1 Jun merupakan tarikh keramat buat majoriti masyarakat di Bumi Kenyalang iaitu sambutan Hari Gawai Dayak yang disambut oleh kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain-lain sebagai tanda tamatnya musim menuai padi.

Malangnya, tahun ini, sambutan Gawai tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya menerima nasib yang sama seperti Hari Raya Aidilfitri yang mana negara masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Seperti Raydilla Kong Kumbau, gadis Iban dari Kapit yang telah menatap di bumi Kuching selama lebih enam tahun untuk mencari rezeki mendakwa beliau tidak pernah terlepas peluang menyambut Gawai di kampung halaman.

Namun kali ini pandemik Covid-19 memaksanya menyambut perayaan selepas menuai itu secara sederhana.
Jelas rindu dengan kemeriahan sambutan di kampung halaman, gadis berusia 25 itu berkata, dia hanya ditemani keluarga terdekat berbanding sambutan pada tahun-tahun sudah yang diraikan bersama sanak-saudara yang pulang berkumpul di rumah panjang Nanga Melinau Rumah Anding di Kapit.

“Banyak yang dirindui, antaranya berebut-berebut di kaunter tiket bot ekspres untuk pulang ke kampung, suasana cukup sesak namun meriah,” katanya yang juga merupakan seorang pembantu akaun.

Iklan

Menurutnya perjalanan dengan bot ekspres dari jeti Sibu ke Kapit mengambil masa kira-kira tiga jam dan selepas itu dia perlu mengharungi perjalanan lebih dua jam menaiki kenderaan pacuan empat roda menggunakan jalan balak untuk tiba di kampung.

“Jika naik perahu, akan ambil masa sehingga enam jam,” katanya yang turut akur dengan sambutan dalam suasana normal baharu ketika negara menguatkuasakan PKPB susulan penularan Covid-19.

Mengenai juadah istimewa pula, Raydilla Kong berkata, dia rindukan daging rusa goreng yang dimasak menggunakan resipi keluarga turun-temurun dan hanya disediakan pada hari pertama sambutan.

Iklan

Katanya dia juga merindui upacara kerohanian seperti ‘miring’ iaitu menghidangkan juadah kepada roh nenek moyang.

Sementara itu, Christine Lyana Raymond Moseg, 30, gadis Bidayuh dari Kampung Semeba di sini, berkata walaupun dapat meraikan sambutan dengan keluarga, dia rindukan acara ‘ngabang’ (ziarah-menziarahi).

“Sedih sebab tidak dapat berkunjung ke rumah saudara mara, namun kami semua patuh dengan arahan kerajaan dan sama-sama berkorban untuk memerangi wabak itu,” katanya yang bekerja sebagai kerani.

BERNAMA