“Sepanjang 20 tahun dalam penjara, ibu tidak pernah putus berdoa supaya saya dibebaskan dan syukurlah doanya itu dimakbulkan melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembebasan awal,” demikian luahan seorang bekas banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad.

Memetik laporan portal media tempatan, Ahmad, 50, adalah salah seorang daripada 13 banduan di beberapa penjara di Malaysia yang mendapat pengurniaan pembebasan awal daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63.

Menurut sumber, dia menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di Penjara Sungai Buloh sejak 2000 mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai Pertubuhan Al-Ma’unah.

Iklan

“Saya berada di Penjara Sungai Buloh selama setahun sebelum dipindahkan ke Penjara Kajang selama 10 tahun dan kemudiannya dipindahkan ke Penjara Pengkalan Chepa selama lapan tahun dan 42 hari di Penjara Kajang sebelum dibebaskan.

“Selain doa ibu yang berterusan, saya juga sentiasa berdoa supaya dapat dibebaskan selain ingin menjaga ibu yang kini sudah terlantar akibat uzur, walaupun saya tahu ia adalah satu perkara yang mustahil.

“Malah, sepanjang berada dipenjara sudah lima kali saya membuat surat pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Alhamdulillah kini saya dibebaskan,” katanya.

Berkongsi pengalamannya di penjara, Ahmad berkata pada pandangan masyarakat, penjara adalah suatu tempat yang ‘hitam’ namun terdapat juga nilai positif yang boleh dimanfaatkan di sebalik tirai besi seperti mendalami ilmu agama selain mempelajari kemahiran menjahit.

Iklan

“Saya turut mengikuti bengkel jahitan selama setahun pada 2002, serta mengambil upah menjahit ketika dalam penjara selama hampir 16 tahun dan kini saya sudah mempunyai kemahiran menjahit pakaian wanita dan lelaki termasuk pakaian seragam,” katanya.

Bagi memulakan kehidupan baharu, anak keenam daripada 11 beradik itu merancang untuk membuka kedai jahitan sendiri di rumahnya untuk menjana pendapatan dan kelangsungan hidup serta memberi perhatian kepada ibunya yang uzur sejak tiga tahun lalu.

“Biarlah saya pula yang mengambil alih tugas menjaga dan menguruskan segala keperluan ibu memandangkan sudah 20 tahun saya terlepas peluang untuk menabur bakti kepadanya atas kesilapan yang dilakukan sebelum ini,” katanya.