AKAUN Instagram Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut, 21, antara yang kerap penulis singgah. Masakan tidak, laman sosial itu sering ‘digemakan‘ dengan alunan kitabullah hampir setiap detik.

Kelunakan suaranya bertaranum ayat-ayat suci al-Quran sungguh menjentik sanubari. Kata Nor Farhatul Fairuzah atau mesra disapa Farha, beliau bersyukur dan akan terus berusaha menguasai dan mengukuhkan tujuh jenis taranum yang terdiri daripada nahawand, rast, hijaz, bayyati dan sikah.

Namun, daripada ribuan entri Instagramnya, penulis paling tertarik dengan lantunan bacaan Surah an-Nasr beliau bersama qari cilik dari Gaza, Palestine, Hamza Ghazali yang penuh gemersik. Ritma emosi penulis makin terkesan lebih-lebih mengenangkan bagaimana sambutan Aidiladha di bumi Palestin yang belum menemui kedamaian.

Lantas penulis mengajaknya berbicara tentang Hari Raya Korban. Apa definisi pengorbanan bagi qariah hebat itu? Tertib menyusun kata-kata, Farha memberitahu, Aidiladha bagi dirinya bukan sekadar penyembelihan haiwan dan agihan daging korban semata-mata, tetapi ia lebih bermatlamatkan untuk mengajar umat Islam tentang erti kesyukuran dan kesanggupan berkongsi rezeki.

Sesungguhnya, membelanjakan harta ke arah kebaikan demi membantu individu yang memerlukan adalah salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri dengan ALLAH.

Selain dapat meningkatkan amalan dan keimanan, sambutan ini juga adalah satu platform yang bagus untuk kita membantu golongan yang memerlukan dengan mengagihkan daging korban. Bukan sahaja dapat beramal, tetapi secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat setempat, bertegur sapa dan bertanya khabar terutama dalam keadaan pandemik kini,“ bicara pelajar Ijazah Sarjana Muda Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Farha yang gemar mendengar lagu dalam bahasa Arab dan meminati lagu dendangan penyanyi veteran Mesir, Umm Kulthum terus bercerita tentang Aidiladha.

Mengimbau kenangan lalu, beliau berkata, masih terpahat dalam benaknya kenangan meraikan Hari Raya Korban ketika zaman kanak-kanak.

Sebaik menunaikan solat sunat Aidiladha pada sebelah pagi, imbas Farha, beliau bersama arwah ayahnya, Panut Markum di samping ahli keluarga lain bersiap siaga ke lokasi tempat penyembelihan haiwan korban.

Itu momen yang saya nanti-nantikan dan satu memori yang tidak dapat dilupakan. Ketika itu, saya melihat percikan darah haiwan tersebut yang kadangkala terkena pada bahagian baju tukang sembelih. Disebabkan saya masih kanak-kanak, saya tak berapa faham sangat, tetapi apabila melihat kejadian tersebut, saya betul-betul rasa teruja.

Kemudian, selepas proses sembelihan, daging itu diagih-agihkan. Daging segar yang dimasak sup memang sedap tidak terkata. Ia merupakan sebahagian daripada kenangan indah yang sukar saya padamkan lebih-lebih lagi mengenangkan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyebabkan banyak perkara tidak dapat dilakukan,“ luah gadis yang jarang minum minuman berais bagi menjaga suaranya.

Pusat pendidikan al-Quran

Melayari profil gadis muda yang mula berteranum sejak berusia lima tahun itu, akan membuatkan kita kagum. Didikan daripada ibu bapanya sejak kecil telah melayakkan beliau menjuarai Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan untuk empat tahun berturut-turut (2014 hingga 2017).

Farha juga pernah dinobatkan sebagai juara pada Tilawah Sekolah Rendah Pulau Pinang pada tahun 2011 dan terpilih sebagai Tokoh Kokurikulum Sekolah Peringkat Negeri dan Kebangsaan.

Semua kejayaan itu amat manis bagi anak kepada seorang qariah, Jaliah Simin, 63. Justeru, katanya kepada SinarPlus, beliau memahat satu impian yang diharapkan dapat direalisasikan kelak.

Dengan izin daripada-NYA, saya berkeinginan membina sebuah pusat pendidikan al-Quran untuk setiap lapisan usia. Ia bukan sahaja mampu menampung pelajar tempatan, malah warga luar negara juga berpeluang untuk bersama-sama menimba ilmu di institut pendidikan itu nanti,“ katanya yang banyak memenuhi jemputan berteranum, menjadi tetamu undangan termasuk menjadi juri dalam pertandingan berkaitan dengan al-Quran.

Semangat gadis kelahiran Selangor itu juga menggelegak untuk berdakwah. Beritahu Farha, beliau sebolehnya mahu mengembara dan menjelajah di setiap pelosok dunia demi menyemarakkan syiar Islam.

Iklan

Tatkala saya berada di kelas mengaji secara dalam talian di media sosial, terdapat beberapa peserta luar negara seperti dari Korea Selatan, Turki, Singapura dan Indonesia yang turut serta.

Saya melihat mereka ingin belajar agama dan mengaji al-Quran. Ruang itu saya lihat boleh dijadikan sebagai satu peluang kepada saya untuk mengembara ke luar negara, sekali gus menimba ilmu dan bertukar pendapat dengan mereka,“ katanya yang sudah pun berjinak-jinak dengan dunia perniagaan di bawah jenama Farha Looks.

Tekad beliau tidak bernoktah sampai di situ sahaja. Anak bongsu daripada lima beradik yang sangat mencintai kalamullah itu turut berhasrat menerbitkan sebuah buku tentang al-Quran. Ya, biarpun masih terlalu awal untuk membicarakan misi berkenaan, namun nada suaranya kedengaran serius dan bersungguh-sungguh.

Medium dakwah

Menghidupkan laman Instagramnya sejak berada di tingkatan lima dengan memuat naik kandungan mempelajari seni taranum, usaha itu nampaknya masih diteruskan Farha tanpa jemu.

Ungkap gadis yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang al-Quran itu, beliau sedar dengan situasi semasa yang sarat dengan pelbagai cabaran terutama pengaruh budaya luar yang disalurkan melalui media sosial.

Iklan

Pun begitu, beliau sesekali tidak gentar untuk terus berjuang mempertahankan agama suci ini. Ujarnya dengan penuh tawaduk, dirinya akan tetap meneruskan usaha menggunakan platform tersebut sebagai medium menyebarkan ilmu al-Quran dan ajaran Islam sebaiknya.

Segelintir pihak mungkin memiliki kekangan untuk belajar, jadi cara begini (secara maya) mampu memudahkan mereka untuk menghadiri kelas al-Quran walau berada di mana sahaja tanpa mengira masa atau lokasi.

Lebih-lebih di zaman yang serba canggih ini, kebanyakan kita menggunakan telefon pintar untuk mendapatkan maklumat. Boleh dikatakan juga hampir setiap individu tanpa mengira usia kanak-kanak, dewasa mahupun veteran sekalipun, mereka pastinya memiliki akaun media sosial sendiri,“ terangnya.

Jika dilihat, kepopularan Farha boleh dikatakan mengalahkan selebriti sedia ada. Masakan tidak, pengikut di Instagramnya mencecah 900,000 orang. Menghampiri angka 1 juta, jumlah itu ternyata menggambarkan dirinya memiliki pengaruh yang cukup kuat di platform media sosial.

Biarpun begitu, dalam nada perlahan dan merendah diri, Farha akui, ia bukanlah tiket untuk ‘berkepak‘ atau mendabik dada apatah lagi hayut dek kemahsyuran.

Sebaliknya, kelebihan tersebut katanya, merupakan amanah dan tanggungjawab untuk terus mempamerkan contoh yang baik agar boleh dijadikan teladan kepada pengikutnya.

Apabila mempunyai pengikut, mereka akan mengikut apa yang kita lakukan. Disebabkan itu kita perlu sentiasa mempamerkan contoh dan sifat nilai murni yang baik dan jangan sesekali bangga diri,“ katanya.