Foto: IHSAN@haiqalhanafii

KETIKA kejohanan Sukan Sea 2019 di Filipina pada Disember lalu, pelari pecut kelahiran Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi sebenarnya merupakan atlet bidan terjun bagi menggantikan pelari asal, Muhammad Zulfiqar Ismail yang mengalami kecederaan.

Siapa sangka, pepatah tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu, sangat sesuai untuk menggambarkan nasib Muhammad Haiqal.

Masakan tidak, beliau telah mencetuskan fenomena yang tidak terduga apabila bukan sahaja menjuarai acara 100 meter Sukan Sea 2019, malah mencipta rekod baharu Asia Tenggara!

Catatan terpantas 10.35 saat yang dicapainya pada tanggal 8 Disember 2019 dalam kejohanan berprestij tersebut telah menempatkan pemuda berusia 21 tahun itu sebagai lelaki terpantas sekali gus bergelar Raja Pecut Asia Tenggara.

Kejayaan cemerlang Muhammad Haiqal itu secara tidak langsung meletakkan dirinya sebaris dengan nama-nama besar pelari pecut negara yang lain seperti Khairul Hafiz Jantan, Watson Nyambek, Rabuan Pit, Tan Sri Dr M Jegathesan dan Nazmizan Mohamad.

pelari pecut
MESKIPUN telah menggenggam catatan terbaik 10.35 saat, bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Bandar Penawar, Johor itu masih mahu berusaha untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

Menurut anak muda yang bersemangat waja itu, pingat emas yang dirangkulnya pada temasya Sukan Sea berkenaan adalah kenangan yang cukup manis dan paling berharga.

“Saya sendiri tidak menyangka mampu bergelar juara selepas bersaing dengan pelari-pelari hebat lain di rantau Asia Tenggara.

“Selepas mengharungi disiplin dan latihan berterusan, saya percaya berkat amalan solat lima waktu dan solat hajat sebelum tidur juga telah memudahkan urusan saya dalam bidang ini malah lebih berjaya.

“Saya telah berusaha pada peringkat terbaik dan kemudian saya tawakal kepada ALLAH supaya dipermudahkan semuanya. Alhamdulillah, saya berjaya mencapai rekod terpantas setakat ini,“ ujarnya menerusi satu wawancara khas yang diatur menerusi perbualan telefon bersama Sinar Plus baru-baru ini.

Ketika dihubungi, beliau sedang giat menjalani latihan di negeri Johor sebagai persiapan untuk kalendar kejohanan pada tahun 2020.

TUAH HOBI

Sebelum bertanya tentang visi masa depannya, Sinar Plus mengajak Muhammad Haiqal bercerita mengenai dirinya sebelum dikenali ramai. Siapakah beliau dan bagaimana minatnya untuk menjadi pelari pecut mula timbul?

Sambil tertawa kecil, Muhammad Haiqal berkata, beliau tidak menyangka hobinya yang suka berjoging satu kampung dan melakukan speed bukit telah membawanya ke dunia olahraga.

“Asalnya dahulu saya bercita-cita mahu menjadi pemain bola sebab sukakan bola sepak, tetapi tak sangka bila masuk acara olahraga, boleh pergi jauh sehingga mencapai tahap sekarang ini.

“Bagaikan mimpi sebenarnya bila boleh berjaya sampai peringkat ini. Bila teringat kenangan masa kecil dulu, memang saya kuat berlari. Adakalanya lari pecut sebab kena kejar anjing. Rasa lucu pula,“ kongsinya sambil ketawa terbahak-bahak.

pelari pecut
MASRIZA Masari (kiri) ibu kepada Haiqal sentiasa memberikan sokongan terhadap karier anaknya.

Dengan nada merendah diri, Muhammad Haiqal berkata, beliau masih terus-menerus untuk memperbaiki prestasi dirinya. Sesungguhnya, kejayaan lalu tidak boleh membuatkan dirinya terus hanyut begitu sahaja sebaliknya harus bekerja lebih kuat.

“Ya, itu yang sedang saya lakukan, berlatih tanpa jemu,“ ujarnya.

Justeru, kepada atlet-atlet baharu, jejaka yang memiliki ketinggian 168 sentimeter itu menitipkan nasihat agar golongan muda sentiasa berpegang kepada disiplin dan rajin berusaha.

“Kena jaga hubungan persahabatan, meskipun di trek sebagai pesaing namun di luar, kami tetap berkawan. Seperti Khairul Hafiz, dia banyak bantu beri semangat dan tip bagus.

“Saya masih ingat, kata-kata semangat dan tunjuk ajar pemegang pingat emas Sukan Sea 2017 itu. Dia banyak membantu saya untuk meningkatkan teknik larian sehingga mencapai tahap sekarang ini ,“ katanya yang bersyukur dengan kejayaan dikecapi.

PERBAHARUI REKOD

Meskipun telah menggenggam catatan terbaik 10.35 saat, bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Bandar Penawar, Johor itu masih belum berpuas hati dan mahu berusaha untuk mencipta lebih banyak kejayaan lagi.

Iklan

“Sudah menjadi impian saya untuk menjadi atlet yang terbaik demi mengharumkan nama negara dan keluarga tercinta,“ katanya yang dibimbing jurulatih, Mohd Poad Md Kassim.

Kepada Sinar Plus, Muhammad Haiqal memberitahu, sasaran utamanya bagi tahun 2020, sudah semestinya mahu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo dan beriltizam mencatatkan rekod baharu yang lebih cemerlang.

“Ketika ini, saya masih berusaha untuk menjadi pelari terbaik supaya dapat memecahkan rekod peribadi, lebih-lebih lagi ketika ini saya dalam persediaan untuk Kejohanan Olahraga Perak All Comer 2020,“ katanya.

pelari pecut
CATATAN terpantas 10.35 saat yang dicapainya dalam kejohanan berprestij tersebut telah menempatkan pemuda berusia 21 tahun itu sebagai Raja Pecut Asia Tenggara.

PROFIL

Nama: Muhammad Haiqal Hanafi

Umur: 21 tahun

Tarikh Lahir: 29 April 1999

Iklan

Ketinggian: 168 sentimeter

Asal: Senawang, Negeri Sembilan

Kerjaya: Pelari pecut acara 100 meter dan 200 meter

Pendidikan: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor

Pengurusan diet: Elak makan daging secara berlebihan, mengambil makanan berat sewaktu sarapan pagi dan selepas latihan. Makan sekadar alas perut pada waktu petang.

Instagram: @haiqalhanafii