BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dugaan yang dihadapi Mohd Lekman Zakaria, 35, dan Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, cukup berat.

Anak bongsu kepada pasangan suami isteri itu diuji dengan sakit saraf yang dikenali sebagai myelomeningocele with encephalocoele.

Lebih menyedihkan, kedudukan otak si comel yang diberi nama Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman itu dikatakan berada di luar tempurung. Allahuakhbar!

Cukup menyedihkan kerana seawal usia tujuh hari, Sayyid Uwais sudah berdepan pembedahan pada bahagian saraf tunjang.

UWAIS

Kisahnya tular dalam media sosial termasuk Facebook Fisabilillah TRG apabila orang ramai dimohon untuk membantu menyumbangkan dana untuk kos rawatan lanjut.

Apa yang membuatkan warganet sebak, bayi lelaki yang dilahirkan dengan berat 2.48 kilogram (kg) lumpuh separuh badan. Aduhai sedihnya!

Selain menanggung dua lagi anak yang masih kecil, Mohd Lekman difahamkan hanya bekerja kampung manakala isterinya tidak bekerja.

UWAIS

Bercerita mengenai keadaan anaknya, Fatin Hazlin Dahlia sebak memikirkan masa depan si bongsu.

“Sebenarnya, keadaan Uwais sudah dapat dikesan pada awal kandungan, tetapi ketika itu saya tidak sanggup untuk menggugurkannya.

“Saya nekad untuk melahirkannya dan kini beratnya sudah mencecah 3.01 kg,” katanya yang masih dalam keadaan pantang.

Iklan

Kasihnya terhadap anak bongsunya itu tidak pernah berbelah bahagi.

UWAIS

Ceritanya lagi, ibu kepada tiga cahaya mata itu menjadi ‘jururawat’ kepada anaknya untuk menukar tiub makanan dan membersihkan luka pembedahan setiap hari.

Iklan

“Kena bersihkan tiga kali sehari dan susu pun guna tiub setiap tiga jam. Sekarang ini pun perlu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.

Pasangan suami isteri yang tinggal di Kampung Batu Hampar, Manir, Terengganu itu memerlukan bantuan untuk kos ubat dan rawatan pembedahan pada bahagian tempurung kepala.

Kepada orang ramai yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan National (BSN) 1100141100012525 atas nama Fatin Hazlin Dahlia Bt Mazlam.

SinarPlus doakan moga pasangan suami isteri itu terus kuat demi anak tersayang.