BUKAN mudah sebenarnya apabila orang pandang rendah dengan orang kelainan upaya (OKU), namun saya kuatkan semangat demi mak. Saya bangkit untuk buktikan kemampuan diri,“ luahan rasa seorang wanita cekal, Aliah Talib.

Aliah, 34, berkata, sejak kecil, beliau sudah kalis dengan cemuhan dan ejekan lantaran fizikalnya yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan.

“Saya akui hati ini bukannya kuat sangat dan sudah lama memendam rasa. Sedih sangat apabila ada yang memperlekehkan kemampuan. Ada yang kata, masak guna kaki, kotorlah, tidak mampu memandu keretalah dan macam-macam lagi.

“Namun, saya ambil semua kata-kata pedih itu sebagai penguat semangat. Kepada yang sesuka hati melontarkan perkataan yang tajam, hentikanlah. Jangan sesekali bersangka buruk dengan ketentuan atau melawan takdir ALLAH,“ tuturnya yang beriltizam mahu menjadi seperti manusia normal lain meskipun dihambat dengan kekurangan diri.

pelukis Aliah

Kronologi kehidupan Aliah sungguh menyentuh perasaan. Bayangkan, wanita hebat yang sudah boleh memandu kenderaan sendiri itu, hanya sempat bersekolah selama setahun di tadika. Itu semua disebabkan rasa malu berdepan dengan rakan-rakan sebaya.

“Ketika itu, saya memang tak tahan kena ejek dengan kawan-kawan. Saya akan menangis semahu-mahunya dan merayu tak mahu ke sekolah sampaikan mak pasrah dan turutkan sahaja kehendak saya. Kakak dan abanglah jadi guru dan mengajar saya. Kakak juga teman saya bermain masak-masak di rumah. Kebahagiaan saya hanya berada dalam ruang lingkup keluarga,“ ceritnya.

Bakat seni

Penulis kemudian bertanya, bagaimana beliau mengurus dirinya tanpa tangan? Bukankah ia satu perkara yang sukar?

“Ya, benar. Bukan mudah nak uruskan diri apabila tiada tangan, tetapi saya fikir pelbagai cara untuk buat semuanya sendiri. Saya cuba sampai boleh dan emak banyak bantu serta berikan kata-kata semangat. Emak kata pada saya, adik kena belajar berdikari sendiri, nanti emak dan abah sudah tiada, siapa nak tolong? Adik beradik lain nanti masing-masing akan berkeluarga,“ luahnya penuh kesayuan.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu meneruskan bicaranya mengenai kecintaan terhadap bidang seni.

Ujar Aliah, kecenderungan itu sebenarnya telah dipupuk sejak kecil lagi apabila ahli keluarganya rajin melayan dan membelikan pensil warna dan buku.

pelukis Aliah

Akhirnya, apabila meningkat dewasa, beliau mendapatkan latihan melukis secara formal di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi, Selangor pada 2004 hingga 2007.

Canting batik

Sesungguhnya, kata Aliah, ALLAH SWT sebaik-baiknya perancang. DIA mengaturkan sesuatu sesuai dengan kemampuan diri seseorang.

“Sepanjang tempoh empat tahun di PLPP Bangi, ia telah membuka satu perspektif yang lebih luas kepada saya.

“Saya banyak belajar di PLPP. Selama ini, saya ingatkan diri ini paling lemah dan tidak upaya, rupa-rupanya ada yang berdepan dengan dugaan lebih besar lagi. Pun demikian, individu-individu itu tetap gigih berusaha untuk perbaiki diri.

Iklan

“Bergaul dengan mereka yang juga kurang bernasib baik juga membuatkan saya sujud syukur. ALLAH MAHA PENYAYANG kerana masih beri saya peluang untuk teruskan hidup dan buktikan kemampuan diri,“ katanya.

pelukis Aliah

Hasil kesungguhan dan keazaman yang jitu, Aliah menonjolkan bakatnya mencanting batik dan menghasilkan seni abstrak.

Beliau kini sudah bergelar pelukis di bawah Persatuan Artis Pelukis Mulut dan Kaki Malaysia.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya rajin turun padang buat demonstrasi mencanting batik menggunakan kaki kanan. Seronok apabila ramai suka dengan hasil seni dan ramai teruja dengan keupayaan saya melukis.

“Pun begitu, musim Covid-19 dan ditambah dengan PKP, saya lebih banyak duduk di rumah dan habiskan masa dengan melukis. Kadang-kadang buat biskut untuk makan-makan bersama keluarga,“ ujarnya yang mengimpikan untuk memiliki galeri lukisannya sendiri.

Iklan

pelukis Aliah

Kepada mereka yang senasib dengan Aliah, berikut adalah nasihatnya yang barangkali boleh dijadikan azimat hidup.

“Jangan rasa rendah diri. Kita kena yakin dengan kemampuan, kebolehan dan berusahalah untuk terus berjaya walau ada yang perlekehkan dan kata OKU ini menyusahkan.

“Kita kena bangkit dan buktikan kepada mereka bahawa OKU pun mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah seperti orang lain. Kekal tenang dan positif walaupun berdepan halangan kerana percayalah, ALLAH SWT ada di sisi kita.“

Kepada yang berminat untuk membeli lukisan sentuhan Aliah, boleh berbuat demikian menerusi Facebooknya, Aliah Talib.

PROFIL

  • Nama: Aliah Talib
  • Umur: 34 tahun
  • Asal: Alor Setar, Kedah
  • Kerjaya:  Pelukis
  • Facebook: Aliah Talib