RAMAI dalam kalangan penggemar sukan ekstrem dilihat mengambil risiko nyawa dek kerana mengejar ketakjuban seperti terjun di tempat tinggi seolah mereka sanggup mati.

Namun, bak kata pepatah malang itu tidak berbau. Sedikit kesilapan atau kecuaian sesiapa sahaja yang mengendalikannya pasti cukup untuk mengundang padah.

Terbaharu, Ahad lalu seorang wanita yang dikenali sebagai Siti Halijah Abd Rahim, dilaporkan patah tulang belakang selepas terjatuh sewaktu dia melakukan aktiviti terjunan popular dalam kalangan penggemar sukan tersebut yang dikenali sebagai ‘rope swing’ yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Memetik laporan mStar, adik wanita malang tersebut yang dikenali sebagai Mohamad Yakub Abd Rahim berkata, kakaknya memang sangat gemar melakukan sukan ekstrem dan sangat berhajat untuk melakukan rope swing jika berpeluang.

Menurut Yakub, ketika kejadian, kakaknya baru sahaja selesai membuat terjunan dan sedang terguntung pada ketinggian kira-kira 10 meter sebelum berlaku kesilapan teknikal pada kabel yang telah menyebabkan dia jatuh dan terhempas ke dalam sungai.

Kejadian berlaku sangat pantas dan Yakub sempat mendengar kakaknya berkata “best gila”! sebelum dia terjatuh.

Hati-hati sukan ekstrem! Wanita malang jatuh rope swing, terhempas dalam sungai
Yakub juga sempat melakukan terjunan sebelum kakaknya pada hari kejadian

Tambah Yakub, kakaknya yang berada di dalam air sempat diselamatkan oleh petugas water rafting yang berada berdekatan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

Setiba di hospital, Siti Halijah mendapat rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Selayang dan telah menjalani pembedahan akibat patah tulang belakang semalam.

Iklan

Menurut Yakub lagi, ketika kakaknya diselamatkan setelah terjatuh, pada awalnya keadaannya sangat lemah dan tidak sedarkan diri.

Setelah petugas cuba mengepam dada beberapa kali Siti Halijah mula sedar dan cuma bertanya “kita ada kat mana?”

Iklan

Yakub cuma membalas “kita jalan-jalan je..” dan wanita malang berumur 33 tahun itu juga mendakwa dia tak rasa kakinya dan mengulang ayat yang sama sepanjang perjalanan sehingga sampai di hospital.

Tambah Yakub lagi, dia sekeluarga tidak menunding jari kepada penyelia khidmat aktiviti berkenaan, malah mereka sekeluarga menganggap apa yang berlaku sebagai ketentuan Allah dan mahu bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang berlaku.