Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

BAIT-BAIT irama Melayu asli, Dikirim Jangan Dipesan Jangan yang cukup popular pada tahun 1973, hasil dendangan Datuk Andre Goh.

Oh! Lagu itu sungguh menggamit kenangan silam terutama dalam kalangan orang lama. Pada ketika itu, siapa yang tidak kenal Andre? Cukup popular.

Selebriti itu yang juga seniman keturunan Baba dan Nyonya Peranakan Melaka dikatakan mula dikenali ketika beliau mendendangkan lagu tradisional Melayu Asli, Masmerah pada Pertandingan Akhir Bakat TV RTM 1972.

Bermula dengan penampilan sulung rancangan televisyen 20 episod tersebut, indeks kemasyhuran Andre kian meningkat naik apabila dihujani pelbagai tawaran untuk majlis rasmi mahupun keramaian.

andre goh
MASIH aktif penuhi undangan nyanyian meskipun tidak semeriah dahulu.

Bersembang dengan Andre memang menyeronokkan. Apabila diajak berkongsi tentang siapa dirinya, beliau tidak menolak, sebaliknya rancak mengimbau nostalgia lalu yang penuh kenangan manis.

Menyingkap kembali sejarah penglibatannya dalam industri seni, Andre tidak menolak cinta mendalamnya terhadap irama Melayu Asli dipengaruhi oleh ibu bapanya yang juga kaki dondang sayang.

Kalah pertandingan

“Masa kecil dulu, muzik daripada peti nyanyi menjadi hiburan kami sekeluarga setiap malam. Boleh dikatakan abang-abang dan adik semuanya boleh menyanyi lagu Melayu daripada piring hitam yang diputarkan.

“Jiwa pun sudah sebati dengan lagu Melayu Asli, malah hampir setiap hari saya akan menyanyi. Mak yang saya panggil dengan namanya jadi mentor, dia akan kritik dari dapur dan kata suara sumbanglah… tak sedaplah,“ katanya berseloroh.

andre goh
FOTO kenangan persembahan pada pusingan akhir bakat TV RTM 1972 apabila Andre mendendangkan lagu Masmerah.

Mengulas lebih lanjut penyertaan dalam Bakat TV RTM 1972, Andre tidak menyangka percubaannya sekadar suka-suka kerana memenuhi permintaan rakan telah mengubah destinasi hidupnya.

“Masa itu, saya mula bekerja sebagai kerani Telekom di ibu kota dan bila sewa satu rumah dengan kawan-kawan, kami selalu lepak tingkat paling atas sambil main gitar dan nyanyi lagu.

“Rancangan Bakat TV RTM masa itu tengah top dan kawan suruh cuba nasib. Tak sangka pula dapat masuk uji bakat. Ketika uji bakat, saya sempat nyanyi dua rangkap lagu Kenang Daku Dalam Doamu sebelum diminta berhenti.

“Dalam hati dah kecewa sebab tak dapat masuk memandangkan orang lain dapat nyanyi penuh tapi bila sampai giliran saya, tak sampai dua rangkap lagu sudah disuruh berhenti,“ bicaranya ketika ditemui Sinar Plus di Hotel De Palma Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tidak sampai sebulan katanya, beliau dipanggil untuk pusingan separuh akhir. Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi dirinya apabila kalah dalam pertandingan itu.

“Tidak menang pun tak mengapa sebab niat saya masuk pertandingan itu bukan untuk mengejar ganjaran tetapi mahu buktikan bakat saya sebagai bukan Melayu dalam bidang nyanyian lagu-lagu Melayu Asli,“ katanya.

Iklan
andre goh
ANDRE turut membuat persembahan sempena Konsert ‘Tribune to a Legend’ bagi menghargai sumbangan Tan Sri SM Salim pada Mac 2016 lalu.

Masih aktif

Kata datuk kepada dua cucu itu, kehidupannya bukannya semua indah belaka.

Selepas mengambil keputusan untuk berhenti berkhidmat sebagai penjawat awam pada usia 50 tahun, Andre berkata, beliau mula menceburkan diri dalam bidang produksi drama dan kedai sewa cakera padat pada tahun 1997.

“Namun masa itu berlaku kegawatan ekonomi dan tidak dapat jual drama walaupun berhabis modal lebih RM50,000. Masa itu, saya terpaksa tutup syarikat produksi dan kedai sebab tak mampu jana pendapatan.

“Ketika itu, saya dilanda kemurungan yang teruk sehinggakan mahu memulakan hidup pun cukup susah. Bila mula dapat tawaran pada tahun 2004, saya mula bangkit semula dan mulakan hidup baharu.

Iklan

“Keadaan beransur pulih apabila dapat tawaran daripada kementerian dan majlis rasmi selain mewakili negara dalam ASEAN Exchange melibatkan lima negara. Itulah pengalaman yang tidak dapat dilupakan sehingga sekarang,“ katanya yang menerima anugerah Pendokong Seni Negara (2006).

andre
ANDRE bersama Anugerah Pendokong Seni yang diterima pada tahun 2006.

Ketika ini, usia Andre sudah mencecah usia 74 tahun dan beliau tidak menafikan penyanyi veteran sepertinya sudah lama ‘bersara’ kerana irama Melayu Asli seolah-olah tiada tempat dalam industri seni tanah air, lebih-lebih lagi melihat kecenderungan golongan muda yang lebih menyanjung lagu luar negara.

“Saya tidak pernah menghilang, saya masih aktif memperjuangkan khazanah seni Melayu Asli yang kini semakin kelam ditelan zaman.

“Kalau boleh, kerajaan terutamanya kementerian berkaitan perlu prihatin dalam isu ini dan terus mendaulatkan irama tradisional Melayu Asli kerana ia menjadi satu keunikan untuk tarikan pelancongan,“ cadangnya.

andre
ANDRE menerima Anugerah Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 2006.