Anak muda 'berlonggok', tak hirau social distancing, tugas kita ingatkan mereka
KES jangkitan wabak Covid-19 di negara ini sudahpun mula berkurangan berkurangan. Namun demikian, kita masih perlu berhati-hati.
Ironinya, ramai sudah mula melupakan syarat yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebaran virus jahat itu benar-benar dapat diputuskan.
Sekolah akan mula dibuka secara berperingkat pada 15 Julai ini. Justeru, lagilah langkah berkaitan perlu diambil berat terutama dalam kalangan anak-anak kita yang akan ke kelas.
Jika di dalam kawasan sekolah, ia masih boleh dikawal oleh guru. Begitupun, bagaimana jika di luar pagar sekolah? Itulah yang perlu sentiasa kita pesankan kepada anak-anak.
Posting cikgu bernama Ireyna Fadhya Che Ibrahim, 40, guru di Sekolah Taman Sri Sinar, Segambut, Kuala Lumpur baru-baru ini sepatutnya diambil iktibar oleh ibu bapa terutamanya agar sentiasa mengingatkan anak-anak.
"Di sekolah memang cikgu boleh pantau, tapi bagaimana jika di luar? Sudah tentu ibu bapa perlu sentiasa ingatkan anak-anak," katanya kepada SinarPlus.
Menyentuh hati warganet, ikuti perkongsian beliau yang tular di media sosial baru-baru:
"Pulang dari sekolah...
Lalu di hadapan sekolah menengah berdekatan rumah.
Nahhhh......berkelompok anak-anak muda tingkatan 5
Siap bertepuk tampar dan selonggok duduk bertenggek di kaki lima jalan raya
Entah kenapa....
Hati sebak...
Sebak mengenangkan bersusah payahnya kawan-kawan guru cuba menurut segala SOP yg ada demi keselamatan anak-anak tercinta.
Macam ni lah....
Kita pesan-pesan sikit...
Di dalam sekolah....
Sudah terlalu banyak yang dilakukan oleh guru dalam memastikan terjaganya penjarakan sosial antara murid.
Bila umum sekolah nak dibuka...
Cikgu bertukar macam transformer.
Jadi tukang kayu
Jadi tukang cat
Jadi tukang sapu
Jadi tukang segala tukang.
Ada yang kena angkut kerusi meja
Ada yang tertonggeng-tonggeng melekat tape dan buat tanda penjarakan.
Kemudian..
Orang atas datang pantau.....
Jika ada yang tak kena,
Cikgu kena ubah lagi untuk penambahbaikan
Kena orang atas yang tahu berterima kasih
Untunglah cikgu rasa sikit dihargai.
Kena yang hanya tahu nak cari salah
Habis semua dibuat serba tak kena
Cikgu hadap semua tu sebelum murid masuk sekolah
Bila hari murid masuk...
Cikgu dah awal pagi terpacak ambil suhu
Jaga punya jaga
Pesan punya pesan
Kawal punya kawal
Sampailah murid balik.
Boleh je nak buat tak tahu
Biarlah murid jaga jarak ke tak
Tapi....cikgu ni dia takut
Takut sebab sedang jaga anak orang
Jaga anak sendiri tak takut mcm jaga anak orang
Anak orang kena terguris tangan sikit main dengan kawan
Mak ayah akan datang tanya kenapa
Mak ayah akan buat laporan di jabatan
Kemudian cikgu akan disoal siasat
Di soal mcm cikgu dah bunuh orang
Kemudian kena sedia laporan segala.
Itu baru kena terguris tangan atau tercucuk pensil.
Jadi ....boleh bayang tak kalau anak kena covid
Apa reaksi mak ayah.
Tak mungkin nak mengaku ada bawa anak ke mall
Tak mungkin mengaku pergi jalan merata.
Jadi....sudahnya gurulah yg akan disoal siasat segala
Apa cikgu buat ?
Adakah cikgu patuh sop?
Cikgu buat itu tak?
Cikgu buat ini tak ?
Ya...inilah senarionya
Dan kerana itu
Cikgu sanggup tertonggeng-tonggeng menampal macam-macam bagi memastikan jarak murid terjaga.
Tapi.....sedihnya bila di luar...
Jauh dari pagar sekolah...
Mak ayah lewat jemput anak
Mak ayah lupa nak pesan dan pesan pada anak supaya jaga jarak
Lupa nak pesan pakai mask sentiasa
Maka....anak-anak tak amalkan norma baharu yang ada.
Anak-anak berlagak biasa.
Luluh ya...
Luluh hati seorang guru yang melihatnya
Luluh rasa melihat usaha di dalam seakan sangat sia-sia bila tiba di luarnya
Ia seakan cikgu syok sendiri
Beria menjaga sedangkan di luar
Semua beriang-ria.
Tolonglah....
Jika nak hantar anak ke sekolah
Jangan main lepas tangan saja
Persiapkan anak-anak dengan norma baharu
Pesan dan pesan hingga ia menjadi sebati dan boleh diamalkan anak anak
Jika anda yang menjemput anak
Jemputlah tepat pada waktunya
Jangan biar anak-anak duduk melepak dengan kawan-kawannya
Ini tanggungjawab kita sebagai ibubapa.
Jika kita rasa anak masih tak mampu mengamalkan norma baharu ini
Kekalkan anak di rumah saja.
Tolong jangan menjadi punca dan asbab orang lain di luar sana mendapat susah hanya kerana sikap anak anak kita yang tak pernah kisah dengan norma baharu yang ada.
Tolong ya.
Itu luahan hati Cikgu Ireyna Fadhya. Moga ramai ibu bapa dan penjaga anak yang bakal bersekolah nanti beringat dan jangan lupa ingatkan pada anak-anak. -AG #janganputusasamalaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang