Takut, lencun gara-gara virus tak boleh nampak- Dr Amanda

A
A
A

TIDAK keterlaluan penulis menyifatkan, Dr Amanda Elli antara individu yang berjaya membuktikan angan-angan Mat Jenin mampu menjadi realiti jika disusuli usaha dan komited yang tidak berbelah bahagi.

Itulah kunci utama yang beliau terapkan sejak di bangku sekolah rendah. Pegawai perubatan berusia 28 tahun itu pun pada mulanya tidak percaya impiannya untuk bergelar doktor tercapai.

“Cita-cita ini (doktor) timbul selepas melihat kecekapan seorang doktor lengkap berjaket putih hadir ke sekolah.

"Saya anggap beliau adiwira kerana handal melakukan pelbagai tugas seperti pemeriksaan gigi dan memberikan imuninasi. Sejak itu, saya tanam azam untuk jadi doktor seperti beliau,” cerita Dr Amanda menyorot detik permulaan yang mendorong beliau memilih bidang kedoktoran berbanding jurusan lain seawal usia tujuh tahun.

Enggan membiarkan angan-angan tersebut pergi dibawa angin lalu, anak kelahiran Kuala Lumpur (KL) itu belajar bersungguh-sungguh dan dengan penuh iltizam.

Perjalanan doktor muda yang sedang bertugas di Unit Covid di sebuah klinik kesihatan di KL dipermudahkan.

Beliau juga sangat bertuah apabila ibu dan bapanya tidak mengenal erti jemu memberi sokongan moral kepadanya. Sejak kecil, jika kanak-kanak lain seronok bermain, dirinya pula lebih teruja menghafal sifir dan membaca buku di rumah.

dr amanda elliGRADUAN National University of Ireland, Galway yang mendapat tajaan Mara bersyukur cita-citanya menjadi doktor untuk menumpahkan bakti pada masyarakat tercapai pada hari ini.

"Melangkah ke sekolah menengah, komitmen saya pada pembelajaran semakin tinggi. Saya bekerja keras memastikan keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) cemerlang kerana ia penentu kelayakan untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan," jelas Dr Amanda yang berjaya menempatkan diri di National University of Ireland, Galway selepas tamat belajar di Sekolah Menengah Seri Puteri, Cyberjaya.

Bertambah manis, pengajian beliau mendapat tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi skim pelajar cemerlang selama lima tahun.

Biarpun memahami dirinya bakal berdepan situasi mencabar dan bekerja tidak tentu masa, hal tersebut sedikitpun tidak melemahkan semangat beliau untuk melibatkan diri dalam bidang kedoktoran.

Bagi bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur itu, semua pekerjaan ada tekanan dan keistimewaan tersendiri.

Bakti

"Saya berpeluang melanjutkan pengajian di Ireland semuanya dibawah tajaan Mara. Ini bermakna dana yang telah membantu saya sehingga berjaya bergelar doktor pada hari ini adalah duit rakyat.

"Jadi mengapa saya perlu menolak menjadi doktor hanya kerana faktor kerja tak tentu. Kini giliran saya pula menumpahkan bakti kepada masyarakat. Saya menganggap kerjaya ini (doktor) amanah yang perlu dipikul dengan baik dan tanggungjawab," luah Dr Amanda yang menzahirkan kesyukuran apabila cita-cita disemai sejak kecil dimakbulkan oleh-NYA.

Doktor yang memiliki wajah persis pelakon Datin Seri Zizie Ezette itu kemudia ditanya apakah perbezaan situasi dunia perubatan sebelum dan semasa pandemik Covid-19? Adakah semakin sukar atau bagaimana?

Tanpa mengambil masa lama, Dr Amanda terus mengiyakan. Beliau yang pernah bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur menyifatkan petugas perubatan kini perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

"Jika dulu pesakit yang datang boleh terus mendapatkan rawatan dan konsultasi bersama doktor, namun pada hari ini tidak lagi. Disebabkan Covid-19 tidak boleh dilihat dan dikesan, maka mereka (pesakit) perlu menjalani beberapa prosedur wajib terutamanya yang bergejala.

"Susulan itu, pasukan perubatan khususnya di bahagian Unit Covid-19 harus sentiasa menyarungkan PPE (peralatan perlindingan diri) bagi mengelakkan virus merebak,” tuturnya yang sudah lali menahan panas dan berpeluh termasuk kegatalan kulit (ekzema) sepanjang memakai PPE.

dr amanda elliDR AMANDA (tengah) dan rakan seperjuangan komited membantu masyarakat memerangi Covid-19 meskipun terpaksa basah kuyup menyarungkan PPE dan bertugas lebih masa.

Justeru, adakah perasaan paranoid bersarang dalam diri? Jujur kata Dr Amanda, dirinya sukar untuk menidakkan perasaan takut dan bimbang, apatah lagi tugasnya di Unit Covid-19 yang serba mencabar dan berisiko itu.

"Siapa yang tak takut dengan virus tersebut tambahan pula saya perlu mengendalikan unit berisiko. Perasaan semakin berselirat apabila memikirkan ibu dan ayah yang merupakan kategori warga emas. Maklumlah, kelompok berkenaan lebih berisiko tinggi.

"Tidak dinafikan, gelombang awal wabak saya sama seperti orang lain yang keluar bekerja atau membeli barang. Sebelum masuk ke dalam rumah, saya perlu membersihkan diri dengan sabun dan mandi. Kemudian, barulah boleh bersentuhan dengan ahli keluarga lain,” ujar Dr Amanda yang turut menggesa masyarakat menitikberatkan langkah-langkah disarankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

dr amanda elli

Antaranya, sentiasa membasuh tangan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial terutamanya berada di kawasan yang sesak dan berisiko.

Momen berjauhan

Pun begitu, di sebalik seraut wajah yang tenang dan ceria rupa-rupanya Dr Amanda sebelum ini menyimpan kerinduan menebal terhadap suami tercinta, M Syaiful Hisam.

Sama seperti jentera barisan hadapan lain, wanita setinggi 157 sentimeter itu juga memahat momen sedih apabila terpaksa 'berpisah' selama tujuh bulan dengan suaminya gara-gara lelaki itu bertugas di luar negara.

Memang berat untuk seorang isteri berbuat demikian sedangkan baru tiga hari melangsungkan perkahwinan. Itulah yang dialami oleh Dr Amanda.

"Belum pun sempat menunaikan rutin seorang isteri, suami yang merupakan jurutera penggerudian dipanggil kembali bertugas di pelantar. Nak atau tidak, saya akur dengan susunan-NYA kerana suami bekerja untuk kebaikan kami bersama. Nasib baik ibu, ayah dan adik lelaki sentiasa berada di sisi meniupkan semangat dan mengukir senyuman," ujarnya.

DR AMANDA ELLIDR AMANDA (kanan) menzahirkan rasa sedih apabila sebelum ini terpaksa berjauhan bersama suami selama tujuh bulan selepas tiga hari mereka diijab kabul.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila larangan merentas negara turut dikuat kuasakan di Arab Saudi dalam tempoh yang agak lama.

Bagaimanapun, ungkapan sentiasa yang menyatakan setiap kepahitan pasti ada kemanisan menanti pada penghujung cerita ternyata kena gayanya. Hati Dr Amanda berbunga riang apabila akhirnya M Syaiful dibenarkan pulang bercuti ke tanah air baru-baru ini.

Namun begitu, sebaik sahaja menjejakkan kaki di Kuala Lumpur mereka 'dihalang' bertemu dalam tempoh 14 hari. Ia berikutan arahan pihak kerajaan yang memerintahkan individu pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib.

"Alhamdullilah, semua berjalan lancar. Suami pun bebas daripada virus Covid-19. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan walaupun suami tidak dibenarkan pulang ke rumah, namun saya berpeluang memantaunya antara 18 September hingga 1 Oktober 2020.

"Ketika itu, saya antara doktor ditugaskan di pusat kuarantin terbabit. Layanan dan khidmat yang diberikan sama seperti individu lain di sana. Tiada beza," kata beliau yang tampak anggun dirias jurusolek, Ayang Kamell.

Menggalas tanggungjawab sebagai pasukan perubatan, apa lagi bertugas di Unit Covid-19 secara tidak langsung mendedahkan beliau mengendalikan bermacam-macam situasi.

Tutur Dr Amanda, benar, virus jahat itu tidak boleh dilihat dan dipegang, tetapi mereka yang pernah mengalami dapat ‘merasai’ sakitnya.

dr amanda elliKENANGAN. Dr Amanda (kanan) berpeluang memantau suaminya yang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik sahaja pula ke tanah air daripada bertugas di pelantar minyak, Arab Saudi pada September lalu.

"Pandemik ini membawa hikmah tersendiri. Selain mendidik tahap disiplin menjaga kebersihan diri, ia juga mendidik masyarakat mengamalkan konsep #kitajagakita. Bukan mudah untuk mengharungi situasi Covid-19, maka bertabah dan terus bersabar.

"Bagi keluarga yang memiliki anak 12 tahun ke bawah, elak keluar jika tiada keperluan dan kekal berada di rumah bagi mengelakkan risiko Covid-19,” katanya.

Beliau berkali-kali menasihatkan masyarakat menggunakan kesempatan pandemik untuk menikmati dan menghargai sesi bersama famili ataupun insan tersayang.

 

Foto: Asril Aswandi dan Instagram @dr_princessamandaelli

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca