TIDAK dapat membayangkan dengan akal dan fikiran waras apabila ibu bapa sendiri bertindak mendera dan menyakiti permata hati yang masih kecil.

Seorang bayi lelaki berusia 16 bulan melalui episod menakutkan apabila didera oleh ibu dan bapa tirinya.

Tubuh kecil itu menanggung derita, bukan sahaja ditumbuk pada muka, malah terpaksa menahan kesakitan apabila turut dicucuh puntung rokok.

Lebih menyayatkan hati apabila si kecil berkenaan turut mempunyai kesan ditekap dengan seterika!

Kejadian tragis anak kecil yang dipercayai didera ibu bapa sendiri itu berlaku di Felda Jalor Air Kuning Selatan, Tampin, Negeri Sembilan.

Tembelang ibu dan bapa tiri muda itu terbongkar apabila mereka membawa bayi berkenaan ke klinik berikutan si kecil berkenaan sesak nafas.

Seorang doktor dari sebuah klinik kesihatan membuat laporan polis memaklumkan menerima seorang pesakit yang masih kecil mengalami lebam pada mata selain kesan seterika pada belakang badan disyaki didera.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab. Susulan maklumat daripada doktor berkenaan, polis menangkap ibu bapa mangsa, masing-masing berusia 17 dan 23 tahun.

Dalam soal siasat, lelaki berkenaan mengaku memukul dan menumbuk muka mangsa selepas marah kerana menangis.

Lebih kejam lagi, bapa tiri durjana itu turut mencucuh rokok di tapak kaki sebelah kiri!

Difahamkan, pasangan berkenaan baharu sahaja berkahwin lapan bulan lepas dan mengambil bayi berkenaan daripada jagaan neneknya dua minggu sebelum didera.

Selain kes tragik ini, terdapat beberapa kes penderaan bayi berlaku di pada situasi pandemik.

Tidak dinafikan pelbagai tekanan dihadapi ibu bapa dalam tempoh ini namun ia tidak bermakna membolehkan mereka melepaskan tekanan kepada anak. Berikut dua lagi kes penderaan tragis yang membabitkan bayi dalam situasi pandemik Covid-19.

Baca juga Tidak Berperikemanusiaan! Bayi Lelaki 9 Bulan Maut, Diliwat Suami Pengasuh

“Tergamaknya wahai ibu.” Bayi lelaki tujuh bulan mangsa dera ibu, rakan lelaki

Baru-baru ini terdapat kes penderaan melibatkan bayi di Pulau Pinang. Bayi tersebut baru sahaja berusia tujuh bulan didera dan dipukul menyebabkan lebam pada badan dan mata.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah pangsapuri di Butterworth bagaimanapun dilaporkan sendiri oleh bapa bayi berkenaan.

Dia yang memaklumkan anaknya dipercayai dipukul dan didera namun tidak mengetahui angkara perbuatan siapa.

Beliau yang sudah tidak sebumbung dengan isteri hanya menyedari kesan lebam pada bahagian badan anaknya selepas si kecil itu berkenaan dihantar ke rumahnya di Kuala Bekah.

Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan tubuh bayi berkenaan turut mempunyai kesan kecederaan seperti lebam di dahi, muka dan perut sebelah kiri selain terdapat pendarahan di konjunktiva (mata) di sebelah kanan.

Apabila ditanya, penjelasan si ibu adalah anak mereka terjatuh dari buaian.

Difahamkan, sbayi tersebut juga sering dijaga nenek sebelah ibunya selain.

Lebih mengejutkan, hasil siasatan polis, rupa-rupanya bayi lelaki berkenaan tinggal di sebuah pangsapuri bersama kawan-kawan lelaki si ibu.

Malah, polis mengesyaki ibu berkenaan dan rakan-rakannya adalah geng penagih dadah yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Iklan

Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes narkotik.

Baca juga Bayi Perempuan Maut Terjatuh Bangunan, Gara-Gara Tingkap Tanpa Jeriji. Berikut 10 Tip Keselamatan Di Rumah

2 bulan terseksa patah tulang lutut, bayi 15 bulan didera ibu bapa angkat

Sangka ibu diberikan kepada ibu bapa angkat, si anak akan menerima kasih sayang dan perhatian yang melimpah ruah.

Namun ia hanyalah impian apabila bayi 15 bulan itu terpaksa menanggung derita didera ibu bapa angkat berusia 26 dan 31 tahun di Kok Lanas, Kelantan.

Bayi perempuan berkenaan dipercayai mengalami kecederaan pada badan, muka, dahi dan tangan, selain bengkak peha kanan.

Kecederaan dan parut tersebut hanya dikesan ibu kandung yang membawa mangsa ke sebuah Klinik Kesihatan di Besut.

Mangsa difahamkan diserah kepada pasangan peniaga dalam talian dan pembantu taska daripada Ogos 2020.

Bagaimanapun pada November 2020, bayi perempuan tersebut diserahkan kembali kepada ibu kandungnya.

Iklan

Lebih menyayatkan hati, hasil pemeriksaan lanjut oleh pakar ortopedik mendapati mangsa mengalami kesan patah lama pada kedua-dua belah tulang lutut dan bahagian buku lali di sebelah kanan!

Kesan tersebut dianggarkan  sudah berlaku dua bulan dan tulang yang patah sudahpun bercantum.

Dalam pada itu, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine.

Ibu bapa kandung paling ramai dera anak

Ibu bapa kandung merekodkan jumlah peratusan tertinggi sebagai pelaku jenayah kes penderaan kanak-kanak bagi tempoh tiga tahun sejak tahun 2018.

Pelaku tertinggi adalah dalam kalangan ahli keluarga iaitu kombinasi ibu bapa kandung, ibu bapa tiri dan ahli keluarga lain.

Malah pengaruh dadah juga menjadi punca ketidakwarasan orang dewasa melakukan perbuatan kejam kepada si kecil.

Perlu diketahui bahawa anak bukanlah tempat ibu bapa melepaskan perasaan dan tekanan.

Masalah penderaan bayi dan kanak-kanak ini perlu dibendung dan diatasi dengan segera.

Tidak mustahil jika selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa.