BIBIR MERAH amat bersimpati pada nasib para peniaga di negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang terjejas dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan baru-baru ini. Masakan tidak disangkakan berpeluang meraih pendapatan jualan sehingga detik akhir hari raya, rupa-rupanya ‘tersangkut’ di tengah jalan.

Bazar raya Starvendors Mega Raya Fest 2021 misalnya. Bayangkan, acara yang sepatutnya dijadualkan berlangsung bermula pada hari ini hingga Ahad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur terpaksa ditunda Julai depan.

Keputusan tersebut dilakukan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur (7 hingga 20 Mei 2021) yang diumumkan pada saat akhir selepas 90 peratus persiapan sudah dilakukan.

ifa raziah Menurut Ketua Eksekutif Starvendors Event Sdn Bhd, Ifa Raziah susulan perbincangan mencari solusi bersama pengurusan PWTC dan pihak berkuasa, keputusan tidak memihak kepada acara Starvendors.

“Kami tidak dapat meneruskan Starvendors Mega Raya Fest 2021. Semua acara lain yang sedang dan akan berlangsung di PWTC juga telah dibatalkan.

“Seperti yang dimaklumkan, kami menunda Starvendors Mega Raya Fest 2021, bukan membatalkan. Para peniaga boleh lihat semua persiapan telah dilakukan yang mana 90 peratus booth (gerai jualan) pun sudah didirikan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Biarpun terkesan dengan situasi semasa, Ifa Raziah akur dan berlapang dada.

ifa raziah
IFA (kanan) berlapang dada apabila Starvendors Mega Raya Fest 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 7 Mei 2021 terpaksa ditunda pada bulan Julai depan kerana PKP di Kuala Lumpur.

“Kita semua menanggung kerugian dalam situasi ini. Pihak kami juga telah mengeluarkan kos yang tinggi untuk promosi dan pengiklanan penganjuran acara berbaki sehari saja lagi sebelum ia berlangsung.

“Hanya pada ALLAH kita berserah. Insya-ALLAH kita akan berjumpa pada event akan datang (antara 2 hingga 4 Julai 2021).

“Pengurusan Starvendors ingin memohon maaf kepada para usahawan, selebriti, tenaga kerja, kontraktor, kru dan semua yang telah bekerjasama untuk menjayakan event kami. Tiada kata yang mampu diungkapkan. Kesulitan bukan datang daripada pihak kami,” katanya lanjut.

Pun begitu, memikirkan kebimbangan para vendor, pengurusan Starvendors bersedia menampung kerugian.

ifa raziah
VENDOR diberi pilihan sama membawa bayaran yang telah dibuat ke acara bulan Julai atau memilih pemulangan bayaran.

“Kami cuba meringankan kerugian golongan peniaga dan tidak mahu mereka menanggung kerugian lebih besar jika acara diteruskan.

“Justeru, proses bayaran balik akan dibuat dalam tempoh 60 hari waktu bekerja bermula pada 7 Mei 2021. Bagaimanapun, peniaga diberi pilihan sama membawa bayaran yang telah dibuat ke bulan Julai atau memilih untuk mendapatkan pemulangan bayaran.

Sebelum menutup bicara, Ifa Raziah sempat menitipkan bicara: “ALLAH datangkan ujian supaya kita kuat, ALLAH tangguhkan sesuatu supaya kita sabar, ALLAH hilangkan sesuatu supaya kita reda, ada hikmahnya. Doa yang baik-baik, Insya-ALLAH datang yang baik-baik.”

Nampaknya bukan Ifa Raziah sahaja berdepan dengan keadaan getir sedemikian. Bahkan, Bibir Merah lihat peniaga bazar Ramadan di negeri Selangor pun turut berduka.

Iklan

Sejak kerajaan mengumumkan enam daerah di negeri Selangor diletakkan di bawah PKP sebelum disusuli Kuala Lumpur, fikiran sebahagian besar peniaga mula berselirat.

Kebuntuan semakin membukam apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula memutuskan semua operasi bazar Ramadan di kawasan terlibat PKP tidak dibenarkan beroperasi mulai Sabtu ini.

Ujar Amirudin menambah, tempoh pengoperasian dibenarkan hingga hari ini bagi memberi peluang kepada pengurus dan pemilik gerai bazar Ramadan menyelenggara dan menguruskan stok-stok.

MB selangor
AMIRUDIN menyatakan, Kerajaan Selangor memutuskan operasi bazar Ramadan tidak dibenarkan mulai 8 Mei 2021 di kawasan terlibat PKP, namun bazar raya adalah dibenarkan.

Bagaimanapun, yang menjadi perdebatan dalam kalangan warga maya apabila Kerajaan Selangor tidak membenarkan bazar Ramadan beroperasi di kawasan PKP. Walhal, bazar raya di kawasan sama mendapat ‘lampu hijau’ beroperasi hingga pukul 10 malam.

Iklan

Persoalan Bibir Merah, apa beza antara bazar Ramadan dan bazar raya? Bukankah konsepnya sama yang mana melibatkan kunjungan orang ramai dalam urusan jual beli?

Akurlah tiada bazar Ramadan tahun ini
Gambar hiasan.

Pun begitu, Kerajaan Selangor juga bersetuju menyalurkan bantuan RM500 kepada setiap penjaja bazar Ramadan bagi meringankan beban mereka.

Bibir Merah berharap agar para peniaga yang terjejas tidak patah semangat dan berputus. Insya-ALLAH ada rezeki lain bakal diperoleh. Kita doakan pandemik di negara ini segera berakhir.