Baby kek aising ala Korea jadi trend, kini ‘hero’ sejak PKP

Baby kek aising ala Korea jadi trend, kini ‘hero’ sejak PKP
October 27, 2020
Oleh Meen

FENOMENA gelombang Korea atau 'Korean Wave' di negara ini bukan sahaja membawa pengaruh besar dalam industri hiburan namun turut membawa tuah dan sinar harapan kepada peniaga kek dalam talian yang terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19.

Ia berikutan trend kek dilitupi aising dengan hiasan dan corak ringkas serta polos, biasanya berwarna pastel dipopularkan negara terkenal dengan Kimchi itu mula menakluki media sosial serta menarik minat orang ramai atas faktor estetik dan ‘Instagrammable’ (sesuatu yang menarik secara visual dan sesuai untuk disiarkan di aplikasi media sosial Instagram).

Seperti apa yang dikongsikan oleh portal media tempatan, bagi Nuraina Ezzati Abdul Rahman, 23, trend kek yang dikenali 'Korean minimalist' yang hanya menggunakan warna terhad bagi dekorasi kek itu seolah-olah menjadi hero dan penyelamat selepas perniagaannya merosot berikutan kedainya terpaksa ditutup selama tiga bulan semasa PKP.

Baby kek aising ala Korea jadi trend, kini ‘hero’ sejak PKP

Tidak mudah patah semangat, Nuraina Ezzati mula menukar strategi dengan menawarkan kek yang sinonim dengan rekaan tulisan tebal menggunakan teknik 'double-layer lettering' yang sedang tular di media sosial pada ketika itu.

"Sambutan pelanggan amat memberangsangkan, terutamanya menerusi platform Twitter. Jualan saya juga meningkat tiga kali ganda," katanya.

Lebih menggembirakan, Nuraina Ezzati yang sebelum itu menguruskan perniagaan seorang diri kini dapat berkongsi rezeki dan membuka peluang pekerjaan kepada rakan-rakan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Iklan

"Sebelum PKP, saya menguruskan perniagaan ini seorang diri, daripada proses memasak sehingga kepada menyerahkan kek ke tangan pelanggan.

“Alhamdulillah hasil kuasa tular, saya dapat mengambil tiga orang pekerja dan dua orang 'runner' (penghantar pesanan) bagi memajukan perniagaan kek ini,"  kata pemegang Diploma Bakeri dan Pastri Kolej Vokasional Kuala Kangsar itu.

Beliau yang mula berniaga sejak 2018 tidak menafikan pengaruh drama dan muzik dari Korea Selatan itu turut mempengaruhi trend tersebut dan sering kali menerima tempahan yang memerlukan beliau menulis dalam tulisan Hangul (bahasa Korea) di atas kek.

"Selain corak dan hiasan, saiz kek yang lebih kecil sekitar lima inci atau dipanggil 'baby cake' turut menjadi trend, selain agak mencabar apabila pelanggan minta tulis perkataan panjang dalam bahasa Korea atas kek bersaiz kecil seperti ini," katanya.

Baby kek aising ala Korea jadi trend, kini ‘hero’ sejak PKP

Iklan

Sementera itu, bagi pemilik kedai kek dalam talian, Butter Digger, Dahlia Fisol, 23, beliau bukan sahaja mengambil seni hias kek tersebut sebagai inspirasi malah tampil memberi kelainan dengan meletakkan ‘surat cinta’ dan taburan  manik gula di bahagian tengah kek.

"Pelanggan boleh menyampaikan ucapan menerusi surat ini dan ia adalah elemen kejutan kerana surat tersebut tersembunyi dalam kek dan akan ditemui selepas memotongnya,” katanya yang mendapat ilham selepas mengunjungi Korea Selatan pada penghujung 2019.

Dahlia berkata percubaan pertama dilakukan pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lepas dan ternyata ia membuahkan hasil apabila jumlah pelanggannya melonjak dan kini mampu menjual kira-kira 200 biji kek sebulan.

Trend kek minimalis turut memberi tuah kepada Yasmin Zulkefli, 27, apabila pengikut Instagram perniagaannya Melurcakes meningkat daripada sekitar 7,000 kepada lebih 30,000 selepas mula menawarkan pencuci mulut itu.

“Rekaan (kek) paling popular dan menerima tempahan paling banyak adalah rekaan kalendar yang mengambil inspirasi kalendar bulanan menggunakan aising sebagai hiasan kek untuk sambutan hari lahir pelanggan,” katanya yang berpengalaman 10 tahun dalam bidang kek dan pastri.

Pemilik kedai kek Cushycandy, Nur Hidayah Kamarudin, 34, pula berpendapat hiasan kek yang kemas dan minimalis serta tidak sarat dengan hiasan menjadi daya penarik kepada pelanggan terutama buat generasi muda yang lebih gemar sesuatu yang ringkas dan nampak moden.

"Walaupun nampak comot, tapi nampak berseni. Kami akan cuba buat dan reka hiasan baharu setiap hari dengan menjadikan Instagram kedai kek dari Korea Selatan dan Jepun sebagai rujukan dan sumber inspirasi," katanya.

BERNAMA

About Meen

Biodata Penulis