NAMA Azzah Sultan mungkin masih hijau dalam kalangan peminat lukisan lokal. Pun begitu, peribahasa orang zaman dahulu ada menyebut, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.

Teori peribahasa simbolik itu sememangnya cocok untuk menggambarkan kredibiliti Azzah atau nama sebenarnya, Siti Azzah Syed Sultan.

Masakan tidak, wanita berusia 24 tahun itu berjaya membuatkan nama Malaysia menjadi sebutan selepas beliau diberi peluang menganjurkan Pameran Seni Solo Anak Dara pada bulan September lalu.

Lokasinya pula bukan calang-calang kerana pameran seni selama dua minggu itu berlangsung di Galeri Trotter and Sholer, New York, Amerika Syarikat (AS).

Wow! Pencapaian sehebat itu harus dibanggakan kerana Azzah disifatkan telah berjaya ‘menghidupkan‘ suasana Malaysia di sebuah kota raya megah dunia.

Menariknya, biarpun mempamerkan hasil seni di bandar raya serba canggih dan paling maju, situasi berkenaan sedikit pun tidak melunturkan jiwa patriotisme beliau pada tanah air.

azzah sultan
AZZAH SULTAN terharu diberi peluang dan ruang mengadakan Pameran Seni Solo Anak Dara di Galeri Trotter and Sholer, New York, AS, September lalu yang memartabatkan identiti Malaysia.

Bayangkan, lulusan jurusan seni halus daripada Parsons School of Design dan Universiti Washington, AS berkenaan berani mempertaruhkan himpunan karya akrilik yang ditumpahkan ke atas kanvas bersama batik iaitu fabrik signatur tradisional Malaysia, berbanding lukisan bersifat moden pada pameran itu.

“Umpama mimpi menjadi realiti apabila salah satu senarai impian saya terlaksana.

“Sesungguhnya, selepas bermastautin di New York selama tujuh tahun, saya bekerja keras menghasilkan karya untuk dipersembahkan pada pameran solo.

“Alhamdullilah, lebih mengharukan apabila misi ini berjalan lancar dalam keadaan pandemik Covid-19,“ katanya dalam satu interviu eksklusif bersama SinarPlus secara maya baru-baru ini.

Jadual padat sebagai pelukis residen di Galeri Trotter and Sholer dan pelukis bebas nampaknya tidak menghalang beliau mencuri masa untuk bercerita lanjut tentang keunikan pameran seninya yang dinamakan Anak Dara.

“Dalam kehidupan ini, budaya, tradisi dan adat istiadat saling berkait rapat, tambahan pula elemen tersebut mewakili maruah, legasi dan keluarga.

“Justeru, menerusi platform seni, eksperimentasi menerokai keunikan asal usul keluarga saya menjadi lebih menarik.

“Anak Dara menjadi tema pilihan kerana ia mengembalikan nostalgia bersama ibu (Datin Zarinah Kurban Hussin) yang selalu memanggil saya, ‘anak dara‘.

“Lagipun sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita, para ibu gemar menggunakan istilah manja tersebut terhadap anak perempuan mereka,“ terangnya sambil memberitahu, beliau mengambil masa selama empat bulan menyiapkan karya Anak Dara yang terdiri daripada babak Memasak, Melipat, Membalut, Menyentuh dan Menghidu.

Artikel berkaitan: Selain Yuna, Azzah Sultan cipta nama di New York. Bangga!

Pensyarah seni
Ditebak soalan mengapa kain batik diangkat sebagai material utama, Azzah yang pernah bersekolah di Bahrain, Arab Saudi dan Finland kerana mengikuti bapanya, Datuk Syed Sultan Idris yang bertugas sebagai Duta Besar Malaysia menjelaskan: “Pemeliharaan tradisi harus dititikberatkan memandangkan individu tidak boleh lari daripada kisah silam dan budaya.

“Bagi mengekalkan memori bersama ibu dan menonjolkan identiti negara, maka saya menggunakan koleksi pakaian peribadi beliau atas lukisan.

“Pada masa sama, saya turut menerapkan kain batik corak Malaysia selain menyajikan rempah-ratus dan bahan-bahan sampingan yang diperoleh di kampung halaman di Pulau Pinang.

“Kesemua material terbabit diolah dengan teliti ketika dalam proses menghasilkan karya Anak Dara.“

azzah sultan
TUTUR Azzah, karya Anak Dara bukan sekadar seni, tetapi simbolik pada kasih sayang dan nostalgia kanak-kanak beliau bersama bapa, Syed Sultan dan ibunya, Zarinah Kurban. 

Biarpun komunikasi kami hanya secara maya, penulis dapat membayangkan cinta anak kedua daripada empat beradik itu pada bidang seni begitu tersimpul rapi.

Setiap butir perkataan yang dititipkan, jelas terpancar betapa kehidupannya sejak tujuh tahun lalu bagaikan tidak lengkap tanpa percikan warna pada kanvas.

“Seni sentiasa menjadi keutamaan dan manifestasi jiwa. Saya berpendapat, komuniti seni memerlukan lebih ramai pelukis dalam kalangan wanita.

“Malah, saya juga yakin dapat membentuk sekali gus membina masa depan yang cerah dengan bergelar artis.

“Tidak keterlaluan dikatakan bahawa dunia harus mempunyai kumpulan pemikir kreatif dalam skala besar,“ katanya yang menyifatkan seni mampu mengukirkan senyuman dan mengembalikan nostalgia.

Berdasarkan pengalaman baru-baru ini misalnya, seorang pengunjung wanita Malaysia pertengahan usia yang kini menetap di New York berasa bagaikan berada di kampung halaman apabila berdiri dikelilingi karya Anak Dara.

Azzah yang merupakan lulusan cemerlang daripada universiti berprestij AS itu memberitahu, bidang seni juga berkembang seiring dengan kecanggihan teknologi semasa.

“Konsep kombinasi seni menjadi pilihan. Walaupun fokus utama tertumpu pada konsep melukis, tetapi saya turut menerapkan seni digital, aspek pemasangan, corak persembahan dan seni gentian.

“Apabila bekerja menggunakan pelbagai medium berbeza, ia mendorong kemampuan untuk menerokai variasi tema dan idea menarik. Peluang tersebut membuatkan saya semakin teruja dan bebas berkarya,“ ujar Azzah lanjut.

azzah sultan
ANTARA karya seni Anak Dara hasil kreativiti Azzah Sultan yang menggabungkan elemen digital dan lukisan.

Corat-coret New York
Namun begitu, di sebalik kegembiraan dikecapi, terbit perasaan sedih apabila ibu bapanya tidak dapat terbang ke New York untuk bersama-sama meraikan momen manis beliau menganjurkan pameran seni solo terbabit.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati pelukis muda itu, beliau menyedari kejayaan yang diperoleh hari ini adalah berkat doa berterusan daripada orang tuanya.

Azzah juga bersyukur dikurniakan ibu bapa yang menjadi penyokong tegar dan mempercayai keputusannya memilih bidang seni lukis. Kendatipun menanggung rindu yang menebal pada keluarga, beliau harus kuat semangat.

Ujar pengkarya berbakat besar itu lagi, perjalanan seninya masih jauh, bahkan setakat ini, beliau belum mempunyai sebarang perancangan kembali ke Malaysia dalam tempoh terdekat.

Iklan

“Misi saya masih belum selesai kerana terlalu banyak agenda sedang dirangka. Kini, saya bercadang untuk mengikuti program residensi di sini bagi mengukuhkan sayap seni sebelum beralih pula kepada fasa lain iaitu mengajar.

“Dalam tempoh beberapa tahun lagi, matlamat seni saya akan tertumpu pada sejarah peribadi dan kewanitaan,“ jelas Azzah yang memasang impian bergelar profesor dan mengajar bidang seni sekembalinya ke tanah air tercinta kelak.

Ditanya mengapa daripada lebih 190 negara di dunia ini, kota New York menjadi pilihannya bermastautin?

Wanita setinggi 160 sentimeter itu menuturkan alasannya. Bicara Azzah, New York berpopulasi sebanyak 18.8 juta penduduk mempunyai sisi tersendiri.

“Di sini (New York), ia menawarkan pelbagai saluran dan platform yang kuat untuk berkolaboratif khususnya buat pengkarya muda dan baharu.

“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada kumpulan artis bereksperimentasi dengan karya masing-masing di sekitar New York,“ jelasnya yang menzahirkan rasa bersyukur apabila karier seni di sana berjalan lancar.

Masakan tidak, jika dinilai secara kasar, bukan mudah sebenarnya bagi seorang wanita muda, apatah lagi Muslim menjalani kehidupan dan membina profesion di negara Uncle Sam.

azzah sultan
PELUKIS berusia 24 tahun ini menyifatkan ‘serangan kecil’ Islamophobia dan pandemik Covid-19 sedikitpun tidak menghalang beliau untuk sukses dalam pengajian dan karier di negara Uncle Sam tersebut.

Pun demikian, Azzah sukar untuk menidakkan bahawa beliau tidak terlepas berdepan bermacam-macam stigma dan ‘serangan‘ kecil, tetapi situasi itu tidak melunturkan semangatnya. Setiap yang berlaku disimpan kemas dalam kotak memori sebagai panduan hari mendatang.

“Setakat hari ini, saya masih mampu mengatasinya dengan bersikap lantang dan berani mempertahankan diri.

Iklan

“Alhamdullilah, semakin hari penerimaan (masyarakat di AS) semakin positif. Saya juga tidak mahu masalah tersebut menjejaskan kehidupan harian dan karier,“ tegas beliau yang turut berkongsi kerinduan pada famili terubat apabila seorang sahabat karibnya juga menetap di New York.

Menyentuh perihal pandemik Covid-19 yang sedang melanda di seantero dunia termasuk AS, Azzah yang meminati rona hijau gelap gagal menepis perasaan paranoid.

Saban hari, kebimbangan untuk keluar bekerja sering membelenggu diri wanita itu. Namun begitu, katanya, mahu atau tidak, doa dan kecekalan dijadikan perisai untuk menepis virus jahat itu.

azzah sultan
PAMERAN Seni Solo Anak Dara oleh Azzah Sultan mendapat respon positif dalam pengunjung di sana.

“Solusi terbaik adalah sentiasa berhati-hati dan mengikut SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan. Saya bukan sahaja mengelak mengunjungi kawasan berisiko di sekitar Brooklyn, malah nak ke bandar pun takut.

“Bercakap mengenai Covid-19, ketika berlakunya penularan pandemik ini, kelancaran pengajian master saya yang berbaki beberapa bulan sahaja lagi terjejas.

“Saya cukup tertekan pada waktu itu. Sudahlah sesi pembelajaran terpaksa dijalankan secara online.

“Lebih menyedihkan apabila gagal menyiapkan karya seni mengikut garis masa ditetapkan kerana semua tutup dan tergendala,“ luah Azzah yang akhirnya berjaya menyempurnakan peperiksaan akhir tahun meskipun Covid-19 di AS dicatatkan meningkat dari masa ke masa.

Ketika artikel ini ditulis, AS masih lagi mencatatkan kes positif jangkitan Covid-19 tertinggi di dunia iaitu lebih 9.2 juta orang.