PADA pagi Jumaat lalu, pertemuan bersama anggota kumpulan De Fam, Cik Manggis (Manggis) sepatutnya berlangsung di sebuah kafe hipster di Sungai Buloh, Selangor jauh daripada kesesakan kota.

Bagaimanapun, setibanya di lokasi dijanjikan, perancangan itu terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu.
Maka, penulis bercadang ke kafe lain, tetapi Manggis menolak lembut lalu mempelawa ke kediaman beliau yang terletak di kawasan sekitar.

“Maaf, dalam situasi hari ini (penularan Covid-19) bimbang pula nak ke tempat ramai orang. Kita berbual di rumah lebih terjamin dan selesa,” jelasnya yang kelihatan kasual dalam persalinan baju-T longgar nuansa merah hati dipadankan bersama selendang warna hitam.

Selepas melabuhkan punggung di atas sofa empuk rona kelabu, Manggis atau nama sebenarnya, Nurshazwani Shamsuddin membutirkan bicara apabila penulis menyentuh mengenai penghijrahannya bertudung.

“Sebenarnya, sudah lama saya memasang niat untuk berhijab, malah sebelum penubuhan grup trio De Fam saya pernah berbincang jika satu hari nanti antara kami memakai tudung.

“Alhamdullilah, tiada halangan daripada Azira Syafinaz dan Sophia Liana kerana kami (De Fam) akan terus beraksi,” kata Duta Xorra Body Wash: The Science of Care kepada SinarPlus baru-baru ini.

cik manggis
SELEPAS lima tahun berkecimpung dalam bidang seni, selebriti bermata cantik ini teruja dilantik menjadi Duta Xorra Body Wash: The Science of Care baru-baru ini.

Manggis menambah, keputusan bertudung diambil sekitar Jun lalu. Semuanya atas kerelaan hati bukan paksaan daripada sesiapa waima, suaminya sendiri.

Namun begitu, suami mana yang tidak gembira melihat isteri tercinta memilih untuk meningkatkan ‘taraf’ diri ke arah lebih baik.

“Kebetulan pada hari pertama berimej baharu, kami mahu keluar rumah. Suami sangka saya memakai hijab untuk menghasilkan content (kandungan) Instagram.

“Usai memberitahu saya kini bertudung, gembiranya bukan kepalang memandangkan beliau mengetahui saya sedang berusaha ke arah itu.

“Pun begitu, baik suami ataupun orang sekeliling ramai yang tidak tahu saya obses membeli koleksi hijab walaupun pada ketika itu belum bertudung,” ujarnya yang gemar mencuba-cuba melilit hijab di bilik tanpa pengetahuan suami.

Meskipun beberapa kali melakukannya, namun hati bagaikan bermain tarik tali. Sekejap bersedia dan sekejap lagi tidak. Benarlah, hidayah itu milik ALLAH yang perlu dicari, bukannya dinanti.

“Enggan membiarkan hati terus berbolak-balik, akhirnya saya tekad dengan keputusan ini. Perasaan pada ketika itu bercampur-baur, tetapi saya berasa lebih tenang seolah-olah sebiji batu di dalam dada berjaya dialihkan.

“Perjalanan De Fam pun tidak tergugat kerana kami akan menyusun lagu dan rutin tarian mengikut kesesuaian imej,” jelas Manggis yang aktif menari menyertai kelab kebudayaan sejak berusia enam tahun hingga melanjutkan pengajian peringkat diploma.

Pada fasa awal, beliau lebih cenderung pada tarian tradisional dan pesilatan. Bagaimanapun seleranya berubah pada street dance apabila melangkah ke zaman kampus.

Katanya, ilmu street dance dipelajari bersama kumpulan rakan sebaya di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara kira-kira tujuh lalu.

“Saya akan terus menari walaupun telah berhijab, asalkan tidak melampaui batas,” tegasnya yang memperoleh nama Manggis ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara, Puncak Perdana, Selangor kerana memiliki mata putih yang besar seperti buah manggis.

Bercakap depan cermin

Pada kala rancak bercerita perihal penghijrahan dan kecintaan pada dunia tarian, penulis sempat bertanyakan siapakah pemangkin semangatnya setiap hari?

Soalan itu ditebak, susulan melihat kandungan dimuat naik menerusi laman sosial Instagram @cikmanggis yang mana sebahagian besarnya sarat dengan keceriaan dan aura positif.

Tambahan pula, media tempatan jarang melaporkan kisah kontroversi wanita setinggi 155 sentimeter tersebut.

Manggis yang memiliki berat badan 46 kilogram itu hanya memberikan dua jawapan ringkas: “Meluahkan dengan ALLAH dan bercakap di depan cermin.”

Menurut Manggis yang dilahirkan pada tahun 1989 di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, jiwa dan mindanya berasa tenang tatkala mengadu kedukaan dan keresahan yang dihadapi kepada MAHA ESA.

Tutur beliau, tiada manfaatnya berkongsi kesedihan di platform media sosial kerana sebahagian besar sikap manusia lebih suka menghakimi berbanding mempamerkan empati.

“Biarlah followers (pengikut) melihat dalam video saya gembira, ketawa dan bahagia menari. Kadangkala mereka tidak tahu di sebalik content (video) yang dikongsi itu saya juga manusia biasa tidak terlepas daripada pelbagai dugaan.

“Namun begitu, setiap dugaan dan masalah yang hadir, saya tidak menganggapnya beban. Saya berfikiran positif kerana memahami setiap perkara yang berlaku sama ada besar atau kecil semuanya tersirat hikmah tersendiri.

“DIA hadirkan ujian, maka dengan DIA juga tempat paling tepat saya memohon bantuan dan penyelesaian,” luah Manggis yang sentiasa mempraktikkan konsep sabar dalam banyak perkara biarpun terpaksa menelan keperitan mendalam.

Bercerita lanjut, anak kedua daripada empat beradik tersebut tanpa segan-silu memberitahu, cermin adalah ‘sahabat karib’ sejak dibangku sekolah rendah.

cik manggis
MENURUT Manggis, siri bercakap di depan cermin membantu beliau menyuntik kekuatan dalam menconggak kehidupan harian.

Sebelum ini, aktiviti bercakap di depan cermin dilakukan kerana beliau bercita-cita untuk menjadi pelakon apabila dewasa kelak.

Masih segar dalam kotak memori bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Ampang, Selangor itu. Saban hari beliau akan berdiri dan melakonkan bermacam-macam watak di depan cermin.

“Maklumlah, pada ketika itu (kanak-kanak) fokus nak bergelar pelakon, tetapi memasuki alam remaja dan dewasa lain pula jadinya.

“Tak sangka, siri bercakap depan cermin bagaikan menyuntik semangat untuk saya memulakan hari yang positif.

Iklan

“Hasil pembacaan, saya mendapati apabila sentiasa memuji diri dengan menzahirkan kata-kata yang baik depan cermin, ia membantu meningkatkan keyakinan diri, sekali gus menanamkan mesej itu dalam minda,” kata Manggis yang pernah membintangi drama Saka Sisters.

Terapi cermin yang diamalkan Manggis bukan perkara baharu ataupun pelik dalam bidang psikologi.

Kumpulan pakar terapeutik di Amerika Syarikat, Dr Kristin Neff dan Dr Chris Germer antaranya mendapati, kaedah tersebut bukan sahaja bertujuan memotivasikan diri, malah meningkatkan aura positif termasuk membantu individu daripada mengkritik diri sendiri.

Digelar Jalak, Ali

Siapa sangka Manggis yang memiliki sepasang mata cantik dan bijak merias diri rupa-rupanya sebelum ini berperwatakan lasak, berkulit gelap dan gemar berbaju-T berbanding gaun.

Biarpun dilahirkan dalam kalangan adik-beradik yang majoritinya perempuan, tetapi Manggis yang tampak anggun dan manis hari ini adalah sebaliknya, pada zaman kanak-kanak hinggalah meningkat remaja.

Bicara pencinta rona biru itu, penampilan dan personalitinya dulu dan kini berbeza. Umpama peribahasa, bagaikan langit dan bumi.

Jika melihat foto lama beliau pun, boleh membuatkan sesiapa sahaja tidak percaya dan kaget seketika.

“Selepas ibu dan ayah bercerai, saya (ketika itu berusia tiga tahun) bersama kakak dan adik perempuan dibesarkan oleh ayah. Disebabkan memikul tanggungjawab menjaga anak-anak perempuan maka, ayah ambil pendekatan bersikap tegas. Ayah ingin memastikan kami tiga beradik menjadi wanita berani, cekal dan tidak mudah putus asa.

“Bagaimanapun, ketegasan ayah bukan sahaja diterapkan dalam bidang akademik dan kehidupan, bahkan penampilan kami bertiga turut menerima tempiasnya,” imbas Manggis sambil ketawa tatkala mengenangkan tindakan bapanya, Shamsuddin Idris yang merupakan pemain dram The Zurah II kugiran popular era 1960-an.

cik manggis
SIAPA sangka Manggis anggota trio De Fam yang dulu berpenampilan ala budak lelaki kini manis berhijab dan bahagia bersama suami tercinta.

Tutur Manggis, dek ingin memastikan aktiviti harian berjalan lancar tanpa gangguan perkara remeh-temeh, bapanya memutuskan rambut tiga permata hati dipotong pendek ala budak lelaki.

Iklan

“Ini bermakna ayah tak perlu memikirkan untuk menyikat dan mengikat rambut kami sebelum ke sekolah (ketawa). Bayangkan, belum sempat panjang kami sudah dibawa ke kedai gunting rambut.

“Gara-gara kerap berambut pacak dan lasak, saya dipanggil dengan nama Jalal ketika di sekolah rendah. Kemudian, beralih ke sekolah menengah pula rakan sekolah menggelarkan saya, Ali,” ceritanya yang merupakan olahragawati tahunan sejak tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Tambah Manggis, selain aktif menari beliau juga melibatkan diri dalam acara sukan di sekolah sehingga layak bertanding peringkat daerah. Antaranya larian, lompat tinggi, bola tampar, bola baling dan ping pong.

Pun demikian, selari dengan pertambahan usia, beliau mula mengehadkan aktiviti fizikal sedikit demi sedikit. Apatah lagi, selepas mendirikan rumah tangga bersama pemain bola sepak, Syazmin Firdaus pada Oktober 2014, beliau perlu bijak membahagikan masa antara tugas isteri dan karier.

Kini penggemar koleksi baju-T bersaiz longgar itu memberitahu, lebih selesa menumpukan perhatian pada bidang seni dan peranannya sebagai guru tari di Studio 2twenty2, Sentul, Kuala Lumpur.

Sebelum menutup bicara bersama SinarPlus, Manggis sempat menitipkan bingkisan kepada para ibu bapa.

“Jika memiliki anak-anak yang gemar menari, disarankan menghantar mereka ke kelas atau studio untuk mempelajari teknik tarian secara formal.

“Namun begitu, sebelum mendaftar ibu bapa harus meneliti kelas tersebut secara holistik. Selain itu, ubah persepsi bahawa dunia tarian memberi impak negatif dan melalaikan kerana ia bergantung pada individu itu sendiri.

“Sekiranya anak-anak dihantar ke kelas dan mengikut silibus yang betul, insya-ALLAH mereka bakal menjadi penari terbaik, sihat tubuh badan, disiplin dan kreatif,” ujar yang tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata terutamanya kembar pada bila-bila masa.