‘Jangan sebab beranak kerap, abai tubuh sendiri.’ Usia 29 tahun punya 7 anak, wanita ini kongsi tip sihat & langsing

USIA baharu 29 tahun, namun sudah punya tujuh cahaya mata. Itulah kehidupan yang direntas wanita bernama Nurul Hanissa Hashim atau mesra disapa Nieyssa.

Menariknya,  wanita yang bergelar suri rumah itu masih punya masa untuk menceburi bisnes online.

Bahkan, beliau turut bertanggungjawab sebagai perunding majlis bagi syarikat milik suaminya iaitu AMS CANOPY & EVENT.

nieyssa

11 tahun usia perkahwinan bersama Mohd Shafiq Mohd Altab, 34, pasangan tersebut dikurniakan empat anak lelaki dan tiga perempuan.

Membuka bicara awal bersama penulis, beliau yang mesra disapa Nieyssa mengakui bergelar ibu ketika usianya baru 19 tahun.

“Kalau diikutkan saya dan suami tidak merancang, namun ini semua rezeki daripada ALLAH dan kami terima dengan hati terbuka. Mungkin ada yang lihat macam mudah, tetapi cabarannya cukup besar.

Baca ni ‘Menu simple, nasi tetap makan.’ Maintain cantik bergaya walau punya anak ramai, ini rupanya rahsia adik Che Ta tampil langsing

nieyssa

“Sementelah waktu itu saya baru nak masuk 20 tahun. Alhamdulillah, selain berfikiran terbuka, suami juga banyak membantu menguruskan anak-anak,” ujar Nieyssa yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2012.

Membayangkan pun terasa penat, apatah lagi tuan punya badan yang rutinnya setiap hari menguruskan anak-anak tersayang. Apatah lagi kelahiran cahata wanita berkenaan rapat-rapat.

Baca ni Maintain cantik & awet muda, Datin Anne Ngasri dedah 9 bulan tak sentuh nasi

nieyssa

Adam Mikhail kini berusia 10 tahun, Adrian Malique,9; Adeena Malaeka, 8; Adeelea Marshanda, 7; Adzra Maryam,6; Adzrael Mikraj, 2; dan Addeen Mateen baru mencecah setahun.

“Kalau diikutkan tak susah nak tangani anak ramai bila kita tahu ilmu yang betul dan bagaimana membentuk peribadi setiap anak-anak.

“Itu bukan bermaksud saya pandai cuma jika tidak tahu, banyakkan membaca bagi menambahkan ilmu yang betul. Saya sudah merasai kedua-dua situasi iaitu ada dan tiada ilmu,” ujarnya yang bunting pelamin usai mendirikan rumah tangga.

Baca lagi Rezeki anak ramai, Ayu Raudhah kini hamil cahaya mata keenam

 

LIMA TAHUN PERTAMA

Akui Nieyssa, bukan mudah memegang status ibu pada usia muda. Padanya, tiada istilah me time seperti orang lain.

Pun begitu, empunya diri bersyukur dan menganggap anak-anak itu adalah anugerah yang tidak ternilai daripada YANG MAHA ESA.

“Alhamdulillah, seronoknya anak ramai tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Setiap hari ada sahaja gelak ketawa, menangis dan riuh dengan karenah mereka yang tidak henti-henti.

“Kalau dahulu ada sahaja yang bergaduh, namun kini semakin membesar, mereka sangat rapat dan saling bergurau senda. Sebagai ibu bapa, kami seronok melihat situasi tersebut,” ungkap anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Berkongsi momen bahagia sebagai seorang wanita dan ibu, kata Nieyssa, kepayahan yang dilalui hanya lima tahun pertama sahaja.

Baca lagi Seronok anak ramai tapi biarlah jarak 2 tahun, fikir 6 perkara penting ini sebelum hamil lagi

nieyssa

Kalau wujud tekanan, bukan daripada dirinya, sebaliknya disebabkan keadaan sekeliling.

“Saya tidak boleh keluar dengan kawan-kawan, tidak sempat nak berdandan setiap masa dan waktu pagi paling mencabar.

“Boleh dikatakan setiap pagi saya akan nangis kerana nak kejutkan anak-anak bangun punyalah susah. Nak kena angkat sorang-sorang, mujur suami ada membantu mandikan mereka, jadi saya fokus untuk kerja lain,” jelasnya.

Kongsi tuan punya badan lagi, kunci kekuatan dalam menguruskan anak-anak dan rumah tangga dengan baik adalah bersabar.

Menyebutnya mudah, namun hanya yang melaluinya tahu akan situasi tersebut.

Walau apa pun yang berlaku atau sudah melalui tahap burnout, beliau akan tarik nafas dan perkara pertama yang akan diingati ialah ALLAH.

Menurut Nieyssa lagi, pernah sebelum itu, mereka melalui saat mendebarkan apabila anak sulung hilang ketika berkunjung ke sebuah pusat permainan.

Baca lagi “Anak bukan beban, punca kita tak terurus.” Ibu ini dedah rahsia tetap tampil bergaya walau punya anak ramai!

nieyssa

Iklan

“Alhamdulillah, perjalanan dalam membesarkan anak-anak begitu mudah, penat memang penat, namun saya gembira. Saya sentiasa tanamkan dalam diri, sekarang memang susah sebab anak-anak masih kecil. Tunggu mereka besar kelak.

“Sekarang memang riuh-rendah dan merengek mahu itu ini. Nanti apabila mereka sudah besar, kita pula yang kesunyian. Jadi, saya mahu momen sekarang ini tidak berlalu begitu sahaja. Saya mahu mereka sentiasa ingat akan ibu bapa walaupun masing-masing sudah dewasa atau punya keluarga sendiri kelak,” ujar Nieyssa lagi.

TUMPANG REZEKI ANAK

Menyentuh soal kewangan, jelasnya, itu antara bab yang cukup sensitif lebih-lebih lagi dengan situasi ekonomi sekarang.

Justeru, keutamaan diberikan kepada makanan dan tempat tinggal yang selesa untuk zuriat mereka.

“Alhamdulillah, sepanjang 11 tahun perkahwinan, kami tidak menghadapi masalah kewangan. Ini namanya menumpang rezeki anak-anak. Ada sahaja job yang masuk. Bahkan, kami sedaya upaya memenuhi permintaan anak-anak selagi tidak keterlaluan.

“Kalau dahulu saya banyak membeli di luar, namun sedar akan air tangan ibu paling berkat membuatkan saya walau macam mana sibuk pun akan masak untuk anak-anak dan suami,” ulas beliau.

Pada masa sama, wanita tersebut turut berkongsi cara berbelanja. Katanya, jarang sekali beliau membeli baju anak-anak apabila ada jualan murah.

“Saya beli apabila perlu sahaja, biasanya setahun dalam tiga atau empat kali. Malah, saya jenis beli yang elok sebab tahan lama, tidak cepat lusuh walaupun dipakai lama. Bahkan, saya juga tiada pembantu rumah. Cukuplah saya dan suami saling bergilir-gilir menjaga anak-anak,” ujarnya.

nieyssa

ELAK PEGANG TELEFON

Iklan

Biarpun masing-masing ada bisnes yang perlu diberi perhatian, namun keutamaan tetap kepada tujuh cahaya mata yang semakin membesar.

“Pesanan saya buat bakal atau ibu-ibu di luar sana, jangan susah hati anak ramai. Memang adakalanya cemburu tengok kawan-kawan lain bergaya dan boleh ke sana ke mari, namun pandai-pandai susun jadual. Boleh berbincang dengan suami untuk beliau menjaga anak-anak sementara kita keluar sebentar.

“Selain itu, jika di rumah elakkan memegang telefon ketika bersama anak-anak. Pastikan setiap pagi, kita urus segalanya terlebih dahulu dan barulah memberi perhatian kepada kerja lain seperti urusan bisnes dan sebagainya,” jelas Nieyssa dengan panjang lebar.

nieyssa

TIP LANGSING & KURUS

Sebelum perbualan dinoktahkan, penulis sempat meminta tuan punya badan berkongsi tip menjaga badan yang tetap langsing dan kurus biarpun sudah punya anak ramai.

“Jaga badan dan wajah adalah dua perkara yang saya letakkan di tangga teratas. Pada saya, jika kita tidak sayang diri sendiri, siapa lagi akan sayang. Jangan disebabkan kita beranak kerap atau rapat-rapat, kita abaikan tubuh sendiri.

“Kesan bersalin kerap itu membuatkan kita tiada tenaga, tak bermaya, hormon berubah dan sebagainya.

“Sebab itu wanita kena ambil vitamin, senaman dan diet. Itu penting untuk kembalikan keserian, tenaga dan juga keyakinan diri kita,” ungkap Nieyssa sebelum menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang