SETIAP kali Ramadan menjelma, jiwa Nur Zulaikha Mohamat Zapiru pasti bersedih. Mana tidaknya, perasaannya luluh mengenangkan nasib anak perempuannya yang terlantar lemah.

Nur Damia Erriesya Muhamad Nasruddin, 16, atau manja dipanggil kakak disahkan menghidap penyakit cerebral palsy ketika usianya mencecah lapan bulan.

Meski dilahirkan sihat walafiat dan tiada sebarang komplikasi sepanjang proses kehamilan, namun ujian yang menimpa anak syurga berkenaan benar-benar di luar jangkauan.

Masakan tidak, tumbesaran kakak tidak seperti anak-anak lain apabila si comel itu tidak mampu meniarap waima mengangkat kepala dan tangan sekali pun.

anak terlantar

Lebih memeranjatkan, hasil pemeriksaan terperinci termasuk ujian pengimejan resonans magnetik di hospital menunjukkan saraf dalam otak anaknya itu terjejas teruk akibat insiden tersedak susu.

Mengimbau kembali peristiwa hitam yang hampir meragut nyawa si kakak, Nur Zulaikha memberitahu, kejadian menakutkan itu barangkali menjadi asbab untuk semua yang berlaku.

“Saya masih ingat lagi, kakak ketika itu baru berusia 10 hari. Rutin biasa selepas minum susu badan, saya akan tepuk belakang badannya untuk mudahkan sendawa.

 

“Bila yakin dia sudah selesa, saya pun mengiringkan badannya dan berehat sambil menonton televisyen. Namun, secara tiba-tiba kakak muntah susu,” ceritanya yang menumpang di rumah nenek di Kuala Krai, Kelantan.

Bukan sahaja panik melihat susu meleleh keluar daripada hidung dan mulut, bahkan hati wanita itu tak keruan tatkala wajah anaknya sudah membiru serta tidak bernafas.

“Masa itu saya sudah tak fikir panjang dah. Saya cepat-cepat riba dan cuba sedut lebihan susu pada hidungnya. Boleh dikatakan lima minit jugalah dia tak bernafas.

anak terlantar

“Dua kali sedut keluarlah ketulan susu, baru anak kembali bergerak dan menangis. Bila dah okey, kami pun bergegas ke klinik sebelum dirujuk ke hospital. Kakak ditahan wad seminggu kerana ada jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Baca juga Suami terlantar atas katil sejak 4 tahun lalu, anak sulung pula hilangkan diri. Mahani mohon simpati masyarakat

Sewaktu bercerita perihal puteri sulungnya kepada SinarPlus, wanita berusia 35 tahun itu tidak dapat menyembunyikan perasaan hiba sehinggakan suaranya bergetar.

anak terlantar

“Kalau nak kongsi kisah kakak, memang saya automatik akan sebak dan menangis.

“Walaupun sudah kuatkan hati dan tak mahu sedih-sedih lagi, namun apakan daya.

“Bukan apa, setiap kali menatap wajahnya, saya jadi pilu. Andai kata saya pergi dahulu, tak tahulah bagaimana nasib dia nanti,” ujar ibu tunggal itu dengan nada lemah.

Bantuan peralatan

Bergantung hidup dengan jualan takoyaki yang tidak menentu di hadapan rumah, Nur Zulaikha bersyukur apabila diberi peluang untuk bekerja sebagai pembantu jualan air balang sepanjang Ramadan ini.

Akui ibu dua anak itu, sebenarnya fikirannya runsing memikirkan kos yang perlu ditanggung termasuk persekolahan anak bongsu, selain persiapan puasa dan hari raya.

anak terlantar

Iklan

“Sekarang ini saya utamakan keperluan anak-anak dahulu terutamanya Damia. Dia masih perlu berjumpa dengan lima doktor pakar di dua hospital berbeza untuk rawatan susulan setiap bulan.

Baca juga Lebih 10 tahun terlantar, tragedi lemas ubah hidup adik Ijul selamanya. Sebak lihat keadaan si kecil ini

“Anak bongsu pula paling banyak beralah sebab saya lebih memberi tumpuan kepada si kakak. Saya kalau boleh nak bahagiakan mereka dengan baju raya baharu dan beri makan yang sedap-sedap, namun setakat ini masih belum kesampaian,” tuturnya.

anak terlantar

Tanpa berselindung, Nur Zulaikha juga memberitahu, pihaknya juga sedang memohon bantuan perkakas berupa kerusi mandi khas untuk keperluan harian anak perempuannya itu dengan pihak hospital.

“Kudrat saya kadang-kadang tak larat untuk mengangkatnya dengan susuk tubuh yang sudah besar.

Iklan

“Jadi, kalau ada kerusi khas tersebut, mudahlah untuk saya uruskan dia mandi dan sebagainya.

“Kalau ada pihak mahu beri sumbangan untuk kakak, saya syukur sangat. Sekurang-kurangnya dapat ringankan beban yang ditanggung,” kata bonda kepada Muhammad Dayyan Rifqi,10.

anak terlantar

Kepada orang ramai yang ingin membantu menceriakan keluarga Nur Zulaikha sepanjang bulan Ramadan ini, dana bantuan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 153029299252 atas nama Nur Zulaikha Binti Mohamat Zapiru.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!