Pemuda ini hilang keupayaan berjalan, bangkit jadi tauke ikan laga demi kelangsungan hidup

ikan laga
December 27, 2020
Oleh Arziana Mohmad Azaman

HILANG keupayaan untuk berjalan seperti insan normal pada awal usia 11 tahun membuatkan dunia Mohd Faizal Khamis gelap seketika.

Masakan tidak, daripada seorang kanak-kanak riang, kini beliau yang menetap di Simpang Renggam, Johor terpaksa bergantung dengan kerusi roda sepanjang hayat.

Menceritakan lebih lanjut, lelaki kurang upaya itu berkata, sejarah hitam hidupnya berlaku pada tahun 1993 iaitu ketika umat Islam menyambut bulan Ramadan.

"Saya masih ingat, ketika itu saya terbangun kira-kira jam 3 pagi untuk membuang air kecil. Sebaik sampai ke tandas, saya rasa sakit sebab tidak boleh kencing, kaki saja juga terasa lemah, namun saya gagahkan diri terus ke bilik tidur mak untuk mengadu.

"Mak saya bangun dan terus sapukan ubat pada kaki saya yang sudah rasa sakit. Pada masa sama, siku kanan saya pun berdenyut-denyut,” kongsinya penuh sebak.

ikan laga

Keadaan menjadi bertambah parah apabila pemuda berusia 37 tahun itu muntah-muntah dan badannya terus longlai.

"Ketika itu, dalam hati saya tertanya-tanya kenapa tiba-tiba saya sakit secara mengejut? Kemudian, saya dibawa berubat secara tradisional  sebelum ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan doktor mendapati, terdapat darah beku pada saraf tunjang dan saya dibedah dua hari kemudian. Saya berkampung lebih kurang sebulan di wad sebelum dibenarkan pulang,” katanya yang disahkan mengalami sakit saraf.

ikan laga

Kepada SinarPlus, Mohd Faizal berkata, hilang nikmat berjalan secara tiba-tiba membuatkannya murung.

Iklan

"Kemudian, saya tersedar, tiada gunanya lagi untuk menyalahkan sesiapa atau merungut dengan ketentuan takdir. Saya seharusnya bangkit," katanya yang mengambil keputusan untuk mengikuti kursus baik pulih televisyen dan radio di Pusat Latihan Pemulihan dan Perindustrian, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Tauke ikan laga

Mohd Faizal berkata, pada awalnya beliau berhasrat untuk memiliki bengkel membaiki televisyen dan radio. Bagaimanapun, setelah mencongak, beliau akhirnya memilih untuk mengusahakan perniagaan ternakan ikan laga seperti Crown Tail, Dumbo dan Halfmoon kerana ia lebih menjimatkan, kos tidak tinggi, mampu beli dan yang paling penting beliau sangat meminati ikan berkenaan.

ikan laga

"Modal pun guna duit sendiri. Mula-mula saya beli sepasang ikan laga dan biakkan sendiri. Sekali bertelur, memang banyak dalam 100 hingga 400 telur. Sekarang ini, koleksi ikan laga yang ada lebih 5,000 ekor," ujarnya  sambil dibantu seorang pekerja.

Iklan

Kata Mohd Faizal, beliau sendiri tidak menyangka ternakan ikan laga dan kutu air yang pada awalnya untuk terapi dirinya mampu menjana pendapatan yang baik buat dirinya.

"Pejam celik pejam celik, sudah lapan tahun saya usahakan bisnes ini. Alhamdulillah inilah rezeki yang serasi buat saya. Turun naik dalam bidang ini memang ada termasuk dugaan baka ikan laga kena curi. Bukan sekali, tetapi banyak kali. Terbaharu, dua baka Betta yang boleh dijual dalam harga RM2,000 dicuri orang. Memang sedih sangat," ujarnya.

ikan laga

Beritahu Mohd Faizal, dalam sebulan, beliau boleh menjual kira-kira 500 ekor dengan harga serendah RM5 hingga RM10.

"Paling mahal yang pernah saya jual berharga RM300 untuk sepasang ikan," katanya yang mengaku tiada masalah menguruskan bisnesnya walaupun bergantung dengan kerusi roda sepenuhnya.

Usahawan muda itu memberitahu, beliau sungguh bertuah kerana baru-baru ini premisnya dikunjungi oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang tampil menghulurkan sumbangan untuk memperbaiki premisnya.

ikan laga

Mengakhiri perbualan, Mohd Faizal memberikan sedikit pesanan kepada golongan senasib dengannya: "Jangan sesekali kita hilang semangat dengan kekurangan yang ada pada diri, percayalah setiap ujian ALLAH itu ada hikmahnya.

Carilah hobi yang mampu menjana pendapatan dan kena rajin berusaha untuk mengubah masa depan. Apa yang penting, diri sentiasa positif dan sentiasa mahu maju ke depan."

About Arziana Mohmad Azaman