Esha tanggung 4 penyakit kritikal, tidak boleh berjalan normal disebabkan kaki bengkok buat netizen sebak
KATA Roziana Mohd Amin, melihat wajah sayu anak bongsunya yang diuji dengan pelbagai penyakit kritikal sejak dilahirkan membuat dirinya sentiasa diselubungi kesedihan.
Menurut Roziana, anak beliau, Alesha Lezarah Mohd Salleh atau manja dipanggil Esha bukan sahaja diuji dengan penyakit jantung berlubang, malah si kecil yang berusia tiga tahun itu mengalami masalah saluran pernafasan, darah dan saraf sempit.
Esha juga tidak mampu berjalan dengan baik ekoran kakinya yang bengkok disebabkan masalah tulang belakang yang dideritainya.
Kepada SinarPlus, ibu tabah berusia 36 tahun itu memberitahu, Esha terpaksa memakai kasut khas untuk membantu membetulkan tulang kaki. Beliau juga wajib menjalani pemeriksaan susulan untuk tulang belakangnya.
“Sekarang ini, kami berulang-alik dari Benut ke Johor Bahru, Johor untuk rawatan setiap bulan. Doktor pun cakap kaki Esha tidak boleh sembuh sepenuhnya walaupun dibedah.
"Justeru, kami hanya fokus untuk terapi khas bagi membantu merangsang saraf pada bahagian kaki," kata wanita itu yang menetap di Kampung Nelayan Benut, Pontian.
Mengimbas semula sejarah kehamilan, Roziana sebenarnya hanya menyedari sudah berbadan dua ketika usia kandungan mencecah lima bulan.
Baca juga Syawal paling sedih, anak menanggung sakit buah pinggang bocor saat suami pergi buat selama-lamanya
Ketika itu, beliau langsung tidak menyangka diberikan rezeki yang tidak disangka-sangka.
Pun demikian, kegembiraan itu terganggu seketika apabila doktor memaklumkan risiko yang bakal ditanggung oleh si comel.
"Saat itu, saya mengalami masalah kencing manis sehingga terpaksa menerima suntikan insulin dan pada masa sama, ada darah tinggi.
"Terus terang saya katakan yang diri ini sayang mahu melepaskan rezeki ALLAH, walaupun doktor sudah nasihat untuk tidak meneruskan kandungan. Walau apa pun terjadi, saya reda dan terima seadanya keadaan Esha," ceritanya yang selamat melahirkan puteri bongsu kesayangan secara pembedahan pada usia 36 minggu.
Seperti diramal, keadaan kaki Esha membengkok seolah-olah sedang bersila, selain mengalami masalah pernafasan yang kritikal.
Sejak detik itu, bermulalah episod perjalanan Esha berulang alik ke hospital untuk rawatan susulan sebelum menjalani pembedahan jantung pertama pada usia lapan bulan.
“Saya sama sekali tak pernah menyalahkan takdir, malahan setiap hari saya titipkan doa supaya puteri saya dapat pulih sepenuhnya.
Baca juga Doakan adik Adawiyah, terpaksa buang mata kiri kerana kanser
"Sekarang ini pun, selagi kudrat masih ada, saya akan berusaha untuk memastikan keperluan perubatannya dapat diteruskan," katanya yang menunggu janji temu pada bulan ini untuk pemeriksaan susulan.
Tiga lagi anak sakit
Berkongsi perkembangan terkini Esha yang kini sudah berusia tiga tahun, wanita cekal itu memaklumkan, anaknya perlu dipantau setiap jam supaya tidak terlalu aktif terutama ketika bermain kerana bimbang jantungnya bermasalah.
“Kalau dia tercungap-cungap, saya sudah panik dan minta dia rehat atau tidur. Sebab apa? Doktor maklum jika muntah-muntah atau susah bernafas, Esha perlu segera dikejarkan ke hospital.
“Lagi satu, saluran sarafnya juga tidak normal seiring perkembangan tumbesarannya. Walaupun boleh berjalan menggunakan tepi kaki, namun hati saya tak pernah tenang kerana risiko lumpuh itu tetap ada,“ tuturnya dengan nada sayu.
Sebenarnya tidak hanya Esha, tetapi tiga lagi anaknya turut diuji penyakit sawan sejak kecil. Saat bercerita tentang hal itu, Roziana cuba menahan tangisan.
Katanya, cahaya mata beliau, Aliyah Maisara, 18; Aliyah Syahirah, 16; dan Mohd Khairul Amin, 8, memerlukan bantuan ubat berterusan bagi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih teruk lagi.
Apabila itu semua berlaku, semestinya bajet yang banyak perlu disediakan.
Pekerjaan suami beliau, Mohd Salleh Mustari, 46, sebagai nelayan memang menyukarkan keluarga tersebut untuk memberi yang terbaik untuk kesemua anak.
Bukan mahu meminta simpati, Roziana berkata, itulah hakikat kehidupannya. Namun, wanita itu percaya dengan rezeki anak-anak.
“Mungkin orang lain tidak melihat apa yang kami tanggung dan pendam selama ini, tetapi begitu mudah menabur tohmahan. Apa-apa pun, saya kuatkan semangat demi anak-anak.
“Selain bergantung dengan bantuan bulanan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang, duit selebihnya saya simpan untuk kos ulang-alik ke hospital.
"Memang tidak cukup kalau dicongak semuanya, namun semua pasti ada jalannya,“ katanya yang sentiasa kekal positif.
Kepada pembaca SinarPlus yang ingin membantu meringankan beban keluarga Roziana yang memiliki empat anak yang sakit, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun BSN 0199541100371603 atas nama Roziana Binti Mohd Amin.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang