JIKA dihitung, hari ini baru genap tiga hari penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat, 29, memegang status isteri kepada pengacara, Nabil Mahir. Pasangan selebriti tersebut selamat diijabkabulkan pada Jumaat lalu di Masjid Al Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Biarpun memahami negara sedang memerangi virus Covid-19, namun situasi tersebut nampaknya bukan penghalang buat Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat membina mahligai bersama jejaka berusia 32 tahun itu.

Bagi sesetengah ratu sehari, mungkin terbit perasaan ralat apabila tema perkahwinan impian sukar untuk direalisasikan dalam situasi wabak sebegini, namun Ayda yang juga penghias wajah SinarPlus pertama tahun 2021 ini pula sebaliknya.

ayda jebat nabil
AYDA sah menjadi isteri Nabil hanya dengan sekali lafaz di Masjid Al Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada 1 Januari lalu.

“Alhamdullilah, semuanya berjalan lancar. Tambahan pula saya antara wanita yang tidak mempunyai tema atau konsep perkahwinan tertentu (ketawa).

“Justeru, apabila tempoh pandemik memerlukan masyarakat mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak menganjurkan majlis skala besar dan menjaga penjarakkan fizikal, saya tetap beryukur.

“Bagi saya penganjuran majlis kecil pun tak mengapa, asalkan perkara wajib dapat dilaksanakan,“ujar pelantun lagu Pencuri Hati tersebut ketika ditemui SinarPlus pada rakaman program Melodi Xtra HyppSensasi Unifi di Bandar Utama, Selangor seminggu sebelum melangsungkan hari bahagianya.

Menebak hati Ayda yang merupakan mantan peserta Akademi Fantasia ke-9 (AF) mengenai kesediaannya bergelar suri hati kepada Nabil, beliau meleret senyum.

“Debaran itu ada. Cuma tiada sedikitpun perasaan ragu-ragu, terkilan atau berat hati kerana sesungguhnya saya yakin dengan keputusan untuk berumah tangga.

“Lagipun bersedia atau tidak menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri yang terbaik selepas ini pun, saya berdoa agar semua urusan dipermudahkan,“ ujarnya.

ayda jebat nabil
BERBICARA soal zuriat AYDA dan Nabil tidak merancang sama ada cepat ataupun lambat kerana yakin dengan rezeki-NYA.

Sudah lumrah wartawan akan bertanyakan soalan mengenai cahaya mata pula. Anak sulung daripada empat beradik tersebut berterus terang bahawa dirinya tidak menolak rezeki sekiranya mendapat zuriat dalam tempoh terdekat.

“Saya dan Nabil tidak merancang soal anak sama ada cepat atau lambat kerana rezeki ini adalah ketentuan daripada-NYA.

“Bagaimanapun, jika tertulis rezeki bergelar ibu dalam masa yang cepat, saya menerimanya dengan hati terbuka. Lagipun kami memang sukakan kanak-kanak,“ jelas Ayda yang sebelum ini melangsungkan pertunangan melalui aplikasi Google Meet bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada April lalu.

Dalam pada itu, umum mengetahui aktiviti nyanyian dan lakonannya berjalan seiring. Boleh dikatakan saban tahun, Ayda tidak pernah sepi melancarkan produk baharu baik lagu mahupun drama.

Kerjaya

ayda jebat
BIARPUN tersingkir minggu ketiga AF9, Ayda kini berjaya membuka mata banyak pihak apabila karier sebagai penyanyi dan pelakon berkembang dari semasa ke semasa.

Portfolio kariernya sentiasa cemerlang memandangkan beliau antara anak seni yang memiliki iltizam dan menumpahkan sepenuh komitmen jika melaksanakan sesuatu kerja yang diberikan.

“Pada zaman bujang, saya bekerja bersungguh-sungguh membina nama, kumpul wang dan aset untuk membahagiakan keluarga.

“Bagaimanapun, selepas bergelar isteri kerjaya saya akan berjalan seperti biasa, namun famili tetap menduduki carta teratas dalam senarai keutamaan.

“Apa gunanya bekerja terlalu kuat, ke sana dan ke sini, tetapi tiada masa untuk mereka (keluarga). Seolah-olah hidup saya kosong,“ bicara Ayda yang dididik supaya mengutamakan keluarga sejak kecil.

Bagi peminat setia ataupun pengikut Ayda menerusi Instagram @aydajebat, sebahagian besar menyifatkan anak jati Melaka itu seorang yang ceria dan humor.

Masakan tidak, hampir kesemua video pendek dan foto yang dimuat naik dalam laman sosial terbabit memaparkan gelagatnya yang periang baik bersama suami mahupun famili. Walhal, di sebalik gelak tawa itu, duta Ariani tersebut memiliki sifat garang dan tegas.

“Benar, saya seorang yang garang, tetapi bertempat kerana matlmatnya ingin memastikan semua perkara berjalan lancar.

“Lagipun ketegasan ini lahir dalam diri memandangkan saya anak sulung yang memikul tanggungjawab memantau dan menjaga tiga adik selepas ibu (Rohana Mohamed) dan ayah bercerai.

“Disebabkan itu, kami empat beradik tinggal bersama ibu, maka saya perlu bekerjasama dengan beliau dalam membesarkan adik-adik,“ ujar Ayda yang bersyukur apabila ibu bapanya tidak pernah mengabaikan kebajikan anak-anak meskipun bercerai pada tahun 2004.

Disoal sama ada situasi kebanyakan anak daripada keluarga berantakan terjerumus ke kancah sosial, Ayda menzahirkan hujah peribadinya.

“Saya tidak mengatakan kami empat beradik sentiasa diselimuti kebahagiaan kerana ironinya kehidupan ini umpama laut ada pasang dan surut. Bagaimanapun, saya berpegang teguh pada prinsip, usah menjadikan penceraian orang tua alasan untuk kita (anak-anak) melakukan perkara tidak bermanfaat.

“Sebagai anak, kita seharusnya turut memainkan peranan dan melunaskan tanggungjawab mendidik diri menjadi insan berguna. Bukannya meletakkan tugas itu pada bahu ibu dan ayah sahaja,“ ujar Ayda yang sentiasa menerima mesej permintaan daripada peminat tip kekal ceria selepas ibu bapa bercerai.

Justeru, beliau akan meluangkan masa berkongsi nasihat mengendalikan situasi berkenaan dengan membalas pesanan satu persatu.

“Tip yang selalu dikongsikan adalah jangan sedih berpanjangan, usah berputus asa dan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh pekerjaan terbaik agar dapat membahagiakan ibu dan ayah kelak,“ tutur Ayda yang sentiasa mengutamakan keluarga dalam apa jua keadaan.

ayda jebat
WALAUPUN Ayda kini bergelar isteri selain kerjaya yang berjalan seperti biasa, famili terutama ibunya tetap menduduki carta teratas dalam senarai keutamaan.

Buktinya, sebelum mendirikan rumah tangga, pelakon utama drama Rindu Awak 200 peratus dan Cindai itu menghadiahkan sebuah rumah teres dua tingkat di Puncak Alam, Selangor kepada ibu tersayang.

Menurutnya, bingkisan istimewa itu merupakan salah satu impian yang ingin direalisasikan sebelum menamatkan zaman bujang.

“Syukur alhamdulillah, ALLAH makbulkan doa saya untuk hadiahkan mama sebuah rumah. Saya ingin membahagiakan beliau sebelum membahagiakan orang lain.

“Selain itu, saya juga berjanji pada diri sendiri dan mama bahawa tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjawab sebagai anak meskipun sudah bersuami. Saya akan menjaga beliau dulu, kini dan selamanya,“ ujarnya yang sentiasa bekerja keras sehingga mengetepikan kelesuan yang dialami.

Kemalangan kerana microsleep
Berbicara mengenai kepenatan, Ayda yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Melaka sempat menitipkan pesanan buat masyarakat khususnya mereka yang begitu komited bekerja.

Menurut wanita setinggi 157 sentimeter tersebut, walaupun sibuk menyiapkan pelbagai tugasan mengikut tempoh masa ditetapkan, pastikan mental dan fizikal sentiasa mendapat rehat secukupnya.

Iklan

Usah membiarkan tubuh badan terlampau kuat bekerja sehingga mengabaikan tidur berkualiti. Situasi berkenaan secara tidak langsung memberikan implikasi buruk, antaranya mengundang risiko terlelap beberapa saat (microsleep) semasa memandu.

ayda jebat
MENURUT anak kelahiran Melaka itu tragedi hitam yang berlaku lapan tahun lalu mendidik beliau supaya lebih peka dengan kondisi mental dan fizikalnya.

“Saya bercakap berdasarkan pengalaman kemalangan yang berlaku kira-kira sembilan tahun lalu. Diikutkan saya enggan mengingat kembali tragedi hitam terbabit kerana ia umpama mimpi ngeri.

“Pada ketika itu, saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri (Langit Ketujuh). Meskipun mengantuk dan keletihan saya masih terus memandu pulang ke rumah.

“Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Saya tidak menyangka sama sekali terlelap sekejap sehingga menyebabkan kemalangan. Apabila tersedar saya telah berada di atas katil wad (Hospital Besar Kuala Lumpur),“ imbas Ayda mengenai insiden hitam itu.

Dalam kejadian berkenaan, kereta jenis Mazda yang dipandu Ayda terbabas lalu berpusing beberapa kali sebelum terlanggar pokok di lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada pukul 12 tengah malam sekitar bulan November 2012.

Kesannya, beliau mengalami keretakan pada tulang pipi kiri dan muka bengkak akibat terkena beg udara.

Pun begitu, dalam keadaan trauma dan bengkak pada wajah belum pun surut selepas tiga hari kemalangan, bapanya sudah memaksa beliau memandu semula. Inisiatif itu adalah untuk membina keyakinan diri sedikit demi sedikit.

“Sejujurnya, sewaktu memegang stereng perasaan ragu-ragu membelenggu diri kerana bimbang insiden sama berulang. Justeru, solusi terbaik adalah lebih berhati-hati dan fokus ketika memandu. Saya percaya setiap perkara yang berlaku membawa hikmah tersendiri.

Iklan

“Bagi semua pemandu yang berasa mengantuk, tetapi tegar meneruskan pemanduan kerana beranggapan sempat tiba ke destinasi, tolonglah berhenti berehat seketika.

“Ingatlah, mereka yang tersayang. Memadai sekiranya anda dapat melelapkan mata sekurang-kurangnya 10 minit supaya otak dan mata kembali segar,“ tegas Ayda yang mula memandu pada usia 18 tahun.

Katanya sebelum menutup bicara: “Jika otak memberi isyarat penat dan lesu, maka saya akan berusaha mendapatkan rehat secukupnya terlebih dahulu.

“Selain itu, usah terlalu bergantung pada secawan kopi semata-mata kerana keletihan tetap menyebabkan mata kita terlelap.“

PROFIL
Nama: Nur Suhada Jebat
Nama karier: Ayda Jebat
Umur: 29 tahun
Tarikh lahir: 17 Mac 1992
Tempat lahir: Melaka
Adik-beradik: Anak sulung daripada empat beradik
Pendidikan: Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Melaka
Hobi: Bersantai di rumah dan bermain piano
Karier: Penyanyi, pelakon, duta dan jurucakap produk

Antara drama dan filem:
Rindu Awak 200%,
Cinta Bukan Kristal,
Asalkan Dia Bahagia,
Cindai
Bukan Gadis Biasa
Gila-Gila Remaja 2
Oh Mak Kau!

Lagu popular:
Pencuri Hati
Nakal-Nakal
Mata
Temberang
Mana Ada Hati
Better Than You
Parah-Parah

Antara duta: Ariani, OPPO, Aurawhite, Lazada, Watsons, Rexona dan Gintell.
Instagram: @aydajebat  (5.3 juta jumlah pengikut)

Foto: Asril Aswandi dan Instagram @aydajebat