DATUK Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha merupakan satu nama yang gah dalam dunia astronomi. Malaysia harus berbangga kerana satu-satunya anak Malaysia dan merupakan antara lima individu beragama Islam yang bergelar angkasawan.

Selepas berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan kapal angkasa Soyuz bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko pada 10 Oktober 2007, beliau bukan sekadar memartabatkan nama negara.

Malah, Sheikh Muszaphar berjaya mencetuskan fenomena dan menyuntik inspirasi kepada banyak pihak terutama kanak-kanak untuk menjejak impian yang difikirkan sukar untuk digapai, namun boleh jika ada kerja keras disulami dengan azam.

Sudah 13 tahun lamanya, sejarah hebat itu terpahat, namun ia seolah-olah baru semalam jutaan rakyat Malaysia melihat beliau berlepas ke ISS.

dr sheikh muszaphar

Pertemuan SinarPlus bersamanya baru-baru ini melihat transisi kehidupannya yang kini bergelar bapa kepada empat orang anak (dua perempuan dan sepasang kembar lelaki).

Beberapa minggu sahaja lagi, beliau dan pasangannya Dr Harlina Mohd Yunos bakal menimang sepasang cahaya mata kembar lagi. Kebahagiaan berganda itu sesungguhnya merupakan rezeki kurniaan ALLAH SWT kepada mereka sekeluarga.

Mengikut perancangan awal, sesi wawancara kami dijadualkan di Restoran Rebung, namun pada saat akhir, Sheikh Muszaphar lebih selesa ia diadakan diadakan di rumahnya. Mudah untuk memantau anak-anak, katanya.

dr sheikh muszaphar

Semasa di kediamannya, kecomelan si kembar Sheikh Adam dan Sheikh Noah, 3, mencuri perhatian. Gelagat mereka yang manja dan suka bertanya itu dan ini membuatkan kru SinarPlus tertarik dengan formula didikan yang diterapkan oleh ikon negara tersebut ke atas anak-anaknya termasuk anak sulung dan keduanya iaitu Sophea Isabella, 9, Sophea Natasha, 7.

Etika mendidik anak

Bagi SinarPlus, Sheikh Muszaphar boleh disimpulkan sebagai seorang bapa yang tegas, tetapi sangat penyayang. Tidak keterlalun untuk disebut, beliau merupakan bapa yang punya pendekatan dan pemikiran tersendiri dalam membentuk aspek sahsiah, akhlak, pendidikan dan agama kepada anak-anaknya.

Kepada penulis, Dr Sheikh Muszaphar dengan gaya tenang dan bersahaja berkata, mendidik anak-anak memerlukan kesabaran yang tinggi.

sheikh muszaphar

Cabaran menjaga dan membesarkan anak pada zaman milenial ini akui beliau, cukup berat lebih-lebih lagi mereka dikelilingi dengan gajet dan pengaruh rakan-rakan sebaya.

"Ya, saya seorang ayah yang boleh dikatakan agak tegas dan mementingkan disiplin. Saya pantang melihat anak tidak buat apa-apa. Sebagai contoh, saya tidak boleh lihat mereka menonton televisyen 24 jam. Ini kerana setiap saat adalah saat pembelajaran buat mereka.

"Enam tahun pertama adalah umur yang kritikal. Pada lingkungan usia ini, semua yang diajar oleh ibu bapa akan diserap seperti span oleh anak-anak. Jadi, saya akan push mereka ke tahap 'ekstrem' dengan pelbagai aktiviti seperti berenang, taekwondo, gimnastik dan sebagainya," ceritanya sambil mengusap lembut perut si kembar yang duduk di pangkuannya.

sheikh muszaphar

Angkasawan Pertama Negara itu menambah, dalam mendidik si kecil, ibu bapa perlu menetapkan peraturan dan etika disiplin di rumah kerana sesetengah perkara sukar untuk dikawal.

"Senakal manapun anak-anak ini, selicik mana pemikiran, mereka masih lagi anak-anak kecil yang perlu dilayan seperti anak-anak manja tetapi dengan intonasi tegas.

"Saya akui memang menerapkan disiplin tetapi pada masa sama, manja dengan mereka supaya apabila dewasa nanti, kita akan jadi kawan-kawan. Dalam hal ini, kesabaran yang tinggi amat diperlukan," katanya yang mengakui dirinya merupakan seorang penyabar.

Menjengah Instagramnya @drsheikhmuszaphar yang memiliki hampir sejuta pengikut, ramai yang berbangga dan kagum dengan pendekatan beliau yang mengimbangi pendidikan berbentuk duniawi dan ukhrawi ke atas anak-anaknya. Beliau juga sering memuat naik video dan foto perkembangan seharian empat anaknya.

Selain menghantar dua anak perempuan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, pendidikan agama sesekali tidak dilupakannya.

sheikh muszaphar

"Saya akan memastikan mereka solat dan membaca al-Quran kerana amalan ini boleh melembutkan hati anak-anak. Seperkara, jangan berikan mereka sebarang gajet hingga mereka berusia 12 tahun," ujar figura yang dikagumi dan disegani ramai itu.

Beliau yang juga masih seorang Pakar Ortopedik di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia itu menambah, peri penting untuk sesebuah keluarga memiliki ilmu keibubapaan.

Iklan

"Setiap aktiviti yang kita jalankan bersama anak-anak mesti ada impak positif. Saya tidak mahu komen cara didikan orang lain yang mungkin menggunakan kaedah merotan sebagai hukuman kerana mereka tahu sikap dan tingkah laku anak masing-masing.

"Bagi saya, paling kuat pun, saya hanya jentik pada kaki mereka sebagai tanda mereka salah. Anak-anak kena diberitahu mana yang betul atau salah. Bagi saya hukuman merotan agak ekstrem kerana boleh memberi kesan kepada perasaan memberontak dan takut dalam diri apabila si kecil dewasa kelak,” ujar yang juga seorang pakar motivasi menjelaskan pendiriannya.

sheikh muszaphar

Kepada pembaca SinarPlus yang mengetahui lebih lanjut bagaimana Dr Sheikh Muszaphar menguruskan keluarga, beliau telah melancarkan bukunya yang bertajuk My Way Of Parenting yang ditulis dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Karya itu antara lain berkongsi 30 tip peranan sebagai ibu bapa.

Pesan arwah bapa

Apabila sudah bergelar seorang bapa, angkasawan itu tidak mampu mengalihkan ingatannya terhadap bapa tercinta iaitu arwah Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor.

Dalam kalangan pengamal media, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang sangat ramah dan sering memberi kerjasama yang baik tatkala wartawan bertanyakan perkembangan Dr Sheikh Muszaphar sebelum dan ketika berada di ISS.

dr sheikh muszaphar

Ujar anak ketiga daripada lima beradik lelaki itu, meskipun arwah bapanya sudah lama meninggalkan mereka, beliau masih utuh berpegang kepada kata-kata keramat yang sering diungkapkan bapanya iaitu what the mind can believe, the body can achieve (apa yang minda anda percaya, tubuh anda boleh mencapainya).

"Minda memainkan peranan paling penting untuk berjaya. Kata-kata itulah yang membuatkan saya terus kuat untuk genggam impian. Inilah juga formula yang saya terapkan kepada anak-anak supaya mereka pun mampu capai apa yang diinginkan.

dr sheikh muszaphar

"Sesungguhnya, ayah saya banyak mengajar erti kehidupan. Saya sudah kehilangan seorang insan yang mampu mengarah saya ke arah yang betul tetapi ibu masih ada lagi untuk saya menumpang kasih,” ujarnya dengan nada sebak.

Iklan

Bersembang dengan ikon berkarisma itu memang tidak boleh lari daripada topik tentang angkasa lepas.

Tatkala ditebak adakah beliau mahu melakar satu lagi sejarah berharga dengan membelah langit dengan kapal angkasa Soyuz, raut wajahnya bertukar ceria.

"Kalaulah saya diberi peluang sekali lagi untuk kembali ke angkasa dan jika ada ruang sebagai contoh misi perjalanan sehala ke Marikh, saya sanggup pergi dan tinggalkan anak dan isteri," katanya sambil tergelak besar.

sheikh muszaphar

Seperti sedia maklum, misi menghantar angkasawan kedua negara ditetapkan pada tahun 2030. Bagaimanapun, difahamkan, program mencari angkasawan kedua itu masih dalam status on hold.

Pada misi pertama, Dr Sheikh Muszaphar mengatasi 11,275 calon lain untuk muncul sebagai angkasawan pertama negara.

"Untuk program angkasawan pada tahun 2030 nanti, sudah menjadi hasrat saya untuk melihat wakil angkasawan wanita pula supaya memberikan inspirasi kepada semua kaum Hawa di luar sana,” ungkapnya sambil memberitahu kerinduannya melihat pemandangan bumi dari ruang angkasa yang cukup indah dan menakjubkan.

Dalam pada itu, Dr Sheikh Muzaphar Shukor yang turut diiktiraf sebagai World's Most Admired itu memberitahu, dirinya kini kembali berkhidmat sebagai felo penyelidik utama di Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pun begitu, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih dikuat kuasakan lagi, beliau kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama anak-anak selain memberi tumpuan sepenuhnya terhadap Restoran Rebung miliknya.

Label Dr Sheikh

Terlanjur berbual mengenai restoran, penulis tanyakan tentang pendekatan dirinya yang tanpa segan-silu menjadi penghantar makanan untuk pelanggan restorannya.

Sambil tersenyum, Dr Sheikh Muzaphar berkata, penangan Covid-19 turut telah menjejaskan perniagaannya.

Justeru, bagi mematuhi prosedur operasi standard, kaedah penghantaran dari rumah ke rumah diimplemenkan.

sheikh muszaphar

"Sebenarnya di Rebung, kami memiliki 10 penghantar makanan. Tujuan saya turun padang dan menghantar sendiri makanan kepada pelanggan adalah bertujuan untuk memotivasikan pekerja supaya mereka terus bersemangat untuk bekerja dalam era pandemik ini.

"Saya sendiri sanggup buat apa jua kerja termasuk penghantar makanan asalkan ia halal.

"Tidak perlu nak rasa malu atau hina pekerjaan seumpama itu. Saya masih jadi rider. Kalau tiada hal penting, saya akan jenguk ke Rebung setiap petang kecuali pada hujung minggu," ceritanya yang sedang mengintai peluang baharu seperti jualan barang dagangan berkonsepkan angkasa lepas.

sheikh muszaphar

Figura itu juga sedang sibuk menghasilkan buku Islamik komik untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Oh, ya kepada pembaca yang ingin mendapatkan baju bayi dengan label Dr Sheikh, boleh mendapatkannya menerusi Shopee drsheikh.os.

"Sebenarnya, semua idea ini bermula sebab tidak lama lagi kami bakal  dapat anak kembar. Terlalu ramai juga yang bertanyakan pada saya bagaimana mahu peroleh merchandise seperyi beg dan baju (berkonsepkan) angkasa lepas di Malaysia sebab susah mahu cari.

"Jadi, saya nak beri peluang untuk para ibu bapa di luar sana untuk dapatkan item idaman dan pada masa sama, mengimpikan anak mereka menjadi angkasawan negara satu hari nanti,” katanya.

Foto MOHD IZARI ROSLI & INSTAGRAM DATUK DR SHEIKH MUZAPHAR SHUKOR  

MUA: @ayangkamell

PROFIL

  • Nama: Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha
  • Umur: 48 tahun
  • Asal: Kuala Lumpur
  • Kerjaya: Angkasawan, Doktor Bedah Ortopedik, Felo Penyelidik UKM, usahawan, model, penulis buku dan pakar motivasi
  • Tahap pendidikan:
  • Maktab Rendah Sains MARA di Muar, Johor
  • Ijazah perubatan MBBS di Kolej Perubatan Kasturba, Manipal, India.
  • Pensyarah perubatan pelatih di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)
  • Pernah berkhidmat di Hospital Seremban (1998), Hospital Besar Kuala Lumpur (1999) dan Hospital Selayang (2000-2001).
  • Pencapaian: Angkasawan Negara Misi Soyuz TMA-11