MENGHIDAPI penyakit genetik, retinitis pigmentosa sejak berusia lima tahun menyebabkan penglihatan Muhammad Huzaifah Ahmad semakin merosot.

Secara perlahan-lahan, retina menjadi sangat sensitif terhadap cahaya. Impaknya, beliau hanya mampu melihat dalam situasi samar-samar dan kini beliau perlu bergantung dengan tongkat untuk berjalan.

Mengakui agar sukar untuk menjalani kehidupan sedemikian rupa, Muhammad Huzaifah berkata, beliau tetap tidak patah semangat.

“Pada awalnya, saya terasa sangat susah, namun kekurangan yang paling ketara adalah saya rasakan ketika mahu membaca.

“Jika ingin berbuat demikian, saya perlu ‘meminjam’ mata orang lain. Minat individu itu berbeza, ada yang suka dan ada yang tak. Intonasi mereka akan menampakkan perbezaan itu,” terang beliau kepada SinarPlus.

Ujar Muhammad Huzaifah lagi, segala kelengkapan peribadi seperti pakaian, waima bahan-bahan masakan di dapur akan diuruskan sendiri. Bukan apa, beliau bimbang sukar menemui barang yang diperlukannya, di samping tidak mahu menyusahkan orang lain.

Suami kepada Che Intan Azlina Shafii, 40, itu juga bahagia menjalani bahtera perkahwinan sejak 2009. Kedua-duanya kini sedang menghitung hari untuk bergelar ibu dan ayah.

“Semoga dipermudahkan segalanya. Jika tiada aral melintang, isteri saya bakal melahirkan zuriat pertama kami pada penghujung Oktober depan. Setelah beberapa kali mengalami keguguran, semoga kali ini rezeki kami untuk bergelar ibu dan ayah, insya-ALLAH,” ujarnya gembira.

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram

 

Perjuangan

Meskipun bukan lagi insan yang sempurna, tetapi semangat Muhammad Huzaifah melangkaui kekurangannya.

Dengan nada penuh tekad, beliau berkata, tiada sebab golongan buta seperti dirinya dan rakan-rakan senasib tidak boleh berjaya. Dengan ilmu, segala-galanya boleh direalisasikan dengan syarat perlu ada kesungguhan.

Justeru, sebagai Presiden, Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM), lelaki itu menjadikan pertubuhan tersebut sebagai medium untuk mendidik kelompok buta agar celik dalam pelajaran.

Muhammad Huzaifah bersama kakitangan PPOBM antara lain berganding bahu menterjemahkan buku tulisan rumi kepada braille buat kanak-kanak sekolah rendah.

Iklan

“Buat masa sekarang, buku terjemahan hanya untuk golongan kanak-kanak hasil kerjasama dengan penerbit PTS dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Usaha ini diharap dapat mendorong anak muda menanamkan minat untuk membaca,” katanya sambil menambah, mereka juga sedang giat untuk membuat al-Quran braille.

Bukan sahaja melibatkan pendidikan, Muhammad Huzaifah turut memperjuangkan nasib golongan orang kelainan upaya (OKU) lain dalam mendapatkan pekerjaan dalam sektor swasta mahupun awam.

Bercakap soal kerja, lelaki itu sedikit terkilan. Beliau tanpa berselindung berkata, diskriminasi ‘golongan kayangan’ yang tidak membuka peluang buat OKU berkerja secara tidak langsung telah menghadkan potensi mereka.

“Apabila orang sebegini memilih untuk menjual tisu dari meja ke meja, mereka akan dianggap seperti meminta sedekah, tetapi pernahkah mereka ini diberi peluang untuk bekerja?

“Mengapa golongan OKU tidak mampu berdaya saing seperti individu normal, sedangkan kerajaan telah memberi banyak kelebihan sekiranya majikan mengambil orang seperti saya yang kurang upaya ini berkhidmat?” soalnya.

Iklan

Antara kelebihan mengupah OKU adalah majikan mendapat potongan cukai sebanyak dua kali ganda pendapatan OKU setahun dan potongan cukai berganda sekiranya menyediakan latihan kemahiran OKU.

Selain itu, mereka bakal memperoleh potongan tunggal bagi kos pengubahsuaian kemudahan syarikat bagi kepentingan OKU seperti penyediaan tandas, peralatan bekerja dan lain-lain.

Justeru, Muhammad Huzaifah mengharapkan agar majikan di negara ini mengubah mentaliti mereka untuk membuka ruang buat orang buta mempamerkan hasil kerja yang terbaik.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram