laporkan kepada guru kaunseling,“ tuturnya yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat kepada buah hatinya itu.

al-quran terapi

Percaya dengan potensi seorang anak, ditambah dengan terapi yang berterusan, Nornailah cuba menggabungkan teknik bacaan dan hafazan al-Quran untuk melancarkan lagi pertuturan Zuhayr.

“Saya percaya al-Quran mampu memberikan kesembuhan buat Zuhayr dan ternyata dia boleh bercakap dengan sempurna. Meskipun mengambil masa lebih kurang tujuh tahun bermula dengan iqra‘, namun alhamdulillah hasil cukup memberangsangkan.

al-quran terapi

“Sekarang ini pun, dia dapat masuk kelas aliran agama seperti yang diinginkan. Dia pernah cakap nak jadi seorang hafiz al-Quran suatu hari nanti,“ katanya yang menanggung seorang lagi anak, Tuan Zahra Adra, 11, yang masih bersekolah.

Iklan

Kebergantungan hidup dengan pendapatan sebagai pembantu tadbir di sebuah masjid, ibu dua anak itu kadang-kadang berdepan kekangan untuk mendapatkan rawatan terapi khas berterusan di Pulau Pinang.

“Jika Zuhayr memerlukan rawatan intensif, kami berpaksa bermalam di sana untuk menghabiskan terapi yang disyorkan pakar terapi. Semuanya bergantung dengan gaji bulanan semata-mata.

al-quran terapi

“Tipulah kalau kami tak berdepan dengan masalah kewangan. Ditambah kos ulang-alik ke hospital dan pusat rawatan khas, kos rawatan fisiologi dan lain-lain keperluan membuatkan duit simpanan tak mencukupi,“ luahnya.

Kepada orang ramai yang ingin membantu meringankan kos rawatan yang ditanggung tiga beranak ini, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun CIMB 7600409770 atas nama Nornailah Mohd Fadzli.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee