ANAK tertidur dalam kenderaan itu perkara yang biasa. Tiada apa apa yang pelik berkaitan tidur dalam kereta, malah saintis tidur mengatakan bahawa pergerakan kereta yang membuai menyebabkan kita mudah tertidur jika keletihan.

Mungkin perkara yang sama terlintas di fikiran ibu ini, Nor Jalilah Leyla apabila melihat cahaya matanya melelapkan mata ketika dalam perjalanan ke Tanjung Karang, Selangor.

Ibu muda itu baharu sahaja menghadapi detik cemas apabila mereka sekeluarga mengalami kekurangan oksigen dalam otak susulan keracunan.

Segalanya berlaku apabila Nor Jalilah memandu bersama anak-anak dan ibu bapa mertua pada 19 Mei lalu. Pengalaman yang tidak akan dilupakan itu hampir meragut nyawa mereka sekeluarga apabila terdedah kepada kebocoran gas karbon monoksida.

Nor Jalila menganggap apa yang dilalui baru-baru ini ibarat mimpi ngeri.

“Saya dan anak-anak merancang untuk mengikut ibu bapa mertua balik untuk beberapa hari.

“Dalam perjalanan semuanya ok, anak-anak seronok berbual sambil menemani Atok dan Opah. Kami siap singgah makan tengah hari di Temerloh sebelum meneruskan perjalanan.

“Ketika itu saya hantar gambar anak-anak tengah tidur kepada suami. Suami tegur muka si abang Eijaz nampak pucat. Dia tanya anak-anak ok atau tidak.

“Saya balas ok, tengah tidur kepenatan. Tak sangka sebenarnya mereka lain macam masa ni,” kata Nor Jalilah ketika dihubungi SinarPlus.

Tutur ibu itu, anak perempuannya Deeja, 1, pula senyap, tidak ceria dan tidur. Fikirnya, mungkin cuaca panas.

Bagaimanapun pada sekitar 1.00 tengah hari, Deeja tiba-tiba terjaga dan merengek sikit. Tetapi matanya tidak terbuka.

“Saya sedang pujuk tetapi tiba-tiba dia lembik. Naluri seorang ibu merasakan sesuatu tapi tidak tahu apa. Saya cuba kejutkan Deeja tetapi tiada respons.

“Saya ketika itu terus jadi panik kerana dia tidak sedar, lembik selembik-lembiknya. Terus saya menjerit kepada mertua beritahu Deeja tak sedarkan diri dan tanpa diketahui punca,” kongsi Nor Jalilah.

Ibu itu bertindak meMbuka baju dan seluar si anak dan menepuk-nepuk tubuh. Malah air disapu tetapi Deeja tidak juga memberikan respons. Lebih membimbangkan pernafasan si kecil semakin lemah.

“ Kami berhenti tepi lebuh raya, saya terus turun tahan kereta sambil mendukung Deeja. Masa itu tak tahu nak cakap apa, nyawa ni dah macam nak tercabut. Saya hanya fikir, Ya ALLAH anak-anak aku kenapa ni, jangan ambil anakku.

“Zara dan Eijaz meraung-raung dalam kereta kerana takut tengok kami panik dan riuh kejutkan Deeja. Semasa menahan kereta untuk meminta bantuan, satu kereta keluarga berbangsa Cina iaitu Encik Richard berhenti dan bertanyakan kenapa keadaan.

“Dia minta kami follow dia untuk terus ke hospital berdekatan,” kata Nor Jalilah.

Ketika itu mereka tidak terlintas atau mengesyaki masalah gas. Bagaimanapun lelaki itu  berpesan agar tingkap Hyundai Matrix yang dinaiki mereka sekeluarga dibuka.

Namun sepanjang perjalanan dari Bentong ke hospital, Zara, 5, dan Eijaz, 3, pula mula tidak sedarkan diri.

“Dalam perjalanan ke hospital Deeja masih belum memberikan tindak balas. Luruh rasa jantung saya kerana tidak tahu punca.

“Tiba-tiba Zara dan Eijaz pula diam dan tidak sedarkan diri. Eijaz tertiarap di bahagian bawah kaki dengan muka ke bawah carpet kereta. Zara juag tertiarap dengan separuh badan di atas kerusi dan kaki ke bawah, “ tutur si ibu.

Kata Nor Jalilah, bapa mertuanya terus memandu mengikuti Richard manakala ibu mertua cuba mengejutkan Eijaz dan Zara.

Ibu bapa mertua Nor Jalilah dan tiga anaknya kini semakin pulih.

“Alhamdulillah mereka sedar semula dan nangis. Eijaz ketara pucat dan lesu. Saya pula mula mula muntah, pening nak pitam. Tapi sebab anak-anak tidak sedar, saya gagahkan jua bertahan.

“Sambil muntah, saya kejutkan Zara, Eijaz dan Deeja. Sesampainya di Hospital Orang Asli, Gombak, kami terus ke bahagian kecemasan,” katanya.

Si kecil Deeja disambut petugas kesihatan dan diberikan bantuan oksigen. Tidak hanya anak-anak, Nor Jalilah mengalami simptom keracunan iaitu sesak nafas dan muntah kosong.

Kata Nor Jalilah, ibu mertuanya pengsan selepas sampai di hospital manakala bapa mertua dan dua anak yang lain diberikan bantuan oksigen juga. Selepas diberi bantuan oksigen, keadaan semakin stabil tetapi tubuh mereka sekeluarga masih lemah.

“Suami saya dalam perjalanan balik dari Kuantan dan kes kami dirujuk ke Hospital Selayang. Jam 8.00 malam kami semua dihantar menaiki ambulans. 

Iklan

“Doktor mengesahkan kami keracunan gas monoksida yang berpunca daripada kebocoran bahagian ekzos kereta.

“Kami semua dipantau sehingga benar-benar stabil. Kata doktor kalaulah saya beranggapan anak-anak sedang tidur lena, kemungkinan ia mengancam nyawa mereka. Ia memang serang orang yang tidur. Tidur dan terus tak sedarkan diri sampai kekurangan oksigen pada otak.

“Ya ALLAH syukur, saya diberikan naluri yang tepat dan pantas sedar bila Deeja lembik dan tidak sedarkan diri,” titipnya.

Nor Jalilah menganggap apa yang dilalui baru-baru ni ibarat mimpi ngeri. Cemas tidak terkata mengenangkan anak-anak tidak sedarkan diri.

“Keracunan gas karbon monoksida ini berlau mungkin ketika kami berhenti dan tidur dihentian. Ia juga boleh berlaku dalam keadaan kereta yang sedang bergerak. Gas monoksida ini lebih membahayakan penumpang yang tidur,” katanya.

Enggan apa yang terjadi kepadanya berlaku kepada orang lain, Nor Jalilah berpesan agar  sentiasa memeriksa kenderaan sebelum perjalanan yang jauh, sama ada kenderaan itu baru atau lama.

“Setidak-tidaknya kenderaan lama perlu diperiksa bahagian ekzos setahun sekali.

“Pantau penumpang yang tidur dan berhentilah seketika setiap dua jam perjalanan atau buka tingkap. Ingatlah benda nak jadi tanpa tanda dan diduga. Kita kena sentiasa peka dengan keadaan keliling terutamanya kanak-kanak,” pesannya.

Iklan

Ibu tiga cahaya mata itu turut merakamkan penghargaan buat Richard sekeluarga yang membantu membawa mereka ke hospital.

“Kami terhutang budi dengan Richard, semoga tuhan sentiasa merahmati dia sekeluarga.

“Kalau tidak kerana Richard berhenti tenangkan kami dan bawa ke hospital tidak tahulah apa yang berlaku. Keadaan cemas dan panik, tak sempat fikir apa,” luahnya.

Ketika ini, Nor Jalilah masih mengalami kesan keracunan gas berbahaya itu. Dia masih mual, muntah dan kurang selera makan.

Malah katanya, doktor memaklumkan proses untuk pulih mungkin mengambil masa yang panjang.

Baca juga: Bahaya tidur dalam kereta walaupun dengan aircond terpasang

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI