PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan di beberapa negeri pastinya memberi kesan besar dalam kehidupan bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Jika diteliti dari sudut positif, ia amat diperlukan untuk memastikan keselamatan semua pihak yang berada dalam zon bahaya bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Namun, tidak dinafikan bahawa PKPB memberi kesan buat individu yang baru sahaja ‘bangkit’ selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan bagi mereka yang bergantung kepada pendapatan harian.

Malaha, ada juga yang kehilangan punca pendapatan dan hilang pekerjaan akibat banyak sektor yang terpaksa ditutup kesan akibat pandemik Covid-19.

Antara kita turut diuji dengan kesusahan tapi pada masa sama, sebenarnya ramai lagi yang lebih susah daripada kita.

Sama ada ketua keluarga, suri rumah malahan kanak-kanak juga kini dilihat struggle untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Perkara itu dibuktikan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Yusof yang berkongsi pengalaman di laman sosial Facebook miliknya yang kini mendapat perhatian ramai.

Katanya, dia yang juga merupakan seorang guru pada ketika itu sedang membuat pembelian di sebuah kedai runcit.

Beli beras guna duit syiling, tapi tak cukup pula, nasib ada yang prihatin bantu

Iklan

Ketika sedang menunggu giliran untuk membuat bayaran, beliau melihat seorang kanak-kanak sedang mengira sejumlah wang untuk membayar kepada juruwang.

Malangnya wang tersebut dikembalikan oleh juruwang tersebut disebabkan oleh jumlahnya tidak mencukupi.

Iklan

“Masa saya nak bayar barang kat kedai runcit, depan saya ada sorang budak tengah nak bayar barang. Budak tu nak beli beras 5 kilogram.

“Tapi itulah time nak bayar, budak tu tak cukup duit pula. Last-last budak tu tak jadi beli sebab tak cukup duit.

“Masa cashier nak pulang duit budak tu saya perasan dia bayar guna duit seringgit-seringgit dan duit syiling.

“Saya terus kata kat cashier, takpe saya bayarkan beras budak tu.

“Lepas tu saya hulur RM10 kat budak tu, saya kata buat duit dia pergi sekolah.

“Budak tu ucap ‘terima kasih bang..’ dan lepas tu dia hilang,” tulisnya.

Sehubungan itu, Muhammad Yusof memberitahu, mereka yang masih menikmati kesenangan hidup ketika pandemik Covid-19 seharusnya bersyukur dengan kurniaan daripada-NYA.

Buat masa sekarang ini, bersyukurlah kalau kita masih boleh makan di restoran sedap-sedap, sebab ada orang yang nak makan nasi pun bercatu sekarang ini.