Kreativiti hasil ‘sampah’ tampung kos anak sakit jantung berlubang

May 15, 2020
Arziana Mohmad Azaman

HANYA melihat gambar perkongsian imej landskap luar negara, siapa sangka hasil kreatif Norazman Mohd Nordin mendapat sambutan luar biasa lebih-lebih lagi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pelbagai model bangau dan flamingo yang diperbuat daripada paip PVC terpakai selain kumbang, air pancut hiasan dan cendawan hasil tangannya mempunyai peminat tersendiri.

Berkongsi idea tersebut, bapa kepada empat cahaya mata itu sebenarnya hanya mahu mencari duit lebih untuk menampung keperluan perubatan anak keduanya yang menghidapi jantung berlubang.

“Sebenarnya, projek buat hiasan daripada paip terpakai ini dimulakan sejak dua tahun lalu. Masa itu, saya buntu nak cari duit lebih untuk tanggung kos hidup dan perubatan anak.

landskap
NORAZMAN membuat pelbagai hiasan halaman menggunakan paip PVC terpakai.

“Bila lalu kawasan rumah ada buat projek pembinaan, saya ada nampak sisa paip pecah dibuang. Tak fikir panjang, saya dan anak sulung bawa balik semua paip tu tapi masa itu tak tahu nak buat apa lagi,” ceritanya.

Sudah tentunya barang tersebut menimbulkan rasa kurang senang isterinya kerana membawa pulang ‘sampah’ namun dipujuk hati dan cuba mencari dalam internet kegunaan lain paip terpakai.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu mula mendapat idea untuk membuat bangau memandangkan memiliki peralatan selain kemahiran mengecat berkat ilmu belajar di Institut Kemahiran Mara (IKM) Pahang selepas tamat sekolah.

landskap
ANTARA tempahan pelanggan yang disiapkan.

“Bila saya google, imej yang terpapar kebanyakan luar negara. Bila amati burung bangau dari paip, saya yakin boleh buat dan tak sangka pula bila siap dan isteri pos dalam Facebook, dapat sambutan.

“Bila ada tempahan, saya syukur sangat. Sebab sebelum ini saya tak mampu nak bagi nafkah dengan isteri memandangkan gaji semuanya habis bayar hutang dan kos perubatan anak,” katanya sebak.

Rezeki PKP yang tidak diduga membolehkan isterinya, Nurul Aini Amran, 30, membantu mengurus tempahan dan menjana duit sampingan untuk keperluan semasa.

landskap
HIASAN halaman menggunakan barang terpakai ternyata menambah seri kawasan rumah.

“Alhamdulillah, isteri bantu uruskan tempahan melalui akaun Facebook Nurul Aini Amran dan saya buat ikut masa terluang. Walaupun kerja waktu pejabat, saya akan ambil masa lepas kerja buat tempahan sampai siap.

“Saya memang tak suka buat tempahan dengan cara terburu-buru sebab pentingkan kualiti. Barangkali sebab itu, ramai pelanggan yang repeat order,” ujarnya penuh gembira.

Bapa berusia 34 tahun itu juga aktif berkongsi ilmu dalam Channel Youtube Cik Man DIY yang lebih kepada cara membaiki kerosakan dalam rumah selain membuat hiasan daripada barang terpakai.

landskap
SELAIN hiasan halaman, Norazman juga berkongsi ilmu dalam channel Youtube Cik Man DIY.

“Mungkin disebabkan musim PKP, ramai lebih masa di rumah dan baiki kerosakan atau cantikkan landskap taman. Sebab itu, 10 tempahan boleh dapat dalam tempoh sehari.

“Jika dibandingkan sebelum ini, hanya dua tempahan dalam tempoh seminggu. Terima kasih kepada pelanggan dan rakan Facebook yang bantu promosi dan beli hasil tangan kami,” tuturnya.

About Arziana Mohmad Azaman