WALAUPUN masih cedera akibat kemalangan pada 12 Jun lalu, Yunizam Yusop atau dikenali dengan Abam Botak masih gigih meneruskan perkhidmatan van jenazah termasuk menguruskan pengebumian di sekitar Sandakan, Sabah.

Kata lelaki berusia 33 tahun itu, sejak kebelakangan ini, beliau dan 10 sukarelawan lain banyak menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

Membuatkan penulis tersentuh, semua urusan murni tersebut dilakukan secara percuma. Ya, percuma!

Abam Botak semadi mayat Covid-19

Insiden yang menimpa dirinya baru-baru ini juga berlaku ketika beliau dan rakan seperjuangan lain dalam perjalanan pulang sejurus selesai mengebumikan jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bokara.

“Salah seorang daripada kami tercampak keluar dari van dan ada yang patah tangan. Saya pula cedera pada muka dan dada, tapi kami tetap teruskan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Sekarang ini pun, sudah tiga hari berturut-turut kami menguruskan jenazah pesakit virus korona,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Abam Botak semadi mayat Covid-19

Akui Abam Botak, tugas mereka kini semakin mencabar kerana rata-rata jenazah merupakan pesakit Covid-19, tidak seperti ketika mula menawarkan servis itu pada tahun 2018.

Mengapa sanggup memilih menguruskan jenazah yang berisiko?

Jawab pemuda itu: “Disebabkan menguruskan jenazah Covid-19  ‘termaktub’ kepada SOP (prosedur operasi standard) yang ketatlah membuatkan kami terpanggil untuk membantu.

“Ramai dalam kalangan waris yang dalam kesedihan buntu selepas mendapat tahu ahli keluarga mereka pergi dan di sinilah kami memainkan peranan.”

Abam Botak semadi mayat Covid-19

Ujar pemuda berjiwa kental itu lagi, perasaan gentar dan takut memang tetap wujud, namun memikirkan semua itu adalah satu tuntutan fardu kifayah, mereka bertawakal kepada ALLAH SWT.

“Segala gerak kerja kami ketika di tanah perkuburan dipantau polis dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Penat memang penat, namun kami lebih sayu melihat kematian pesakit Covid-19 yang berlaku hampir setiap hari,” ujarnya yang turut sama-sama menguruskan jenazah yang bukan beragama Islam.

Bantu rakam foto dan video

Sepanjang mengendalikan urusan mulia itu, pastinya Abam Botak yang juga seorang kontraktor menyimpan 1,001 kisah yang penuh kepuasan. Beliau lantas mengiyakannya.

Beritahunya, perkara yang sangat menyentuh diri dan sukarelawan lain adalah apabila waris keluarga meminta pertolongan mereka merakam video dan foto ketika proses pengebumian.

Abam Botak semadi mayat Covid-19

Iklan

“Ketika merakam, kami turut sama rasa keperitan kehilangan orang tersayang.

“Sudahlah tak dapat ziarah ibu atau ayah di wad, tiba-tiba saja dapat tahu mereka sudah tiada. Bayangkan emosi mereka yang tak dapat menatap orang tua buat kali terakhir.

“Beban perasaan memang susah nak ucap dengan kata-kata,” katanya.

Penulis kemudian bertanya apa yang mendorong dirinya memperkenalkan perkhidmatan urus jenazah tanpa mengenakan sesen bayaran pun?

Ujar beliau, semuanya berlaku secara spontan. Ketika itu, beliau hanya membantu menghantar penduduk kurang berkemampuan ke hospital.

“Selepas itu, terdapat penduduk yang meninggal dunia dan kemudian susah mahu mencari van jenazah. Kalau ada, kosnya mahal dan penduduk miskin dan fakir tiada wang nak bayar.

Abam Botak semadi mayat Covid-19

Iklan

“Jadi, bermula dari saat itulah, kami terpanggil untuk membantu menyediakan Perkhidmatan Van Jenazah Percuma Abam Botak untuk penduduk di sekitar Sandakan,” ujarnya penuh semangat.

Perkhidmatan Van Jenazah Percuma Abam Botak kini kata pemuda itu, berdepan sedikit masalah. Ini kerana salah sebuah van rosak teruk akibat kemalangan tempoh hari, sementara dua buah kenderaan lagi sudah uzur.

“Besar harapan kami jika ada pihak yang mahu membantu tak kiralah daripada individu atau mana-mana badan korporat.

Abam Botak semadi mayat Covid-19

“Pekerjaan kami ini tidak pernah berhenti. Pasukan saya yang terdiri daripada penjawat awam dan yang bekerja sendiri sentiasa bersiap siaga 24 jam jika menerima laporan kematian daripada pihak hospital. Namun, jika kenderaan rosak, bagaimana?

“Selagi ada kudrat, kami akan cuba bantu penduduk miskin sebaik mungkin dan tak akan mengecewakan orang susah yang perlukan khidmat kami,” katanya yang turut berharap lebih ramai anak muda di Sandakan tampil untuk turut serta menjadi sukarelawan sepertinya.