Ibu, ayah kerja keras demi jaga anak syurga, adik Airil Aikal

A
A
A

WANITA bernama Che Sakinah Mat Ghani merupakan ibu yang cukup hebat dan kental.

Penulis berani katakan begitu kerana kesungguhannya menjaga dua daripada empat cahaya matanya yang mengalami masalah penyakit jarang dijumpai di Malaysia iaitu Sindrom Hunter.

Sindrom Hunter merupakan sejenis penyakit genetik yang berlaku kerana kegagalan badan menghasilkan enzim.

Ibu berusia 37 tahun memberitahu, kira-kira empat tahun lalu, beliau telah pun kehilangan putera ketiganya, arwah Shahril Aikal Suhaimi (yang ketika itu berusia 11 tahun) akibat penyakit sama.

Pun demikian, ketika diwawancara, nadanya sangat reda dengan ketentuan ALLAH SWT itu. Beliau tampak tenang dan bibirnya juga tidak lekang mengucapkan kata-kata pujian terhadap-NYA.

Namun, sekali-sekala percakapannya tersekat-sekat seolah-olah cuba menahan kepiluan.

Kata Che Sakinah, pemergian Shahril Aikal amat memeritkan, namun matlamatnya kini mahu menjaga si cilik, Syafi Airil atau manja disapa Airil, 9.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan ujian daripada ALLAH SWT. Semua itu satu anugerah yang menjadikan saya lebih kuat. Jika awak tanya, adakah sukar menjaga Airil? Jawapan saya, tidak,“ kata menoktahkan persoalan yang dilontarkan penulis.

Transisi mendadak

Meneruskan plot cerita, kata wanita kepada anak syurga itu, Airil menghidapi Sindrom Hunter pada usia setahun lima bulan.

“Airil dilahirkan normal, namun hari demi hari, perubahan fizikalnya berubah dengan jarinya menjadi bengkok, matanya tak normal dan pertumbuhan fizikal yang sangat lambat,“ katanya.

Kepada SinarPlus, Che Sakinah memberitahu, Airil yang baru sahaja menyambut hari kelahirannya ke-9 pada 29 Januari lalu telah menunjukkan transisi yang mengetarkan jiwanya.

“Airil sudah tak boleh makan makanan yang keras kerana tekaknya tidak mampu lagi menelan, hanya bubur dengan hirisan halus ayam yang boleh dimakan,“ ujar wanita kelahiran Tumpat, Kelantan itu.

Bukan itu sahaja, Airil yang sangat menyukai buah durian juga seakan-akan sudah berada dalam dunianya sendiri. Jika dulu suka bermain dan menonton televisyen, kini aktiviti itu sudah tidak diendahkannya lagi.

“Apa yang dilakukannya hanya berjalan di dalam rumah. Apabila penat, Airil akan duduk atau tidur. Jarang sekali dia menangis atau meragam tak tentu pasal kecuali kalau terjatuh dan terhantuk saja,“ kongsinya.

Kerisauan Che Sakinah semakin menjadi-jadi apabila si cilik itu sukar untuk tidur malam. Lebih meremukkan sukmanya, doktor memaklumkan bahagian jantung Airil berlubang.

“Doktor juga kata, peluang untuk sembuh sangat sukar. Meskipun Airil tak boleh bercakap dan luah rasa sakitnya, saya boleh membaca renungan matanya.

“Namun, Airil selalu memberi keceriaan kepada kami sekeluarga. Bayangkan, kalau setiap kali kami bergurau senda dan ketawa, dia akan mengukir senyuman lebar seolah-olah tahu apa yang kami bicarakan,“ luahnya menahan sebak.

BantuBercerita mengenai kos perubatan, ia merupakan satu yang di luar jangkauan. Bayangkan, dalam setahun, keluarga miskin itu memerlukan sekitar RM1 juta bagi merawat masalah yang dihadapi oleh Airil.

“Namun demikian, ubat tersebut sudah tidak lagi memberi kesan kepada otak anak saya.

"Oleh kerana ubat itu terhad dan mahal, pakar membuat keputusan untuk tidak membekalkan ubat-ubatan berkenaan kepada Airil kerana sudah tidak sesuai dengan umur dan perkembangannya,“ kata Che Sakinah yang bikin penulis tidak dapat menahan air mata.

Pun demikian, wanita itu berkata, beliau tetap optimis terhadap perkembangan anak syurganya itu.

Walaupun menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 bagi menampung kos perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, beliau dan suami tetap berkerja keras mencari rezeki.

Namun, penulis percaya, pendapatan kasar dirinya membuat kuih dan mengambil upah mengasuh ditambah gaji suami yang bekerja sebagai tukang rumah yang keseluruhannya berjumlah RM800, sememangnya tidak mencukupi.

Ketika ditemu bual, Che Sakinah langsung tidak meminta untuk dibantu. Bagaimanapun, SinarPlus percaya, sebagai masyarakat yang cakna, keluarga tersebut perlu diberikan perhatian dan harapan.

Kepada yang ingin membantu, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan seikhlas hati melalui akaun BSN 11118-41-00001918-4 (Suhaimi Mohd Noor).

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca