Demi negara, frontliner sanggup korbankan semuanya...

March 29, 2020
Oleh Arziana Mohmad Azaman

IMPIAN berkobar-kobar Nor Azalina Ali, 40, untuk melancong ke negara jiran, Thailand terpaksa dibatalkan dek krisis Covid-19 yang sedang melanda.

Sebaliknya, cuti tahunannya itu digantikan dengan meluangkan masa bersama keluarga di Taman Impian Murni, Muar, Johor.

Siapa sangka, ruang masa yang ada itu juga perlu ditolak ketepi. Nama Nor Azalina tersenarai antara jururawat yang diminta bertugas mengendalikan pesakit Covid-19 di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor.

Anak sulung daripada enam beradik itu tidak berasa ralat. Di saat insan normal lain bermati-matian mengelakkan diri daripada berdepan virus amat berbahaya itu, beliau yang ditugaskan di unit rawatan rapi rela berkorban dan komited bertugas.

Situasi tersebut diceritakan oleh Nor Azurin Ali, 31, adik kepada Nor Azalina.

”Walaupun sedar wabak itu boleh membawa maut, namun Along (Nor Azalina) tetap cekal kerana menyifatkan ia tuntutan kerja. Katanya, siapa lagi yang harus menjaga pesakit jika bukan pasukan perubatan?

”Memang bukan mudah bertugas berdepan pesakit virus Covid-19. Mereka harus menyarungkan peralatan perlindungan diri (PPE) yang berlapis-lapis. Bayangkan, kita yang melihat pun terasa panas, apatah lagi empunya diri,” luah beliau kepada Sinar Plus baru-baru ini.

frontliner
GIGIH menjalankan amanah.

Sementara itu, suami kepada pakar bedah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Mohamad Fahmi Amin, 38, memberitahu, beban pasukan perubatan dapat dikurangkan sekiranya masyarakat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

”Tolonglah, kasihanilah barisan hadapan. Jika langkah duduk di rumah dilaksanakan secara konsisten insya-ALLAH wabak ini dapat dikurangkan sekali gus meringankan beban mereka (pasukan perubatan).

”Bagaimanapun, demi tanggungjawab pada agama dan negara saya reda. Saya sentiasa menasihati isteri (Dr Aina Shafiza A Aziz) agar berwaspada. Lagipun umum mengetahui wabak ini tidak mengenal sempadan ataupun status seseorang, lebih-lebih lagi petugas kesihatan barisan hadapan,” ujar beliau yang menyokong kempen #dudukrumah.

Dalam pada itu, kesungguhan pasukan frontliner memerangi wabak Covid-19 turut mendapat perhatian Nur Hazria Salmahani Yacob, 40.

Iklan

Menerusi laman sosial Facebook Hazria Haze Yacob, beliau meluahkan kegigihan tentang kakitangan, jururawat dan doktor yang cukup meruntun hati.

frontliner
KAUNTER saringan Covid-19 yang dibuka di hadapan Klinik Kesihatan Anika Klang untuk memudahkan orang ramai.

”Bukan kuat tapi cuba bertahan untuk kawan-kawan sebab aku tahu team kami tak ramai...collapse satu pun kami dah rasa macam sotong. Aku bangga ada team yang baik dan hebat. Kamu orang (semua) memang awesome dan terbaik.

”Saya bukan nurse mahupun doktor, tetapi saya tak kisah semua itu, janji nawaitu berkhidmat dengan mereka ikhlas. Kesanggupan kita tinggalkan keluarga hanya berserah kepada ALLAH SWT untuk keselamatan mereka,” kongsi wanita itu.

Buat Norhaziqah Saharudin, hatinya tetap kuat untuk berdepan dengan mereka yang berisiko wabak Covid-19 yang datang mendapatkan rawatan di klinik tempatnya bertugas.

Iklan

”Jika ada pesakit yang datang berisiko, pihak klinik akan hubungi pihak kesihatan daerah berhampiran untuk tampil membantu.

”Untuk keselamatan diri, kami sentiasa memakai topeng muka dan sanitizer sepanjang masa selain membuat saringan awal suhu pesakit yang datang,” kata pembantu klinik swasta itu.

Mempunyai seorang cahaya mata yang masih kecil, beliau tidak menafikan kebimbangan ‘membawa’ wabak ke rumahnya sentiasa ada. Justeru, Norhaziqah memastikan akan membersihkan diri sebelum masuk ke dalam rumah.

frontliner
SELAIN bertugas di wad, petugas kesihatan turut giat berkempen untuk mencegah Covid-19.

Menurutnya, pihak kliniknya beroperasi 14 jam lebih dari hari biasa demi memberi khidmat kepada orang ramai.

Ya, itu hanya beberapa perkongsian tentang pengorbanan petugas barisan hadapan. Jasa mereka sememangnya tidak terbalas.

Sehingga kini, boleh dikatakan hampir sebahagian besar daripada mereka sedang 'berperang' berdepan 'askar jahat' Covid-19.

Masakan tidak, direkodkan, wabak Covid-19 di Malaysia setakat semalam telah mencecah 2,320 kes. Jumlah kematian pula ialah seramai 27 orang.

Peningkatan jumlah mangsa wabak itu dari semasa ke semasa membuatkan situasi menjadi semakin genting. Barisan doktor dan jururawat terpaksa bekerja lebih masa antara 16 hingga 18 jam sehari.

Terpaksa berlencun memakai PPE dalam tempoh lama, ditambah kekangan infrastruktur kondusif. Mereka juga manusia biasa yang keletihan sehingga ada kalanya tertidur di tepi dinding hospital, 'berpisah' dengan keluarga dan paling utama pejuang yang berisiko tinggi dijangkiti.

Lebih memilukan, 'balasan' bakti yang dicurahkan, hingga kini, lebih 80 petugas kesihatan disahkan dijangkiti virus tersebut melibatkan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk tiga kakitangan kesihatan swasta.

frontliner
KEPENATAN bertugas.

About Arziana Mohmad Azaman