TIADA siapa menduga krisis pandemik Covid-19 ini benar-benar memberikan impak luar biasa. Bukan setakat mampu menjejaskan tahap kesihatan seseorang, malah aspek ekonomi juga turut sama terkesan akibat penularan wabak tersebut.

Ramai yang kehilangan sumber pendapatan dan mengalami kesukaran bagi meneruskan kehidupan akibat diberhentikan kerja oleh majikan.

Susulan daripada itu, seorang lelaki telah berkongsi perjalanan hidup dan pekerjaannya yang kini berubah daripada seorang juruterbang kepada penghantar makanan.Perkara tersebut dikongsi lelaki yang dikenali sebagai Anwar Ajid menerusi laman Facebook miliknya, kisah kehidupannya daripada bekerja di awan biru bertukar menjadi seorang penghantar makanan demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Semenjak bertukar kerjaya dari sektor kerajaan ke dunia penerbangan aku fikir inilah kerjaya yang akan memberi kebahagiaan kepada keluarga kecilku

“Anakku Sofea berusia lapan tahun dan isteri yang setia di sisi sepanjang 10 tahun yang lalu.

“Namun takdir Allah penuh misteri, setelah 10 tahun berkecimpung dalam bidang penerbangan yang orang fikir penuh glamor, akhirnya aku kehilangan pendapatan semenjak bulan empat yang lalu akibat syarikatku bekerja terkesan dek kerana pandemik Covid-19.

“Setelah keadaan reda aku memikirkan untuk mencari pekerjaan yang sesuai untuk menjana pendapatan. Namun bukan senang nak dapat kerja… bukan aku sorang hilang pendapatan, ramai lagi yang senasib.

“Puas aku menghantar resume ke sana sini namun hampa…tak ada siapa nak terima. Kecewa, sungguh kecewa.

“Aku mana ada skill dalam bidang lain selain supir kapal terbang. Ramai member lain menjana pendapatan daripada saham dan forex tapi aku mampu tengok sahajalah.

“Duit yang ada pun hanya untuk membayar hutang selepas morotorium kelak. Nak belajar tentu learning curve sangat lama since bidang itu risiko tinggi,” tulisnya.

Akhirnya keputusan untuk menjadi penghantar makanan dibuat disebabkan oleh pekerjaan tersebut antara pekerjaan yang paling pantas untuk memperoleh wang tunai sebagai sumber pendapatan.

Anwar yang sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak berumur lapan tahun mengakui bahawa kehidupan yang dilalui adalah satu ujian dari ALLAH yang perlu dihadapi bersama.

Pendapatannya dulu mencecah lebih RM600 sehari kini hanya mampu memperoleh sekitar RM70 ditambah dengan cabaran terpaksa berpanas,hujan, kena marah dengan pelanggan, kulit muka dan tangan hitam terbakar dan macam-macam lagi.

Namun, walau apa pun yang terjadi, dia tetap berusaha demi memastikan punca pendapatan keluarga tidak terjejas dan dia mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup tanpa perlu meminta-minta.

Iklan

Anwar juga dilihat tidak duduk diam dan bukan hanya menjadi penghantar makanan, dia dan isteri kini merancang untuk berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual kambing perap bakar yang bakal menerima permintaan tinggi sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Ternyata kesungguhan dan usaha yang dibuat oleh Anwar wajar dicontohi dan cukup memberi inspirasi kepada orang ramai.

Iklan

Bak kata pepatah, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.

Syabas dan tahniah Anwar! Semoga maju jaya dalam apa jua bidang yang akan ditempuhi.