RAYA mungkin tak bermakna tanpa Dihan. Dialah bukti keajaiban ALLAH. Anak yang dikatakan sudah tiada harapan untuk hidup selepas berdepan komplikasi dalaman, kini mampu bernafas sendiri. Allahuakbar!“

Demikian luahan penuh syahdu seorang bapa, Wira Sudepja Rabu, 49, tatkala bercerita perihal anak perempuan bongsunya yang berdepan ujian cukup getir selepas disahkan menghidap cerebral palsy quadriplegia.

Dihan atau nama sebenarnya, Nur Wadihan mengalami pendarahan dalaman selepas uri tertanggal ketika usia kandungan lapan bulan.

Kondisi menakutkan tersebut secara langsung menyebabkan bekalan oksigen si kecil pada ketika itu terjejas teruk.

keajaiban anak syurga

Beritahu Wira Sudepja kepada SinarPlus, sebelum kejadian isterinya mengadu sakit perut dan ketika pemeriksaan bersama doktor pakar, denyutan nadi si bayi semakin merosot.

Tidak mahu keadaan semakin memburuk, satu prosedur pembedahan secara mengejut terpaksa dijalankan demi menyelamatkan dua nyawa yang disayanginya.

keajaiban anak syurga

“Paling saya tak boleh lupa, Dihan sudah lemas dan tidak bernyawa dalam tempoh 10 minit. Doktor sahkan ketika itu kematian klinikal tapi selepas buat bantuan pernafasan, nadi dapat dikesan semula.

“Alhamdulillah dia kembali bernafas meskipun ketika itu kondisinya agak teruk. Doktor pun beritahu harapan untuk kembali normal sangat tipis kerana masalah pendarahan dalaman khususnya pada otak,“ ceritanya sebak.

Tiada kekuatan untuk memberitahu hal sebenar kepada isterinya yang turut bertarung nyawa selepas mengalami pendarahan teruk, bapa kepada dua anak itu kemudian pasrah dengan ketentuan ILAHI.

 

“Saya minta bantuan doktor untuk menerangkan segala-galanya kepada isteri. Tipulah jika kata tak sedih, namun kami kuatkan hati dan cuba yang terbaik,“ katanya yang menetap di Seri Kembangan, Selangor.

Tempoh tiga hari di unit rawatan rapi neonatal (NICU) cukup menggerunkan, apatah lagi si kecil tidak menunjukkan perubahan positif meskipun rawatan demi rawatan diberikan.

keajaiban anak syurga

“Malam kedua barulah isteri dapat jumpa Dihan. Kami bekalkan susu ibu buatnya setiap hari. Alhamdulillah hari keempat, dia sudah mampu menyusu buat pertama kalinya.

“Bagaikan satu keajaiban, semuanya berubah. Ubun kepala Dihan yang sebelum ini keras kembali berdenyut semula. Boleh diibaratkan mati hidup semulalah anak kami masa itu,“ ujar lelaki itu penuh takjub.

Baca juga Terlantar sejak kecil akibat tersedak susu, ibu mohon bantuan kerusi khas untuk anak OKU

Meskipun anak syurga itu sudah melepasi fasa kritikal, namun tempoh tiga tahun pertama cukup mencabar.

keajaiban anak syurga

Boleh dikatakan hospital menjadi rumah kedua buat pasangan suami isteri tersebut setiap kali menjelang Aidilfitri kerana cahaya matanya itu kerap mengalami masalah pernafasan, jangkitan paru-paru dan hati tersumbat.

“Sekarang ini pun raya kami tak sama seperti orang lain. Disebabkan tahun lepas kami sekeluarga diuji wabak Covid-19, jadi kali ini lebih berwaspada. Kami hadkan rumah yang perlu pergi sahaja.

keajaiban anak syurga

“Sekiranya terlampau ramai tetamu, Dihan akan diletakkan di dalam bilik. Bagi kami mencegah itu lebih baik,“ katanya yang pulang beraya ke kampung isterinya, Nur Murni Nona Mohd Nordin, 50, di Kelantan.

Cipta rekod

Tidak mahu zuriatnya itu terperap di rumah sahaja, pengurus logistik itu mencuba aktiviti riadah seperti berjalan sambil menolak kerusi roda insan kesayangannya itu di taman rekreasi berhampiran.

Iklan

“Apa yang membuatkan kami terkesima apabila melihat Dihan buat pertama kalinya ketawa dengan ceria melihat orang berbasikal. Saat itu terdetik idea untuk bawa dia berbasikal.

keajaiban anak syurga

“Itulah titik mula kami berbasikal. Pengangkutan berbentuk trailer diubah suai untuk membawa Dihan. Bimbang juga bila sertai acara berbasikal tapi tak sangka orang ramai memberikan sokongan luar biasa,“ cerita beliau.

Kini Dihan sudah berusia 16 tahun. Sudah pelbagai program disertai termasuk mencipta dua rekod Malaysia Book Of Records iaitu duathlon sejauh 48 kilometer di Kerian, Perak (Ogos 2018) dan berbasikal merentas sempadan Malaysia – Thailand pada Januari 2020.

keajaiban anak syurga

Lebih membanggakan, dua beranak itu mencipta catatan peribadi dengan berbasikal di tujuh lokasi terkemuka.

Antaranya Gunung Jerai, Kedah; Wang Kelian, Perlis; Fraser‘s Hill, Pahang dan Stelvio Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Baca juga Suami terlantar atas katil sejak 4 tahun lalu, anak sulung pula hilangkan diri. Mahani mohon simpati masyarakat

Untuk mencapai semua kejayaan itu bukanlah mudah. Akui pengasas Kelab Bikeisable itu, ia tidak akan berjaya tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak.

Iklan

keajaiban anak syurga

“Percayalah, program riadah bukan sahaja mengubah emosi anak-anak kurang upaya (OKU) menjadi lebih baik, bahkan ia sebagai terapi penyembuhan diri buat ibu bapa.

“Apa yang saya cuba lakukan ini adalah sebagai sistem sokongan emosi buat mereka yang mungkin sebelum ini tertekan dek berkurung di rumah disebabkan bimbang kondisi anak,“ ungkapnya penuh semangat.

keajaiban anak syurga

Justeru, pihaknya merancang untuk menganjurkan lebih banyak kelainan dengan membawa ahli berbasikal ke empat negeri jika dana mencukupi pada tahun ini.

Bagi merealisasikan impian, sumbangan ikhlas orang ramai boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 562106638825 atas nama Malaysian Advocates for Cerebral Palsy.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!