PATRIOTIK! Itu adalah ungkapan yang tepat untuk menggambarkan keperibadian seorang guru Tabika di Balik Pulau, Pulau Pinang apabila menzahirkan rasa cinta  dan semangat patriotisme sempena menyambut bulan kebangsaan kali ini dengan menghasilkan sebuah replika virus Covid-19, sebagai lambang perjuangan untuk membebaskan Malaysia daripada wabak berkenaan.

Guru tersebut yang dikenali sebagai Normala Mad Desa, berkata replika yang dihasilkannya bersama seorang rakan bagi menyambut  Hari Kebangsaan ke-63 kali ini berbeza kerana ia tidak melibatkan pembinaan replika mercu tanda negara sebagaimana dilakukan beliau tahun-tahun sebelum ini.

Jika sebelum ini mereka membina Menara Berkembar Petronas (KLCC), Jambatan Pulau Pinang dan kereta api kabel (funikular) Bukit Bendera, kini, replica virus Covid-19 jadi pilihan.

“Replika (virus COVID-19) kali ini merupakan simbolik perjuangan kita memerangi pandemik Covid-19 dan supaya kita dapat merdeka daripada wabak ini suatu hari nanti.

“Cabarannya lebih hebat kerana kita berperang dengan (sesuatu) yang kita tidak nampak,” katanya.

Memetik laporan portal media tempatan, baru-baru ini  beliau turut menerima kunjungan daripada pasukan “Info on Wheels” (IOW) Merdeka, JAPEN daerah Barat Daya yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN), Pulau Pinang, Ibrahim Hashim.

Menurut Normala, beliau mengambil inisiatif untuk menghiasi rumah sempena menyambut bulan kebangsaan pada setiap tahun kerana telah diasuh sejak kecil oleh bapanya yang merupakan seorang ketua kampung dan amalan berkenaan sudah sebati dalam dirinya.

Iklan

Bercerita lanjut mengenai idea menghasilkan replika tersebut, Normala berkata pada mulanya pembinaan replika virus Covid-19 itu tidak dipersetujui oleh suaminya, Tajuddin Abdul Rani, 63, kerana dikhuatiri disalah tafsir oleh penduduk setempat mahupun pelawat yang berkunjung ke Balik Pulau.

“Sebelum ini, rumah kami dikenali sebagai rumah merdeka…risau selepas ini dikenali sebagai rumah Covid-19. Namun, bagi saya, penting untuk menghasilkan replika ini kerana ia tercatat dalam sejarah negara dan saya ingin ceritakan kepada cucu cicit suatu hari nanti, bagaimana perjuangan kita dan jutaan nyawa manusia telah terkorban kerana wabak berkenaan,” katanya.

Menurut Normala, beliau berharap penduduk yang terpandang replika tersebut juga sentiasa berwaspada dan menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

Iklan

Katanya, replika tersebut mengambil masa dua minggu untuk dihasilkan dengan menggunakan batang aloi, batang plastik dan pembalut plastik yang disumbangkan oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) Pulau Pinang termasuk Jalur Gemilang.