SAMBUTAN Ramadan tahun ini terlalu suram buat Zawani Abdul Ghani setiap kali mengenangkan dugaan hidup yang bertandang silih berganti.

Pada April 2020, Zawani diuji dengan anak yang hilang upaya akibat kemalangan. Tragedi hitam itu telah menyebabkan Muhammad Hiqbal Yaakob atau Hiqbal, 19, sudah tidak mampu lagi berjalan seperti biasa.

Kepada kami, Zawani meluahkan kesedihan yang terbuku di dalam hati.

“Hiqbal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki. Bila mengingatkan kembali saat kemalangan itu, memang ramai yang menjangkakan Hiqbal sudah tak boleh diselamatkan lagi. Selepas dilanggar kereta, dia melambung ke jalan dan kemudiannya diserang sawan.

“Masa dibawa ke hospital, doktor maklum anak saya mengalami pendarahan dalam otak. Dia koma dan bergantung kepada tiub lebih dua minggu, tapi dengan kuasa ALLAH dia masih lagi bernyawa lagi,“ imbaunya yang menetap di rumah pusaka keluarga di Kampung Pak Chat, Hulu Langat, Selangor.

zawani anak lumpuh

Meskipun perkembangan anak keempat daripada lapan beradik itu semakin pulih, namun Hiqbal tidak boleh bergerak seperti dulu. Selain bergantung kepada kerusi roda, beliau juga terpaksa memakai lampin pakai buang.

“Luluh jiwa saya memikirkan keadaan Hiqbal kerana sepatutnya dia perlu menjalani satu lagi pembedahan untuk memasukkan besi pada kakinya, tetapi terpaksa ditangguhkan sebab saya tiada duit.

Baca juga Adik Nurul Adlina menderita sakit tulang punggung, idam mahu motosikal elektrik untuk mudah bergerak

“Saya juga tiada kenderaan untuk ke hospital dan terpaksa sewa ambulans ke sana yang memerlukan kos yang tinggi,“ kata wanita itu yang masih menanggung empat lagi anaknya yang masih sekolah.

zawani anak lumpuh

Cerita Zawani, keadaan kewangan keluarga beliau juga menjadi semakin sukar apabila suami tercinta, Yaakob Hamid, 59, tidak mampu lagi bekerja sebagai pekerja kebun selepas diserang strok.

“Sebenarnya sudah dua kali suami diserang strok akibat darah tinggi tak terkawal, cuma kondisinya semakin teruk pada tahun 2018 sehingga separuh badannya lumpuh. Suami pun susah nak bercakap seperti orang normal sekarang ini.

Baca juga Meya hanya mampu mengesot, anak penjual donut ini derita penyakit jarang jumpa di dunia

“Kalau dulu, saya dan dia berniaga air tebu, nasi lemak dan roti canai di depan rumah untuk menampung perbelanjaan harian, tetapi sekarang dia sudah tak kuat,“ katanya yang bergantung kepada bantuan kerajaan sebanyak RM500 sebulan.

Terputus bekalan makanan

Hanya dibantu dua anaknya yang sudah bekerja selain bantuan kerajaan, namun semua itu tidak dapat menampung keperluan harian.

zawani anak lumpuh

Pernah beberapa kali keluarga malang tersebut terputus bekalan makanan seperti beras dan lauk-pauk.

Iklan

“Kadang-kadang kami 10 beranak hanya makan jemput-jemput sebagai alas perut. Masa itu hanya tinggal tepung sahaja. Paling membuatkan saya sedih, anak-anak saya sampai peringkat tak dapat nak pergi sekolah disebabkan tiada duit.

Baca juga Hanya sedar kehadiran ibu jika tangan atau kaki sentuh. Penderitaan adik Mell bikin ramai tersentuh

“Kalaulah saya boleh berniaga semula, mungkin makan minum mereka terjaga. Memang saya ada niat nak mulakan semula jualan, tapi wang yang ada pun cukup-cukup makan,“ katanya yang tidak pernah membayangkan lagi makanan enak ketika berbuka puasa, apatah lagi keperluan untuk menyambut Aidilfitri.

Dengan rasa rendah diri, Zawani berkata, keluarga beliau amat memerlukan bantuan orang ramai agar dapat meringankan beban yang ditanggung terutamanya melibatkan kos pembedahan dan rawatan fisiologi buat Hiqbal.

zawani anak lumpuh

“Bukan mahu meminta-minta, cuma dengan pertolongan yang dihulurkan bolehlah saya teruskan rawatan Hiqbal. Selain itu, kami juga teringin nak baiki bumbung rumah peninggalan emak ini yang bocor teruk. Sedih bila setiap kali hujan, kami terpaksa tadah dengan baldi.

Iklan

“Saya tidak putus-putus berdoa kepada ALLAH semoga Ramadan kali ini memberi rezeki dan sinar buat kami. Teringin juga nak beri makan anak dengan lauk yang sedap untuk hidangan buka puasa atau sahur. Namun, apakan daya bila saya sendiri tidak boleh bekerja kerana menjaga suami dan anak yang memerlukan perhatian,“ katanya dengan nada sebak.

Kepada pembaca SinarPlus yang ingin membantu keluarga Zawani, sumbangan boleh terus disalurkan ke akaun BSN 1099541100179185 atas nama Zawani Abdul Ghani.

Mudah-mudahan setiap sen yang dihulurkan dapat memberi keceriaan kepada keluarga yang sangat memerlukan sokongan masyarakat.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.